1. Utusan Malaysia semalam telah mendedahkan secara terperinci masalah pembalakan di Kedah yang
meruncing. Masalah ini telah lama
didedahkan oleh media alternatif iaitu blog-blog dan laman-laman web, tetapi
telah tidak diendahkan oleh kerajaan negeri Kedah, mahupun pemimpin-pemimpin PR
pusat. Para penyokong PR pula
menganggap pendedahan tersebut sebagai fitnah walaupun ada di antaranya
disertakan dengan gambar-gambar sebagai bukti.
2. Oleh itu, tidak mengejutkan
jika pendedahan besar-besaran oleh Utusan Malaysia yang dilengkapi bukti
gambaran dari atas juga, dianggap sebagai fitnah BN untuk memburukkan kerajaan
PAS Kedah dan PR secara keseluruhannya.
3. Malah, kalaupun ada yang
menerimanya sebagai benar, mereka hanya akan menepisnya dengan alasan masalah tersebut
dimulakan oleh kerajaan BN iaitu alasan atau jawapan ‘standard’ kerajaan PAS
Kedah untuk semua masalah di dalam negeri itu hari ini.
4. Kerana asyik menuding jari,
maka masalah pembalakan tidak terkawal di Kedah kini bukan sahaja tidak selesai
tetapi semakin hari semakin buruk dan bakal menjadi satu bencana besar. Ini disahkan oleh pakar-pakar melalui ujian
dan penilaian oleh Jabatan Alam Sekitar.
Antara bencana yang dijangka ialah masalah banjir lumpur dalam skala
yang jauh lebih besar daripada yang berlaku pada 2010, di Sik, Kedah yang
menjejaskan 6 buah kampung – iaitu berita yang langsung tidak dilaporkan oleh
Harakah, media rasmi PAS.
5. Selain itu, bencana yang
kini sedang berlaku dan semakin parah ialah masalah kualiti air akibat aktiviti
tanah yang ‘menggila’ iaitu merangkumi pembalakan, perlombongan dan korek pasir
sekali gus, di kawasan tadahan yang mencemarkan air di empangan. Setakat ini sahaja, kadar kekeruhan kawasan
tadahan di Kedah berada di tahap 8,000 – 18,600 Nephelometrik Turbidity Unit
(NTU) yang mana telah terlalu jauh mengatasi kadar yang dibenarkan iaitu 50
NTU, bagi kawasan tadahan, dan 1000 NTU bagi sungai-sungai mengikut Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO).
6. Walaubagaimanapun, Ustaz
Azizan bertegas menyatakan yang masalah ini berpunca dari kerajaan BN dan
beliau tidak punya kuasa untuk menyelesaikannya. Persoalannya, benarkah begitu?
7. Setiausaha Politik beliau,
Sanusi Md. Noor, menjawab perkara ini di dalam blog beliau sekitar Ogos 2011,
seperti berikut: “kegiatan pembalakan tersebut diluluskan dalam mesyuarat JHB
pada 25 Ogos 2005 dan 9 November 2005, iaitu di zaman BN menjadi kerajaan. Lesen menebang adalah proses terakhir dalam
proses membalak selepas kelulusan diberi. Sebelum dapat lesen menebang, sesuatu
kawasan yang diluluskan mesti melalui proses persempadanan, penandaan pokok
(tagging), penelitian laluan air dan lain-lain aspek teknikal. Kalau semua
peraturan telah dipatuhi, lesen menebang akan dikeluarkan oleh Jab Perhutanan.
Telah saya katakan, tempoh antara kelulusan dan menebang memakan masa
bertahun-tahun. Ternyata kawasn ini memakan masa 5 tahun sebelum dapat
ditebang.”
8. Namun, sebelum itu, pada 3
Januari 2010, Harakahdaily melaporkan bagaimana Azizan berjaya meningkatkan
pendapatan melalui balak melalui sistem tender terbuka. Kata Azizan, "Sistem tender terbuka
yang diperkenalkan memberi pulangan positif kepada kerajaan dan rakyat negeri
ini. Pada tahun 2008 yang lalu semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil
pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 juta. Ia meningkat kemudiannya kepada
RM39 juta pada tahun 2009 yang lalu.
Pencapaian memberansangkan itu berlaku hasil dari sistem tender terbuka
yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Pakatan Rakyat yang berjaya memberi
pulangan menggalakkan kepada negeri.”
9. Mengikut rekod, terdapat 10
syarikat yang menerima lesen pembalakan dari kerajaan negeri melalui ‘tender
terbuka’ tetapi sehingga kini, Azizan tidak pernah mengumumkan keluasan dan
kawasan mana yang terlibat dalam tender tersebut.
10. Hakikatnya, proses
pengeluaran lesen penebangan oleh Jabatan Hutan dan Galian serta Alam Sekitar
hanya memakan masa 6 bulan. Oleh itu,
jawapan Setiausaha Politik Azizan bahawa ia mengambil masa 5 tahun amatlah
menghairankan.
11. Dan mengikut rekod juga,
dari zaman Dato’ Seri Syed Razak dan Dato’ Mahadzir Khalid menjadi MB Kedah,
tiada lesen pembalakan yang dikeluarkan di kawasan tadahan. Ia pernah dikeluarkan untuk Rimba Teloi
tetapi pengeluaran balak dibuat ketika Empangan Beris BELUM LAGI dibina dan
ianya bersifat TERKAWAL. Namun, apa yang
berlaku di Kedah sekarang ialah ianya sudah tidak terkawal atau di tahap
‘menggila’ sehinggakan balak-balak yang masih muda, sekecil betis juga diangkut
sekali.
12. Secara umumnya, rakyat Kedah
cukup maklum dengan sikap MB mereka yang suka ‘buat tak tahu’. Laporan audit Kedah baru-baru ini sudah cukup
untuk membuktikan sikap MB yang ‘tidak tahu apa-apa’ ini di mana projek-projek
besar yang memakan ratusan juta juga telah dilaksanakan atau telah tidak
terlaksana secara tanpa kawalan iaitu tanpa pengetahuan dan tanpa kelulusan
pihak-pihak yang berkenaan di dalam kerajaan.
13. Seolah-olah, di Kedah
masing-masing boleh berbuat sesuka hati dari peringkat kepimpinan bawahan
sehinggalah ke peringkat exco. Lebih
memburukkan keadaan ialah apabila ramai yang keliru atau sengaja mengelirukan
kedudukan kuasa antara kepimpinan negeri dan parti PAS.
14. Sewajarnya, laporan Utusan
Malaysia semalam diambil sebagai loceng yang menggerakkan Azizan dari
tidur. Beliau tidak boleh menuding jari
lagi, sama ada kepada BN atau kepimpinan bawahan negeri dan parti PAS
sendiri. Siapapun yang bersalah, adalah
soal kedua, yang penting kini, beliau wajib memikul tanggungjawab mencari jalan
bagi menghindari bencana besar.
15. Lebih dari itu, beliau tidak
boleh menafikan bahawa beliau pernah mengugut untuk membalak di kawasan tadahan
sekiranya kerajaan pusat enggan membayar pampasan RM100 juta setahun. Kata beliau:
16. "Kita dah banyak
berkorban dengan tidak mengambil balak di kawasan simpanan dan tadahan supaya
dapat membekalkan air kepada Pulau Pinang dan Perlis untuk kegunaan industri,
pertanian dan minuman tanpa mendapat bayaran.
17. "Sebab nak jaga kawasan itu kita
kehilangan hasil bumi. Kami orang Kedah nak makan apa. Kerajaan pusat hantar
duit mai tak apa la. Salahkah kerajaan
negeri lakukan ini untuk rakyat dia. Kalau balak itu diambil untuk menteri
besar atau exconya, itu barulah salah," kata Azizan.
18. Beliau berkata atas alasan
itu kerajaan negeri mempunyai sebab kukuh untuk menebang balak di tanah
miliknya.
19. Ditanya mengenai kesan
penebangan balak terhadap alam sekitar di kawasan terbabit, Azizan berkata:
"Kita tahu polisi itu tetapi sampai orang yang tinggal di tepi laut nak
makan pun tidak cukup, nak buat apa. Itu tidak boleh, ini tidak
boleh."
--- Malaysiakini (Jun 19,
2008)
20. Justeru, rakyat Kedah wajar
memikirkan semasak-masaknya untuk mengenali pemimpin negeri mereka – apakah
benar Ustaz Azizan tidak tahu apa-apa, atau sekadar ‘buat-buat tak tahu’? Rakyat Kedah perlu buat keputusan tepat
dalam memilih kerajaan negeri dalam PRU kali ini agar negeri Jelapang Padi ini
tidak berubah menjadi Jelapang Lumpur…
21. Tetapi sebelum itu, rakyat
Kedah perlu mencari jalan agar Ustaz Azizan tersedar, bangun dan bekerja untuk
negeri terlebih dahulu, sebelum bekerja untuk pilihanraya.
No comments:
Post a Comment