Oleh
Tun Dr Mahathir Mohamad
1. Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO tidak lama
selepas saya jadi Perdana Menteri pada 1981. Saya terkejut juga apabila dapat
tahu beliau mahu menyertai UMNO memandangkan pembabitannya dalam Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) (a) dan kenyataan-kenyataan awamnya jelas menjadikan
beliau sekutu semula jadi PAS.
2. Bagaimanapun
saya fikir, tentulah lebih menguntungkan beliau jika menyertai UMNO kerana
beliau tidak akan dapat mara dalam politik selagi berada di luar UMNO. Besar
kemungkinan beliau akan selama-lamanya terumbang-ambing dalam politik
pembangkang dan ini tentulah bukan apa yang dikehendakinya.
3. Saya
juga berpendapat beliau berguna kepada UMNO. Bagi saya, parti lebih penting dan
sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada parti, walaupun orang itu tidak
sependapat dengan saya, saya tidak akan halang kemasukannya.
4. Umum
beranggapan UMNO yang mengambil langkah pertama membawa masuk Anwar, tetapi itu
tidak benar. Bagi tempoh masa yang lama, UMNO telah menjadi parti yang besar
dan berjaya. Ia tidak perlu bersusah-payah mencari ahli. Waktu itu, menyertai
UMNO adalah satu keistimewaan. Dalam tempoh beberapa bulan, sebilangan orang
telah datang memberitahu saya yang Anwar berminat untuk sertai UMNO. Jadi saya
pun bersetuju menemui beliau.
5. Pertemuan
pertama kami berlangsung di pejabat saya. Itulah interaksi sebenar yang pertama
antara kami tanpa kehadiran orang lain. Beliau nampak begitu berminat untuk
menyertai UMNO, jadi beliau sedia bertolak-ansur dan tidak memperlihatkan
tindak-tanduk yang boleh menyebabkan hasratnya ditolak.
6. Apabila
saya bertanya mengapa beliau mahu menjadi sebahagian daripada UMNO, beliau
berkata yang beliau kini bersetuju dengan perjuangan UMNO. Beliau mengaku
kepimpinan ABIM agak kritikal dengan keputusannya dan mereka juga hendak tahu
mengapa beliau mahu sertai UMNO.
7. Beliau
memberitahu mereka yang beliau mahu mengubah UMNO supaya sependapat dengan ABIM
dan mempengaruhi Kerajaan dari dalam.
8. Menurut
Anwar, agenda beliau adalah mahu mengubah Kerajaan menjadi Kerajaan Islam dan
dengan itu, menyertai UMNO adalah cara paling berkesan untuk melakukannya.
Pada
masa itu pun beliau sudah menunjukkan kepintarannya. Beliau berjaya menyakinkan
ABIM dan membuat peralihan tanpa memutuskan hubungan dengan pergerakan itu.
Bahkan kemudiannya saya mendapati beliau boleh menyakinkan pihak yang
bertelingkah dengannya bahawa beliau bersetuju dengan mereka semua.
9. Rancangan
beliau untuk mengubah UMNO dari dalam tidak membimbangkan saya sebab saya yakin
saya boleh menangani beliau. Lagi pun saya berpendapat, kalau beliau sertai PAS
tentu beliau boleh menang pilihan raya dan ini mungkin akan membantu menarik
keluar ahli UMNO daripada parti.
10. Dalam
erti kata lain, besar kemungkinan beliau akan jadi duri dalam daging jika
berada di luar UMNO. Ciri positif penyertaan beliau dalam UMNO boleh dilihat
dari sudut seorang pemimpin muda yang memiliki ramai pengikut, maka sudah tentu
beliau mempunyai banyak kenalan di kalangan pemimpin belia seluruh dunia.
11. Bentuk
Islam yang diperjuangkannya tidak mengasingkan beliau daripada pemimpin belia
bukan Islam manakala pemimpin belia Islam dan aktivis Islam yang lain
menganggap beliau seorang pemimpin besar Islam.
12. Sebagai
pemimpin ABIM, beliau mempunyai pengikut yang ramai dan ini boleh memberi
kelebihan kepada UMNO. Di kalangan pergerakan Islam Malaysia, ABIM memang luar
biasa. Ia cergas membantu belia Islam menimba ilmu, menyebarkan ajaran Islam
dan membuat kerja-kerja kebajikan.
13. Walaupun
ABIM tidak rapat dengan UMNO atau kerajaan pimpinan UMNO, ia pula tidak
menampakkan sifat melampau. Penyertaan Anwar dalam UMNO mungkin dapat
melembutkan pendirian ABIM terhadap kerajaan atau setidak-tidaknya
menumpulkannya sedikit.
14. Dengan
imej Islamnya, saya berharap Anwar akan memperkukuhkan kewibawaan UMNO sebagai
parti yang memperjuangkan Islam. Setelah saya putuskan untuk menerima keahlian
beliau dan mendapati tidak ada bantahan kuat daripada rakan-rakan, maka saya
pun mengaturkan supaya beliau menandatangani borang keanggotaan di pejabat
saya.
15. Anwar
secara rasmi menyertai UMNO pada 1982. Saya adakan satu sidang akhbar di
pejabat saya bagi mengumumkan hal itu dengan dihadiri oleh Anwar sendiri.
Tindakan saya menggunakan premis kerajaan untuk urusan parti dikecam oleh Tan
Sri Tan Chee Khoon, bekas pemimpin Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS)
(b).
16. Tan
terkenal di seluruh negara sebagai Mr Opposition (Tuan
Pembangkang). Saya membalas dengan mengatakan bahawa ia akan dilihat sebagai
satu lakonan kalau saya keluar dari pejabat bagi urusan menandatangani surat
penyertaan itu dan kemudian balik semula ke pejabat untuk menemui Anwar seperti
yang lazim saya lakukan dengan semua tetamu, tidak kira orang politik atau
bukan politik.
17. Saya
kenal bapa Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, seorang penyokong kuat UMNO yang
menjadi Ahli Parlimen bersama-sama saya di antara tahun 1964 dan 1969. Dengan
itu saya berpendapat tentulah di dalam hatinya, Anwar juga orang UMNO. Malah
beliau menjadi penyokong saya sewaktu saya berselisih faham dengan Tunku
sekitar tahun 1969-1970.
18. Anwar
juga mempunyai ciri-ciri yang boleh menyumbang ke arah memperbaiki kedudukan
UMNO di kalangan cendekiawan. Beliau banyak membaca dan boleh memetik kata-kata
hikmat ramai ahli falsafah dan pemikir, daripada Sun Tzu kepada Malik Bennabi.
19. Pencapaian
bahasa Melayu beliau cemerlang dan gemar menggunakan bahasa sastera dalam
ucapan-ucapannya. Walaupun ramai yang terpaksa merujuk kamus kerana
istilah-istilah yang digunakannya, gaya beliau berucap tetap mengagumkan
mereka.
20. Beliau
juga boleh bergaul baik dengan ahli akademik di dalam dan luar negara. Saya
benar-benar percaya beliau akan menjadi aset kepada parti, jadi saya cenderung
untuk memberi sokongan saya kepada beliau.
21. Sesetengah
ahli UMNO bagaimanapun bimbang dan berasa terancam oleh Anwar. Ketika Tun Razak
menjadi Perdana Menteri, golongan ini telah bekerja keras menentang kegiatan
antikerajaan Anwar. Kumpulan yang tidak sukakan Anwar itu dipimpin oleh Tun
Abdullah Ahmad Badawi dan antara anggotanya ialah Tan Sri Abdul Aziz
Shamsuddin, bekas Setiausaha Politik saya yang kemudiannya dilantik menjadi
Menteri. (c)
22. Saya
tidak fikir Aziz menerima hakikat kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Bahkan
kedua-dua Tun Abdullah dan Aziz berpendapat tindak-tanduk dan kata-kata Anwar
hanyalah satu lakonan. Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmud, yang kemudiannya menjadi
bapa mertua Anwar, juga adalah antara orang yang menentang keras terhadap
beliau.
23. Pada
masa itu, Wan Ismail bekerja dengan sebuah unit perang saraf dan menjadi
seorang penyokong kuat Kerajaan. Apabila saya mendapat tahu yang beliau
membantah Anwar mengahwini anaknya, Dr Wan Azizah, saya memujuk beliau agar
berlembut. Ini berlaku sebelum Anwar menyertai UMNO.
24. Petanda
tidak baik yang pertama mengenai Anwar muncul apabila saya membentuk Kabinet
pada 1982 dan melantik beliau sebagai Timbalan Menteri. Beliau datang berjumpa
saya bagi menyatakan kehampaan kerana tidak dilantik menjadi Menteri penuh.
Saya tergamam. Saya kata: “Ada ramai lagi orang yang lebih kanan daripada awak.
Bagaimana saya hendak melantik awak?”.
25. Saya
juga memberitahunya belum pernah sesiapa yang menjadi pengkritik kerajaan
diangkat sebagai anggota penuh Kabinet dalam masa yang singkat. Lagipun, beliau
baru sahaja menyertai UMNO. Anggota kanan Kabinet tentu tersinggung kalau
beliau terlalu cepat dinaikkan pangkat menjadi Menteri penuh. Saya sudah pun
memberi beliau jawatan yang tinggi dengan melantiknya menjadi Timbalan Menteri.
26. Jadi,
tindakan beliau merungut mengenainya adalah tidak wajar dan tidak pernah
berlaku sebelum ini. Pada masa itu saya tidak sedar betapa tingginya cita-cita
beliau. Mungkin saya sepatutnya berhati-hati sejak saat itu lagi mengenai
cita-cita beliau dan kemarahannya yang amat sangat apabila rancangannya
dihampakan.
27. Satu
lagi bukti tentang cita-cita Anwar yang tinggi dapat dilihat pada pemilihan
UMNO 1982 apabila beliau memutuskan untuk bertanding jawatan tertinggi Pemuda.
28. Ketua
Pemuda waktu itu, Datuk Suhaimi Kamaruddin suka memegang lama jawatan yang
disandangnya dalam mana-mana pertubuhan yang diketuainya. Misalnya, sewaktu
memimpin Gerakan Belia 4B Malaysia (d) beliau sentiasa mengubah peraturan
supaya boleh terus memimpin.
29. Saya
menyokong usaha Anwar itu, tetapi Suhaimi menolak cadangan mengundurkan diri
untuk Anwar. Akibatnya, hubungan saya dengan Suhaimi jadi agak tegang. Beliau
tetap berkeras mahu menentang Anwar. Suhaimi kalah dan berasa amat marah. Pada
1987, beliau menyokong Tengku Razaleigh mencabar kepimpinan saya. Hal ini akan
saya ceritakan kemudian.
30. Mulai
saat itu, cita-cita Anwar yang tidak kenal sempadan semakin jelas. Beliau mahu
mara dalam hieraki UMNO secepat mungkin, seolah-olah itu sahajalah matlamat
beliau menyertai UMNO.
31. Saya
segera menyedari hal ini, tetapi tidak mengambil sebarang langkah untuk
menghalang kerana saya tahu beliau mempunyai sifat seorang pemimpin yang baik.
lagipun,
elok juga kalau ada seorang yang boleh diharapkan dalam barisan kepimpinan
untuk bersedia mengambil alih tempat saya.
32. Bagaimanapun,
menjadi Ketua Pemuda UMNO tidak memberi kepuasan yang lama kepada Anwar. Beliau
mahu menjadi Naib Presiden yang dipilih pula. Sebagai Ketua Pemuda, beliau
secara automatik adalah Naib Presiden sebagaimana ketua-ketua sayap UMNO yang
lain kecuali Puteri UMNO kerana baru ditubuhkan.
33. Saya
dapat tahu hasrat Anwar untuk bertanding jawatan Naib Presiden daripada Tan Sri
Megat Junid Megat Ayub yang ketika itu adalah seorang Timbalan Menteri. Saya
beritahu Megat bahawa Anwar sepatutnya berpuas hati dengan kedudukannya dan
bagi peluang orang lain untuk naik.
34. Bagaimanapun
akhirnya, disebabkan Anwar begitu mendesak, saya biarkan juga beliau
bertanding. Mengapa saya sokong beliau? Mengapa saya tidak sekat beliau
daripada bertanding? Sebenarnya saya tidak menyokong beliau, tetapi saya juga
tidak menghalang. Apakah ada cara bagi saya untuk berkata jangan bertanding?
35. Sesetengah
orang mungkin menganggap bahawa kebenaran yang saya berikan kepada Anwar untuk
bertanding menandakan saya menyokongnya. Tidak sama sekali. Ia bukanlah
sokongan cuma saya tidak ada sebarang alasan untuk menyekat hasrat beliau.
Namun
saya ada beritahu Megat bahawa pada pendapat saya, langkah Anwar itu tidak
patut dan sikap tidak sabar beliau jelas kurang sopan. Bagaimanapun, tindakan
beliau itu tidak melanggar parti.
36. Ada
tiga jawatan Naib Presiden yang dipilih di dalam UMNO. Ia adalah jawatan paling
kanan selepas Presiden dan Timbalan Presiden. Mengikut resam, Presiden akan
jadi Perdana Menteri dan Timbalan Presiden jadi Timbalan Perdana Menteri.
37. Disebabkan
kedudukan Naib Presiden hanya setapak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, maka
pertandingan untuk kerusi itu amat sengit. Inilah peringkatnya penyandang cuba
membuktikan kebolehan dan memperkukuhkan kedudukan sebagai bakal pengganti
untuk jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya Presiden.
38. Saya
tahu benar betapa sengitnya pertandingan jawatan itu, terutama kalau penyandang
tidak bersedia mengundurkan diri untuk mewujudkan kekosongan. Ini kerana saya
sendiri pernah bertanding merebut salah satu daripada tiga jawatan Naib
Presiden di mana semua tiga penyandang turut bertanding, iaitu pada 1971/1972
dan saya tewas.
39. Saya
tidak pernah bercakap dengan Anwar mengenai hasrat beliau untuk bertanding
jawatan Naib Presiden. Tindakan saya yang tidak melarang atau menggalakkan
Anwar daripada bertanding tidak ada kena-mengena dengan sikap saya terhadap
beliau. Itu memang cara dan peribadi saya.
40. Sebagai
Presiden UMNO juga, saya jarang cuba mempengaruhi pemilihan parti. Jika saya
melibatkan diri, ia adalah dengan matlamat umum dan buka peribadi. Saya memilih
untuk tidak campur tangan dalam pertandingan untuk jawatan tertentu parti. Saya
tidak suka menyokong seorang yang tewas dan kemudian terpaksa bekerja dengan
yang menang.
Namun
saya sedar bahawa walaupun saya sendiri tidak peduli sangat hal-hal sebegitu,
ramai ahli UMNO menganggap pendirian berkecuali saya sebagai tanda sokongan dan
meletakkan nilai yang tinggi kepada etika dan petunjuk lampau tradisi Melayu.
41. Apa
pun, mereka masih melihat sikap gelojoh Anwar untuk naik sebagai tidak wajar
sama sekali. Sebahagian sebab Anwar pantas membina asas kuasa dalam parti adalah
kerana imej keagamaannya dan apabila beliau menjadi Menteri Pelajaran, beliau
berbuat baik dengan guru-guru Melayu dan kesatuan mereka.
42. Sebelum
orang Melayu menonjol dalam sektor perniagaan sekitar 1990-an, guru adalah
kumpulan yang mempunyai pengaruh kuat di dalam UMNO dan dianggap sebagai satu
blok kuasa yang besar di dalam parti. Mereka juga mempunyai hubungan yang rapat
dengan orang Melayu akar umbi, pengundi di kampung dan Melayu bandar. Mereka
memahami sentimen dan aspirasi orang Melayu.
43. Apabila
Anwar hendak mengambil hati dan mendapatkan sokongan, beliau sangat berbudi
bahasa dan menawan. Beliau boleh memikat hati orang alim Arab dan berbaik-baik
dengan pelampau Yahudi yang anti-Arab. Beliau tidak dilihat sebagai seorang
ekstremis Islam.
44. Bahkan
selepas didapati bersalah kerana rasuah dan liwat pada 1999, pun masih ramai
orang Islam yang terus mempercayai Anwar. Mereka juga percayakan cerita
kejadian itu mengikut versi beliau.
45. Dalam
hubungan ini, jelaslah beliau seorang lelaki yang agak luar biasa. Anwar begitu
menyakinkan dan tahu bagaimana memujuk orang ramai agar mempercayai beliau. Bagi
kebanyakan orang Islam, Anwar tampil sebagai seorang yang sangat warak. Sebelum
menyertai UMNO, beliau sudah pun membentuk barisan pengikut yang besar di
kalangan orang Islam antarabangsa. Saya teringat seorang anggota Kedutaan Arab
Saudi di Kuala Lumpur memandang serong terhadap saya, tetapi mengubah
pendiriannya terhadap kepemimpinan saya selepas Anwar menyertai Kerajaan.
46. Anwar
pandai berbaik-baik dengan orang dan tahu bagaimana memenangi sokongan mereka.
Beliau banyak mengembara sewaktu menjadi pemimpin belia, menemui orang
Afghanistan, Pakistan dan ramai pemimpin belia Islam dan bukan Islam yang
terkemuka. Beliau memastikan dapat berjumpa dan berbincang dengan mereka.
Beliau adalah segala-galanya kepada semua orang.
47. Beliau
juga berbaik-baik dengan orang seperti Paul Wolfowotiz yang ketika itu Timbalan
Setiausaha Pertahanan Amerika dan penyokong kuat pencerobohan Israel ke atas
Palestin dan Iraq . (e)
48. Anwar
juga mesra dengan media antarabangsa melalui paparan imej seorang liberal.
Beliau tidak teragak-agak menunjukkan kepada mereka bahawa beliau menentang
banyak amalan Kerajaan Malaysia yang beliau sendiri adalah salah seorang
anggotanya. Beliau mengumpan mereka dengan janji bahawa keadaan akan berubah
sebaik sahaja beliau mengambil alih.
49. Ramai
orang datang memberitahu saya yang beliau sedang berusaha membina populariti
peribadi, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli UMNO. Beliau kerap melawat
bahagian dan cawangan parti, yang pada pandangan saya adalah perkara biasa.
Semua ahli politik cuba mendampingi orang ramai dengan tujuan menjadi popular.
50. Jadi
apabila Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, saya
anggap hubungan baik beliau dengan pemimpin bahagian adalah sesuatu yang
berguna. Suatu hari nanti, beliau akan mengambil alih kepemimpinan. Apabila ini
berlaku, beliau memerlukan orang yang begitu kenali dalam parti untuk
membantunya memimpin UMNO dan negara secara lebih berkesan.
51. Untuk
beberapa tahun lamanya, kami mempunyai hubungan peribadi yang baik. saya
menunggang kuda dan beliau pun belajar menunggang kuda, tetapi Anwar terbukti
seorang penunggang yang tidak sabar. Sebelum beliau belajar menunggang dengan
betul, beliau sudah mula menderap menyebabkannya terjatuh dan hampir patah
tengkuk. Beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Kemudian (semasa dibicara atas
tuduhan) beliau mendakwa polis mencederakan tengkuknya.
52. Sebelum
beliau jadi Timbalan Perdana Menteri, saya kerap bawa beliau bersama-sama saya
dalam lawatan rasmi ke luar negara. Di dalam kapal terbang, kami akan berbual
dan berbincang mengenai politik dan agama, dua tajuk yang kami berdua minati.
Beliau begitu berpengetahuan dan nampak komited dalam hal-hal agama – mengambil
wuduk dan bersolat walaupun di dalam pesawat.
53. Beliau
memikat saya sebagai seorang yang mengagumkan dan warak. Beliau adalah salah
seorang penyokong kuat saya dan sering mengucapkan kata-kata yang betul. Tidak
syak lagi ada aura istimewa – satu karisma – mengenai beliau dan saya juga
mungkin terpengaruh.
Salah
satu amalan dalam UMNO adalah bagi Perdana Menteri mengunjungi rumah
timbalannya pada petang hari pertama Aidilfitri selepas semua pelawat
meninggalkan kediamannya. Kunjung-mengunjungi di kalangan orang Islam bertujuan
menghapuskan segala salah faham dan memperbaharui muhibah dan persaudaraan
untuk tahun akan datang. Ini adalah amalan orang Islam di mana sahaja dan amat
dihargai oleh orang Melayu dan orang Islam Malaysia.
54. Hubungan
di antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sebagaimana yang saya
sendiri alami dengan Tun Hussein, adalah sangat kompleks. Jadi amat penting,
kepercayaan antara dua pemimpin tertinggi parti dan kerajaan ini diulang tegas.
55. Bagaimanapun,
di antara Anwar dan saya tidak wujud keperluan khusus untuk membina muhibah
atau mengubati luka kerana keluarga kami sangat rapat antara satu sama lain.
Isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyediakan masakan utara
yang saya suka dan beliau dengan Hasmah sangat akrab.
56. Saya
menyenangi Wan Azizah yang mempunyai tarikan tersendiri. Walaupun selepas kami
berpecah haluan, saya tidak dapat menganggap beliau sebagai musuh politik atau
seseorang yang bergaduh dengan saya. Saya faham keputusan beliau untuk
menyokong suaminya.
57. Anwar
juga seorang yang gemar menerima tetamu. Pada bulan puasa, beliau akan
menghabiskan banyak hari untuk berbuka dengan ramai orang di rumahnya. Di
majlis itu, saya dapati beliau juga menjemput Menteri Besar dari semua negeri.
58. Saya
sendiri tidak pernah melakukannya kerana memikirkan tentulah sukar bagi orang
di luar Kuala Lumpur hendak datang hanya kerana jamuan malam yang pendek.
Kerajaan yang bayar belanja perjalanan mereka. Namun Anwar tentu merasakan ia
adalah satu amalan hubungan awam yang baik dan menguntungkan dari segi politik.
59. Selepas
dapat jawatan Naib Presiden, Anwar masih resah. Matlamat beliau seterusnya
ialah jawatan Timbalan Presiden. Beliau tahu Timbalan Presiden akan jadi
Timbalan Perdana Menteri.
60. Pada
masa lalu, Timbalan Presiden jarang dicabar. Cabaran hanya berlaku dalam
keadaan luar biasa seperti pada 1987 apabila saya sebagai Perdana Menteri dan
Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri, telah ditentang. Saya dicabar
oleh Tengku Razaleigh Hamzah manakala Tun Musa Hitam mencabar Tun Ghafar.
61. Jadi
dengan mencabar Tun Ghafar, Anwar bukan sahaja melanggar tradisi parti, tetapi
juga mempamerkan ketidaksabaran beliau untuk sampai ke puncak. Apabila beliau
datang menemui saya untuk menyatakan hasratnya itu, saya tegaskan kepadanya
bahawa tidak sesuai mencabar Tun Ghafar kerana Tun Ghafar adalah calon saya
untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya minta beliau agar tidak
bertanding. Buat seketika beliau nampaknya mendengar nasihat saya dan tidak
berkempen.
62. Bagaimanapun
apabila saya mengkritik sesetengah pemimpin UMNO Terengganu kerana kekal
terlalu lama dalam jawatan dan tidak memberi peluang kepada golongan muda,
beliau menakrifkan hujah saya itu sebagai bermaksud bahawa saya mahu pemimpin
yang lebih tua seperti Tun Ghafar berundur.
63. Anwar
anggap cabaran beliau terhadap Tun Ghafar adalah sejajar dengan pandangan saya.
Jadi tanpa meminta kebenaran saya, beliau memulakan kempennya.
64. Saya
tidak tahu macam mana Anwar melakukannya, tetapi lebih daripada dua pertiga
bahagian mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Malah
bahagian-bahagian yang memang diketahui penyokong kuat Tun Ghafar pun tidak
mencalonkan Tun Ghafar dan jelaslah beliau akan kalah.
65. Melihat
keadaan yang tidak memberi harapan kepada beliau maka Tun Ghafar memilih untuk
mengundurkan diri dan Anwar menang tanpa dicabar. Saya
tidak mahu menggugurkan Tun Ghafar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri,
tetapi apakah alasan kalau saya tidak melantik Timbalan Presiden baru UMNO ke
jawatan itu?
66. Saya
sentiasa menimbang dan mengikut kehendak UMNO. Misalnya, pada 1993 apabila
parti memilih Tun Abdullah sebagai salah seorang Naib Presiden, saya bawa
beliau balik semula ke dalam Kabinet walaupun beliau menyokong Tengku Razaleigh
menentang saya pada pemilihan 1987.
67. Kemudian
saya diberitahu yang Anwar sedang giat mencari sokongan untuk dirinya di
kalangan bahagian UMNO dan pada masa yang sama menggesa mereka mengkritik saya.
Itu pun saya tidak peduli. Saya beritahu diri sendiri, tidak mengapalah Anwar
buat begitu sebab beliau pun akan menjadi Perdana Menteri menggantikan saya.
68. Saya
mahu mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan beliau, jadi saya bersedia
mengetepikan sikap tidak sabar beliau berhubung persaraan saya.
69. Adalah
sukar untuk menyalahkan ahli politik kerana bercita-cita besar, bekerja kuat
dan berpandangan jauh. Mungkin masyarakat Melayu sekarang memerlukan pemimpin
seperti beliau dan lagi ramai lagi baik. Kita sudah jauh meninggalkan zaman
ramah mesra Tunku yang amat membimbangkan saya sekitar lewat 1960-an. Mungkin
itu ada baiknya, dan pendekatan agresif Anwar adalah manifestasi politik baru
orang Melayu.
70. Seperti
yang telah saya katakan bahawa apabila Anwar menyertai UMNO, ramai ahli kanan
parti tidak sukakan beliau kerana beliau menjadi ancaman kepada cita-cita
mereka. Hubungan Anwar dan Tun Abdullah tidak pernah baik kerana sewaktu Tun
Abdullah menjadi kakitangan awam, beliau telah ditugaskan oleh Tun Razak untuk
menentang kepemimpinan Anwar dalam gerakan pelajar dan belia Islam.
71. Dengan
peningkatannya yang pantas dalam UMNO, Anwar sudah tentulah menjadi ancaman
kepada kepemimpinan Tun Abdullah di dalam UMNO Pulau Pinang. Kebimbangan Tun
Abdullah itu menjadi kenyataan apabila Anwar menjadi Timbalan Persiden dan
menggantikan Tun Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar segera
mengambil alih jawatan Tun Abdullah sebagai ketua perhubungan UMNO dan Barisan
Nasional Pulau Pinang.
72. Masa
berlalu dan saya dapati kecaman Anwar terhadap Kerajaan, terutama berkaitan
dakwaan kronisme menjadi semakin terbuka. Beliau bercakap mengenai apa yang
disifatkannya sebagai penyalahgunaan amanah rakyat dan dengan menyusun
kata-kata sebegitu rupa, beliau memberi gambaran saya terbabit.
73. Secara
prinsipnya beliau mengutuk kronisme dan ini sangat saya alu-alukan, tetapi
kata-kata beliau itu ibarat gergaji bermata dua. Retorik beliau adalah mainan
moral – beliau adalah baik dan sesiapa sahaja yang ditendangnya adalah jahat.
74. Apabila
beliau bercakap lantang menentang kronisme di peringkat atas, kepada siapakah
beliau tujukan kata-kata itu kalau bukan kepada saya? Di atas adalah saya dan
beliau, tidak ada orang lain lagi.
75. Lagipun
dengan mengutuk kronisme, beliau cuba memberi gambaran yang beliau sendiri
tidak terlibat. Ia adalah strategi yang baik bagi mengalih pandangan daripada
kronisme beliau sendiri.
76. Ahli
kanan UMNO memberi amaran kepada saya bahawa Anwar sedang merancang sesuatu
yang tidak baik dan beliau tidak setia kepada parti. Selepas menyingkirkan Tun
Ghafar, kata mereka, sasaran Anwar yang berikutnya adalah saya. Namun saya
tidak bimbang. Saya tidak fikir beliau akan berjaya dan saya amat yakin dengan
kedudukan saya.
77. Walaupun
keadaan sudah menjadi tidak ‘selesa’ lagi, saya fikir saya boleh menanganinya.
Saya tidak percaya beliau boleh mendapat cukup sokongan kalau menentang saya.
Sekalipun saya masih anggap Anwar sebagai seorang pemimpin yang berkesan, saya
rasa hasrat beliau untuk menyingkirkan saya terlalu tergesa-gesa.
78. Bagaimanapun,
dengan keyakinan teguh terhadap diri sendiri dan jalan yang saya pilih telah
membolehkan saya menerima sebarang perbezaan pendapat dengan orang yang
berfikir dan bertindak berlainan daripada saya. Mungkin saya terlalu yakin,
tetapi bagi saya adalah penting semua pihak yang bertelagah diberikan ruang di
dalam parti.
79. Kalau
kita menyingkirkan seorang pemimpin, seorang yang lain pasti akan mengorak
langkah untuk mengambil tempatnya. Tidak ada jaminan orang yang menggantikan
itu tidak bercita-cita besar atau menimbulkan masalah. Kita masih terpaksa
berdepan dengannya.
80. Saya tahu mesti ada yang akan menyokong Anwar jika beliau
mencabar saya, dan pergeseran ini akan melemahkan UMNO. Namun, saya bersedia
menangani semua ini.
Beberapa
orang yang rapat dengan saya – orang yang tidak ada kedudukan atau kepentingan dalam
politik – juga memberitahu saya tentang apa yang mereka lihat dan dengar
mengenai Anwar. Mereka tidak disuruh oleh sesiapa untuk memaklumkannya kepada
saya, jadi tidak ada sebab untuk saya mempersoalkan motif mereka.
81. Ketika
itu, bermacam-macam cerita sudah disebarkan dan digalakkan penyebarannya.
Sesetengah khabar angin mengenai tuduhan rasuah dan kronisme terhadap saya mula
sampai kepada akhbar. Kesudahannya, bagi menghentikan semua tuduhan itu, saya
terpaksa siarkan nama semua orang yang mendapat kontrak kerajaan sewaktu Anwar
menjadi Menteri Kewangan.
82. Senarai
itu menunjukkan ramai daripada mereka yang mendapat kontrak secara rundingan
adalah kawan-kawan dan anggota keluarga beliau. Terdapat juga seorang dua
anggota keluarga saya dan orang yang ada kaitan dengan saya, tetapi kontrak
mereka terlalu kecil.
83. Memekik
“pencuri” adalah helah terbaik untuk mengalih perhatian orang daripada kita dan
itulah strategi yang diguna oleh Anwar. Saya khuatir strategi itu masih
digunakannya.
Saya
perhatikan Anwar mempamerkan watak yang mengagumkan di khalayak ramai. Beliau
juga berjaya meninggalkan kesan kepada wartawan Amerika dan Barat dengan
idea-idea beliau yang pada zahirnya nampak liberal.
84. Beliau
mengatur lawatan senator dan ahli kongres Amerika ke Malaysia setiap tahun
dengan dibiayai oleh tabung yang ditubuhkannya. Senator dan ahli kongres itu
percaya Anwar adalah seorang ahli politik yang liberal dan demokratik. Mereka
sukakan Anwar.
85. Pada
masa yang sama, beliau mengekalkan hubungan dengan ramai aktivis Islam di dunia
Islam. Semua landasan yang beliau bina ini terbukti berguna kemudiannya.
Perhubungan yang dijalin dan imejnya yang menyerlah telah meletakkan beliau di
atas landasan yang kukuh apabila beliau dihadapkan ke mahkamah dan dihukum atas
tuduhan jenayah. Mereka percaya dengan cerita beliau yang ianya telah
diperangkap bagi menghalangnya menjadi Perdana Menteri.
86. Tidak
syak lagi orang Amerika anggap beliau akan menjadi Perdana Menteri yang lebih
baik daripada saya. Itulah yang diuar-uarkan oleh sebilangan akhbar dan majalah
perdagangan utama mereka.
87. Saya
kononnya kasar dan tidak pernah disukai oleh orang Amerika. Itu pun saya masih
cuba memenuhi kehendak Anwar dengan menemui senator dan ahli kongres yang
dijemputnya ke Malaysia dan menyertai seminar yang beliau anjurkan. Mengapa
pula saya mesti menolaknya?
88. Saya
tidak mempertikaikan matlamat beliau mengundang mereka ke Malaysia setiap tahun
atas andaian membolehkan mereka mengenali Malaysia dengan lebih baik.
89. Apabila
tindakan diambil terhadap beliau kerana melanggar undang-undang jenayah kita,
semua orang ini mengutuk saya dan menuntut pembebasan beliau. Memandangkan
Anwar popular di pentas antarabangsa maka penangkapan dan perbicaraannya atas
dua tuduhan jenayah menjadi masalah yang terpaksa kerajaan tangani.
90. Sekali
lagi masalah timbul apabila Anwar mendakwa beliaulah yang berjaya menangani
krisis mata wang 1997/1998.
91. Di
dalam negara, sesetengah pemimpin UMNO yang beliau tidak suka atau yang rapat
dengan saya, mengadu bahawa sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar buat hidup
mereka susah. Seorang Ketua Menteri dituduh mempunyai hubungan sulit dengan
seorang pelajar perempuan. Beliau mendakwa, Timbalan Perdana Menteri
mengarahkan kes itu diberikan publisiti yang luas dan akhirnya, Ketua Menteri
itu hilang jawatan.
92. Pada
1993, Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohamad Hanif Omar datang menemui saya
dengan bukti salah laku seksual Anwar. Tuduhan itu terlalu serius sehingga saya
fikir, mustahil ia benar dan mungkin itu adalah sebahagian daripada rancangan
tak masuk akal untuk menjatuhkan beliau.
93. Saya
tidak mencadangkan agar tindakan diambil, tetapi mengikut amalan polis, mereka
akan tetap meneruskan pengawasan. Selepas itu, tidak ada lagi laporan dibuat
kepada saya sehinggalah pada 1998 apabila terdapat bukti yang sangat kuat
sehingga memaksa saya bertindak. Saya akan bincangkan perkara ini di dalam bab
yang lain.
94. Sementara
itu, percubaan Anwar untuk memaksa saya berundur semakin ketara. Walaupun saya
tidak begitu bimbang, hubungan kami terus tegang dan saya mula ragu-ragu sama
ada beliau boleh menjadi pemimpin yang baik dan seterusnya menggantikan saya.
Saya tetap meneruskan tugas seolah-olah tidak ada apa yang berlaku, sama
seperti keadaan menjadi sukar dengan Tun Musa. Itulah cara saya berurusan
dengan orang – saya tidak menuduh mereka apa-apa. Saya teruskan kerja.
95. Sewaktu
Tun Musa menentang saya, saya fikir beliau merosakkan dirinya sendiri kerana
beliau menjadi tidak popular dengan parti. Saya sedia menerima beliau semula
dan saya tidak membantah apabila penyokongnya mahu beliau kembali sebagai
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden parti. Itu terbukti satu
strategi yang betul.
96. Kini
dengan Anwar, saya mengambil pandangan dan pendekatan yang serupa. Anwar kekal
dengan sifat mengambil hati dan bertindak seolah-olah tidak ada apa yang
berlaku. Sementara itu, saya dengar ada beberapa orang anggota Kabinet yang
pergi merata-rata tempat bercakap buruk mengenai saya.
97. Namun
apa pun yang beliau dan sekutunya lakukan serta taktik kotor yang digunakan,
Anwar kekal dengan reputasinya sebagai orang warak dan terhormat.
98. Saya
simpan di dalam hati sebarang keraguan mengenai beliau. Saya yakin jika beliau
melancarkan cabaran terbuka terhadap kedudukan saya sebagai Presiden UMNO, saya
boleh menewaskannya.
99. Rancangan
saya meletak jawatan selepas Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 bagaimanapun
terbantut akibat serangan terhadap ringgit Malaysia oleh peniaga mata wang
antarabangsa pada 1997-1998.
100. Apa
pun rancangan peribadi saya, ternyata saya tidak boleh berundur dalam keadaan
sebegini. Saya tidak boleh bersara sewaktu negara menghadapi krisis besar. Saya
berpendapat bahawa menjadi tugas saya memperbetulkan keadaan.
101. Ini
menjadi lebih mendesak kerana Anwar, sebagai bakal pengganti saya, nampaknya
tidak berupaya menangani krisis itu. Beliau telah bertindak mengikut formula
IMF dan keadaan menjadi bertambah buruk. Kecuali tindakan pembetulan dibuat,
negara yang bakal diwarisi oleh pengganti saya akan menderita kemelesetan
ekonomi yang teruk.
Notes
(a)
Angkatan Belia Islam diasaskan pada tahun 1972 dan telah menyokong kebangkitan
semula Islam dan penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia.
(b)
Tan adalah pengasas Gerakan, tetapi telah menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat
Malaysia, iaitu sebuah parti pelbagai kaum pada 1972 setelah Gerakan menyertai
Kerajaan Barisan Nasional. Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum 1974,
hanya beliau sahaja ahli parti yang telah memenangi kerusi Persekutuan. Parti
tersebut dibubarkan apabila beliau bersara pada 1977 dan kebanyakan ahlinya
menyertai DAP.
(c)
Datuk Abdul Aziz Shamsuddin menjadi Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar
pada 2006 sebelum hilang kerusi Persekutuannya kepada Khalid Abdul Samad dari
PAS dalam Pilihan Raya Umum 2008.
(d)
Gerakan Belia 4B Malayisa yang ditubuhkan pada 1966 sebagai sebuah pergerakan
remaja kebangsaan telah bertindak sebagai medan ujian bagi pemimpin muda UMNO.
(e)
Seorang ahli politik Amerika Syarikat yang telah berkhidmat dalam pentadbiran
Ronald Reagan dan George W. Bush, Wolfowitz juga adalah duta Amerika Syarikat
ke Indonesia sebelum berkhidmat sebagai Presiden Bank Dunia sehingga Jun 2007,
apabila beliau dipaksa meletakkan jawatan atas dakwaan membabitkan kenaikan
pangkat yang tidak wajar seorang pekerja bank bernama Shaha Reza, yang
merupakan teman wanitanya.
Dipetik dari : Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad
sabarnya Tun menangani sikap tamak haloba akan pangkat dunia si nuar ni. kalau aku la berada kat posisi Tun tak tau la apa aku akn buat pada si mangkuk sorang ni
ReplyDeleteTERIMA KASIH TUN MAHATHIR KERANA SELAMATKAN NEGARA DARI MAKHLUK YG BERNAMA anwar ibrahim....
ReplyDelete