mykmu.net

Wednesday, 29 August 2012

KUIN DAN RENTETAN PERGOLAKANNYA






SURAT TERBUKA OLEH INSAN TULIS KEPADA ADMIN TERHADAP KEMELUT KUIN

Admin Blog telah menerima satu nukilan berjela dalam email blogger. mari kita baca:

Salam Syawwal saudara blogger yang dihormati dan semua pembaca budiman


Sebelum saya membicara lanjut tentang krisis kewangan yang berlaku di Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), izinkan saya menyingkap terlebih dahulu sejarah penubuhan universiti milik penuh Kerajaan Negeri Kedah ini. INSANIAH ditubuhkan pada Oktober 1995 pada ketika era pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh Menteri Besar pada ketika itu iaitu Tan Sri Dato' Seri Hj. Osman Hj. Aroff. Keprihatinan kerajaan Barisan Nasional untuk memberi peluang kepada anak Kedah khasnya dan Malaysia amnya untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Jesteru itu, tidak hairanlah KUIN yang dahulunya dikenali sebagai Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman atau nama singkatannya INSANIAH telah menjadi nadi utama pendidikan terutamanya dalam aliran agama kepada penduduk negeri jelapang padi ini. Tahun demi tahun, hari berganti hari, perkembangan INSANIAH sangatlah memberangsangkan. Perkembangannya bukan sahaja dari sudut fizikal bahkan perancangan diatur untuk menaiktaraf INSANIAH kepada Kolej Universiti dan hasilnya pada 15 Mei 2006, INSANIAH telah mendapat surat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dinaiktaraf sebagai Kolej Universiti INSANIAH (KUIN). Harus diingat bahawa kenaikan taraf ini adalah pada ketika pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional. Jika disebut  institusi pendidikan tinggi agama di utara, masyarakat akan terus menghala ke KUIN. Begitu juga jika ingin mencari para imam atau guru mengajar agama, KUIN akan menjadi agen kepada perkara tersebut. Hatta sekadar membaca doa di majlis keramaian pun, KUIN tetap memberi pilihan terbaik kerana mempunyai ’tok-tok guru’ yang hebat.

Namun, perkara itu telah berlalu dan semakin dilupakan. Bermulah era pemerintahan Pas yang diketuai oleh Dato’ Seri Azizan Bin Abdul Razak menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN dan beliau telah melantik Prof Dato’ Dr. Jamil Osman sebagai Rektor KUIN yang keempat pada 1 Mei 2008 bagi menggantikan Prof Dato’ Dr Sayyid Muhammad Aqiel al Mahdaly. Pemerintahan Dato’ Dr. Jamil telah menyebabkan banyak perubahan yang berlaku. Penubuhan beberapa kulliyyah seperti kejuruteraan, multimedia dan yang terbaru Kulliyyah Perubatan telah lari dari idea asal penubuhan KUIN. Kemasukkan pelajar yang sedikit jika dibandingkan dengan kulliyyah-kulliyyah aliran agama seperti Al-Quran, Usulluddin dan Syariah amat ketara sama sekali. Penambahan lebih dari 40 program pengajian di KUIN seumpama gah diluar tetapi kosong didalamnya. Perkara itulah yang dicanang oleh MB dan Rektor seolah-olah merekalah yang menjadikan KUIN hebat tetapi pada hakikatnya terdapat program yang tiada langsung pelajar.

Saudara blogger,

Pelbagai peristiwa telah berlaku apabila KUIN bertukar pengurusan pada 2008. Seperti contoh, pada 11 Januari 2011, Majlis Perwakilan Mahasiswa telah menganjurkan perhimpunan aman mahasiswa untuk menyelesaikan beberapa masalah yang berlaku di KUIN. Pada pendapat mereka, pentadbiran KUIN telah gagal menyelesaikan beberapa masalah dengan baik. Diantara yang dituntut oleh mereka adalah masalah kelewatan pembayaran zakat, isu penempatan, isu keselamatan dan sebagainya. Begitu juga pada 1 April 2011, selepas menunaikan solat Jumaat sekumpulan pelajar dan pensyarah tahfiz telah mengadakan demonstrasi aman bagi menuntut semula bangunan tahfiz yang telah dirampas untuk pembangunan Sekolah Insan Bestari (mungkin tidak bestari). Himpunan ini turut melibatkan Saudara Faiz Arsyad (Presiden MPM pada ketika itu), dan beberapa orang exco MPM yang turut bersama memperjuangkan hak kulliyah tahfiz. Rentetan peristiwa tersebut, pada 3 April 2011, Ustaz Muhammad Idrus Bin Ismail telah dilucutkan jawatan selaku Timbalan Dekan Kulliyyah Al-Quran kerana turut terlibat dalam demonstrasi bantahan pembinaan Sekolah Insan Bestari. Kesemua ’tok-tok- guru’ yang mengajar di Kulliyyah Al-Quran telah ditendang ke Yayasan Islam Negeri Kedah disebabkan penentangan mereka demi menegakkan kebenaran dan menghapuskan kezaliman. Begitu juga 5 orang pelajar KUIN yang menyertai perhimpunan tersebut turut dikenakan tindakan tetatertib yang disifatkan sebagai tindakan yang melulu oleh pentadbiran KUIN.


Saudara blogger dihormati,

         Pengurusan baru KUIN juga telah menubuhkan beberapa anak syarikat kononnya  untuk menjana keuntungan. Rasional penubuhan anak-anak syarikat seperti Insan Maya, Insan Holdings, Insan System juga semakin kabur. Kewujudan anak-anak syarikat inilah telah menyebabkan krisis kewangan di KUIN semakin parah. Yang peliknya, anak-anak syarikat ini hanya ’mencari duit’ di dalam KUIN sahaja. Apa sahaja projek di KUIN, anak-anak syarikat ini akan menanti dengan penuh senyuman. Setiap kerja yang dijalankan di dalam KUIN, akan dituntut bayarannya. Yang pelik dan hairannya, gaji kakitangan anak syarikat ini ditanggung oleh KUIN menerusi peruntukan dari kerajaan negeri, yuran pelajar dan sebagainya. Bukankah anak syarikat perlu menjana keuntungan untuk KUIN dan bukannya mengaut segala duit yang telah dikhaskan oleh Kerajaan Negeri kepada KUIN. Ini sekaligus menyebabkan krisis kewangan KUIN semakin parah.
Saudara blogger,

         Kerajaan Persekutuan pada bajet pembentangan 2012  melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2012 telah meluluskan kenaikkan gaji kepada kakitangan awam sebanyak 13 peratus dan Elaun Sara Hidup atau COLA sebanyak RM 50.00. Berita ini telah mengembirakan kepada kakitangan awam seluruh Malaysia baik pada peringkat persekutuan mahupun negeri. Namun sehingga kini, semua kakitangan KUIN tidak mendapat apa yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan. Alasannya menurut Pengerusi, KUIN merupakan institusi swasta yang tidak perlu menerima kenaikan ini. Hairannya, sebelum ini semua pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sama ada negeri atau persekutuan, akan diterima pakai. Setiap staf baru perlu melalui Kursus Induksi bersama-sama penjawat awam Negeri Kedah yang lain. Selain dari itu, bayaran elaun mahupun tuntutan akan menggunapakai pekeliling kerajaan. Setiap gred jawatan turut mengikut kerajaan persekutuan sepertimana yang telah ditetapkan oleh JPA.  Kesemua perkara ini membuatkan kakitangan KUIN bingung dengan alasan yang telah diberikan oleh Pengerusi KUIN tersebut. Mengapa isu IPTS ini berkumandang setelah kerajaan PAS mengambil alih tampuk pemerintahan di Negeri Kedah? Sedangkan pada era pemerintahan Barisan Nasional, kakitangan KUIN akan menikmati apa saja yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baik dari segi bonus tahunan, kenaikan gaji dan sebagainya. Apakah disebabkan KUIN mampunyai masalah kewangan, maka isu ini ditimbulkan seolah-olah cuba untuk mengalih isu kenaikkan tersebut? Mengapa pentadbiran separuh ular dan separuh biawak diterapkan dalam pemerintahan di KUIN? Pada hari ini, 28 Ogos 2012 melalui akhbar Sinar Harian edisi utara, YB. Dato’ Haji Mohamad Taulan Mat Rasul menegaskan KUIN tidak akan diswastakan. Beliau turut menyatakan, penswastaan KUIN akan melalui terlebih dahulu mesyuarat ahli lembaga pengarah untuk persetujuan. Tidakkah pada 16 Julai 2012, Menteri Besar menyatakan bahawa KUIN sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta, tidak tertakluk kepada mana-mana peruntukan yang mewajibkan institusi itu mengikut arahan yang terkandung dalam pekeliling dikeluarkan kerajaan persekutuan tanpa melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah KUIN. Tetapi hari ini, Exco tersebut menafikan KUIN akan diswastakan. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka ini membuatkan staf KUIN semakin keliru dan muak.

Saudara blogger,

         Baru-baru ini , Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah iaitu Datuk Seri Mahadzir bin Khalid telah mendedahkan beberapa masalah bayaran tunggakkan yang dihadapi oleh kakitangan KUIN. Beliau menyatakan bahawa potongan yang dibuat oleh kakitangan KUIN melalui potongan gaji setiap bulan tetapi malangnya tidak sampai kepada pihak bank. Bayaran seperti Insuran,  Zakat Pendapatan, KWSP, Perkeso,pinjaman perumahan dan peribadi yang dibuat melalui potongan gaji majikan tidak dijelaskan kepada pihak yang berkenaan. Perkara ini akan menyebabkan pihak kakitangan KUIN menanggung bebanan kerana setiap kos guaman akibat kelewatan bayaran ditanggung oleh kakitangan KUIN. Segala bukti yang didedahkan seolah-olah tidak dihiraukan oleh Azizan. Seperti biasa, Pengerusi KUIN itu akan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional yang mencari isu pilihanraya. Lebih malang lagi,  pihak kakitangan juga dipersalahkan kerana tidak tahu apa-apa berkenaan KUIN walhal kakitangan KUINlah yang selama ini bertungkus-lumus untuk menaikkan nama KUIN agar menjadi sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang berprestij. Adakah KUIN layak digelar Institusi Pengajian Tinggi Islam sedangkan hak para kakitangan dinafikan sesuka hati? Selain  dari itu, terdapat juga beberapa orang kaki ampu rektor yang terus menyatakan KUIN masih lagi berada dilandasan yang betul sedangkan mereka turut mengalami masalah yang sama seperti diatas.

Saudara blogger,

         Kemuncak dari semua permasalahan ini, staf dan pelajar KUIN telah menunaikan solat hajat di Surau KUIN pada 17 Mei 2012. Solat hajat dan bacaan yassin kali ke-2 turut dijalankan di Masjid Ar-Rahman Taman Wira, Megong, Kedah pada 24 Mei 2012 yang telah dihadiri hampir 300 kakitangan KUIN dan masyarakat luar yang bersimpati agar semua masalah KUIN ini dapat dirungkaikan dengan tenang dan aman. Begitu juga pada 2 Julai 2012, kakitangan KUIN telah membuat demo untuk mendesak Rektor KUIN meletak jawatan. Malangnya sehingga hari ini, pengurusan Tertinggi KUIN terus berdiam diri tanpa memberi sebarang kenyataan. Dan yang tebaru, KUIN mungkin akan di jual kepada sebuah syarikat swasta dan ini akan menyebabkan para pelajar akan menanggung kos yang begitu tinggi. Jelaslah, kerajaan PAS Kedah telah berjaya menjahanamkan KUIN demi survival politik mereka. Mereka berbangga dengan pembinaan Kampus Tetap INSANIAH di Kuala Ketil tetapi mereka tidak menghiraukan kesusahan dan kepayahan staf KUIN yang telah membeli rumah dan selesa menetap di Alor Setar. Pertukaran tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah merupakan satu malapetaka besar kepada hampir keseluruhan staf KUIN.

         Akhir sekali, kepada Rektor KUIN Prof. Dato’ Dr. Jamil Osman, berundurlah dengan penuh rasa hormat kerana hampir keseluruhan staf KUIN tidak mampu lagi bekerjasama dengan anda. Kepada semua exco yang sedang enak diulit kerusi empuk pentadbiran kerajaan negeri, jangan hanya sekadar memerhati sahaja dan mengganggap isu ini remeh. Kepada  Dato’ Seri Azizan Bin Abdul Razak, dengarlah rintihan semua kakitangan dan pelajar KUIN. Janganlah hanya mendengar satu pihak sahaja yang memberi laporan. Turun dan bincanglah seadil-adilnya dengan semua kakitangan tanpa kehadiran Pengurusan Tertinggi KUIN untuk mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan isu ini. Rakyat diluar sana sedang memerhatikan keupayaan anda untuk menangani masalah ini. Sekiranya anda gagal dalam menangani masalah ini, jelas bahawa KUIN semakin bercelaru di bawah pemerintahan Pas. Bagaimana untuk mentadbir sebuah negara yang besar sedangkan sebuah universiti pun masih lagi terkial-kial untuk menguruskannya. Ingatlah, setiap inci jawatan yang sedang ’besalut’ di tubuh anda, Allah yang menentukannya. Kerana rakyatlah anda berada di atas, tetapi jangan lupa, kerana rakyat jugalah anda akan tersungkur dan jatuh rebah ke bumi. Sekian.

-INSAN TULIS-

sumber: http://syburi-times.blogspot.com/2012/08/rentetan-kuin.html#ixzz250Pa9Iyc




No comments:

Post a Comment

Post a Comment