SURAT TERBUKA OLEH INSAN TULIS KEPADA ADMIN TERHADAP KEMELUT KUIN
Admin Blog telah menerima satu nukilan berjela dalam email blogger. mari
kita baca:
Salam Syawwal saudara blogger yang dihormati dan semua pembaca budiman
Sebelum saya membicara lanjut tentang krisis kewangan yang berlaku di
Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), izinkan saya menyingkap terlebih dahulu sejarah
penubuhan universiti milik penuh Kerajaan Negeri Kedah ini. INSANIAH ditubuhkan
pada Oktober 1995 pada ketika era pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang
diketuai oleh Menteri Besar pada ketika itu iaitu Tan Sri Dato' Seri Hj. Osman
Hj. Aroff. Keprihatinan kerajaan Barisan Nasional untuk memberi peluang kepada
anak Kedah khasnya dan Malaysia amnya untuk melanjutkan pelajaran di dalam
negara telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Jesteru itu, tidak
hairanlah KUIN yang dahulunya dikenali sebagai Institut Agama Islam Negeri
Kedah Darul Aman atau nama singkatannya INSANIAH telah menjadi nadi utama
pendidikan terutamanya dalam aliran agama kepada penduduk negeri jelapang padi
ini. Tahun demi tahun, hari berganti hari, perkembangan INSANIAH sangatlah
memberangsangkan. Perkembangannya bukan sahaja dari sudut fizikal bahkan
perancangan diatur untuk menaiktaraf INSANIAH kepada Kolej Universiti dan
hasilnya pada 15 Mei 2006, INSANIAH telah mendapat surat kelulusan daripada
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dinaiktaraf sebagai Kolej Universiti
INSANIAH (KUIN). Harus diingat bahawa kenaikan taraf ini adalah pada ketika
pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional. Jika disebut institusi pendidikan
tinggi agama di utara, masyarakat akan terus menghala ke KUIN. Begitu juga jika
ingin mencari para imam atau guru mengajar agama, KUIN akan menjadi agen kepada
perkara tersebut. Hatta sekadar membaca doa di majlis keramaian pun, KUIN tetap
memberi pilihan terbaik kerana mempunyai ’tok-tok guru’ yang hebat.
Namun, perkara itu telah berlalu dan semakin dilupakan. Bermulah era
pemerintahan Pas yang diketuai oleh Dato’ Seri Azizan Bin Abdul Razak menjadi
Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN dan beliau telah melantik Prof Dato’ Dr. Jamil
Osman sebagai Rektor KUIN yang keempat pada 1 Mei 2008 bagi menggantikan Prof
Dato’ Dr Sayyid Muhammad Aqiel al Mahdaly. Pemerintahan Dato’ Dr. Jamil telah
menyebabkan banyak perubahan yang berlaku. Penubuhan beberapa kulliyyah seperti
kejuruteraan, multimedia dan yang terbaru Kulliyyah Perubatan telah lari dari
idea asal penubuhan KUIN. Kemasukkan pelajar yang sedikit jika dibandingkan
dengan kulliyyah-kulliyyah aliran agama seperti Al-Quran, Usulluddin dan
Syariah amat ketara sama sekali. Penambahan lebih dari 40 program pengajian di KUIN
seumpama gah diluar tetapi kosong didalamnya. Perkara itulah yang dicanang oleh
MB dan Rektor seolah-olah merekalah yang menjadikan KUIN hebat tetapi pada
hakikatnya terdapat program yang tiada langsung pelajar.
Saudara blogger,
Pelbagai peristiwa telah berlaku apabila KUIN bertukar pengurusan pada
2008. Seperti contoh, pada 11 Januari 2011, Majlis Perwakilan Mahasiswa telah
menganjurkan perhimpunan aman mahasiswa untuk menyelesaikan beberapa masalah
yang berlaku di KUIN. Pada pendapat mereka, pentadbiran KUIN telah gagal
menyelesaikan beberapa masalah dengan baik. Diantara yang dituntut oleh mereka
adalah masalah kelewatan pembayaran zakat, isu penempatan, isu keselamatan dan
sebagainya. Begitu juga pada 1 April 2011, selepas menunaikan solat Jumaat sekumpulan
pelajar dan pensyarah tahfiz telah mengadakan demonstrasi aman bagi menuntut
semula bangunan tahfiz yang telah dirampas untuk pembangunan Sekolah Insan
Bestari (mungkin tidak bestari). Himpunan ini turut melibatkan Saudara Faiz
Arsyad (Presiden MPM pada ketika itu), dan beberapa orang exco MPM yang turut
bersama memperjuangkan hak kulliyah tahfiz. Rentetan peristiwa tersebut, pada 3
April 2011, Ustaz Muhammad Idrus Bin Ismail telah dilucutkan jawatan selaku
Timbalan Dekan Kulliyyah Al-Quran kerana turut terlibat dalam demonstrasi
bantahan pembinaan Sekolah Insan Bestari. Kesemua ’tok-tok- guru’ yang mengajar
di Kulliyyah Al-Quran telah ditendang ke Yayasan Islam Negeri Kedah disebabkan
penentangan mereka demi menegakkan kebenaran dan menghapuskan kezaliman. Begitu
juga 5 orang pelajar KUIN yang menyertai perhimpunan tersebut turut dikenakan
tindakan tetatertib yang disifatkan sebagai tindakan yang melulu oleh
pentadbiran KUIN.
Saudara blogger dihormati,
Pengurusan baru KUIN juga telah
menubuhkan beberapa anak syarikat kononnya untuk menjana keuntungan.
Rasional penubuhan anak-anak syarikat seperti Insan Maya, Insan Holdings, Insan
System juga semakin kabur. Kewujudan anak-anak syarikat inilah telah
menyebabkan krisis kewangan di KUIN semakin parah. Yang peliknya, anak-anak
syarikat ini hanya ’mencari duit’ di dalam KUIN sahaja. Apa sahaja projek di
KUIN, anak-anak syarikat ini akan menanti dengan penuh senyuman. Setiap kerja
yang dijalankan di dalam KUIN, akan dituntut bayarannya. Yang pelik dan
hairannya, gaji kakitangan anak syarikat ini ditanggung oleh KUIN menerusi
peruntukan dari kerajaan negeri, yuran pelajar dan sebagainya. Bukankah anak
syarikat perlu menjana keuntungan untuk KUIN dan bukannya mengaut segala duit
yang telah dikhaskan oleh Kerajaan Negeri kepada KUIN. Ini sekaligus
menyebabkan krisis kewangan KUIN semakin parah.
Saudara blogger,
Kerajaan Persekutuan pada bajet
pembentangan 2012 melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2012
telah meluluskan kenaikkan gaji kepada kakitangan awam sebanyak 13 peratus dan
Elaun Sara Hidup atau COLA sebanyak RM 50.00. Berita ini telah mengembirakan
kepada kakitangan awam seluruh Malaysia baik pada peringkat persekutuan mahupun
negeri. Namun sehingga kini, semua kakitangan KUIN tidak mendapat apa yang
telah diumumkan oleh pihak kerajaan. Alasannya menurut Pengerusi, KUIN
merupakan institusi swasta yang tidak perlu menerima kenaikan ini. Hairannya,
sebelum ini semua pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sama ada
negeri atau persekutuan, akan diterima pakai. Setiap staf baru perlu melalui
Kursus Induksi bersama-sama penjawat awam Negeri Kedah yang lain. Selain dari
itu, bayaran elaun mahupun tuntutan akan menggunapakai pekeliling kerajaan.
Setiap gred jawatan turut mengikut kerajaan persekutuan sepertimana yang telah
ditetapkan oleh JPA. Kesemua perkara ini membuatkan kakitangan KUIN
bingung dengan alasan yang telah diberikan oleh Pengerusi KUIN tersebut.
Mengapa isu IPTS ini berkumandang setelah kerajaan PAS mengambil alih tampuk
pemerintahan di Negeri Kedah? Sedangkan pada era pemerintahan Barisan Nasional,
kakitangan KUIN akan menikmati apa saja yang diumumkan oleh Kerajaan
Persekutuan baik dari segi bonus tahunan, kenaikan gaji dan sebagainya. Apakah
disebabkan KUIN mampunyai masalah kewangan, maka isu ini ditimbulkan
seolah-olah cuba untuk mengalih isu kenaikkan tersebut? Mengapa pentadbiran
separuh ular dan separuh biawak diterapkan dalam pemerintahan di KUIN? Pada hari
ini, 28 Ogos 2012 melalui akhbar Sinar Harian edisi utara, YB. Dato’ Haji
Mohamad Taulan Mat Rasul menegaskan KUIN tidak akan diswastakan. Beliau turut
menyatakan, penswastaan KUIN akan melalui terlebih dahulu mesyuarat ahli
lembaga pengarah untuk persetujuan. Tidakkah pada 16 Julai 2012, Menteri Besar
menyatakan bahawa KUIN sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta, tidak
tertakluk kepada mana-mana peruntukan yang mewajibkan institusi itu mengikut
arahan yang terkandung dalam pekeliling dikeluarkan kerajaan persekutuan tanpa
melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah KUIN. Tetapi hari ini, Exco tersebut
menafikan KUIN akan diswastakan. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh
mereka ini membuatkan staf KUIN semakin keliru dan muak.
Saudara blogger,
Baru-baru ini , Ketua Pembangkang
Dewan Undangan Negeri Kedah iaitu Datuk Seri Mahadzir bin Khalid telah
mendedahkan beberapa masalah bayaran tunggakkan yang dihadapi oleh kakitangan
KUIN. Beliau menyatakan bahawa potongan yang dibuat oleh kakitangan KUIN
melalui potongan gaji setiap bulan tetapi malangnya tidak sampai kepada pihak
bank. Bayaran seperti Insuran, Zakat Pendapatan, KWSP, Perkeso,pinjaman
perumahan dan peribadi yang dibuat melalui potongan gaji majikan tidak
dijelaskan kepada pihak yang berkenaan. Perkara ini akan menyebabkan pihak
kakitangan KUIN menanggung bebanan kerana setiap kos guaman akibat kelewatan
bayaran ditanggung oleh kakitangan KUIN. Segala bukti yang didedahkan
seolah-olah tidak dihiraukan oleh Azizan. Seperti biasa, Pengerusi KUIN itu
akan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional yang mencari isu pilihanraya. Lebih
malang lagi, pihak kakitangan juga dipersalahkan kerana tidak tahu
apa-apa berkenaan KUIN walhal kakitangan KUINlah yang selama ini
bertungkus-lumus untuk menaikkan nama KUIN agar menjadi sebuah Institusi
Pengajian Tinggi Islam yang berprestij. Adakah KUIN layak digelar Institusi
Pengajian Tinggi Islam sedangkan hak para kakitangan dinafikan sesuka hati?
Selain dari itu, terdapat juga beberapa orang kaki ampu rektor yang terus
menyatakan KUIN masih lagi berada dilandasan yang betul sedangkan mereka turut
mengalami masalah yang sama seperti diatas.
Saudara blogger,
Kemuncak dari semua permasalahan ini,
staf dan pelajar KUIN telah menunaikan solat hajat di Surau KUIN pada 17 Mei
2012. Solat hajat dan bacaan yassin kali ke-2 turut dijalankan di Masjid
Ar-Rahman Taman Wira, Megong, Kedah pada 24 Mei 2012 yang telah dihadiri hampir
300 kakitangan KUIN dan masyarakat luar yang bersimpati agar semua masalah KUIN
ini dapat dirungkaikan dengan tenang dan aman. Begitu juga pada 2 Julai 2012,
kakitangan KUIN telah membuat demo untuk mendesak Rektor KUIN meletak jawatan.
Malangnya sehingga hari ini, pengurusan Tertinggi KUIN terus berdiam diri tanpa
memberi sebarang kenyataan. Dan yang tebaru, KUIN mungkin akan di jual kepada
sebuah syarikat swasta dan ini akan menyebabkan para pelajar akan menanggung
kos yang begitu tinggi. Jelaslah, kerajaan PAS Kedah telah berjaya
menjahanamkan KUIN demi survival politik mereka. Mereka berbangga dengan
pembinaan Kampus Tetap INSANIAH di Kuala Ketil tetapi mereka tidak menghiraukan
kesusahan dan kepayahan staf KUIN yang telah membeli rumah dan selesa menetap
di Alor Setar. Pertukaran tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah merupakan
satu malapetaka besar kepada hampir keseluruhan staf KUIN.
Akhir sekali, kepada Rektor KUIN Prof.
Dato’ Dr. Jamil Osman, berundurlah dengan penuh rasa hormat kerana hampir
keseluruhan staf KUIN tidak mampu lagi bekerjasama dengan anda. Kepada semua
exco yang sedang enak diulit kerusi empuk pentadbiran kerajaan negeri, jangan
hanya sekadar memerhati sahaja dan mengganggap isu ini remeh. Kepada
Dato’ Seri Azizan Bin Abdul Razak, dengarlah rintihan semua kakitangan
dan pelajar KUIN. Janganlah hanya mendengar satu pihak sahaja yang memberi
laporan. Turun dan bincanglah seadil-adilnya dengan semua kakitangan tanpa
kehadiran Pengurusan Tertinggi KUIN untuk mendapat gambaran yang lebih jelas
berkenaan isu ini. Rakyat diluar sana sedang memerhatikan keupayaan anda untuk
menangani masalah ini. Sekiranya anda gagal dalam menangani masalah ini, jelas
bahawa KUIN semakin bercelaru di bawah pemerintahan Pas. Bagaimana untuk
mentadbir sebuah negara yang besar sedangkan sebuah universiti pun masih lagi terkial-kial
untuk menguruskannya. Ingatlah, setiap inci jawatan yang sedang ’besalut’ di
tubuh anda, Allah yang menentukannya. Kerana rakyatlah anda berada di atas,
tetapi jangan lupa, kerana rakyat jugalah anda akan tersungkur dan jatuh rebah
ke bumi. Sekian.
-INSAN TULIS-
No comments:
Post a Comment