Firman Allah dalam
Surah An-Nisa ayat 59:
"Wahai orang-orang yang
beriman, taatlah kamu kepada
Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amin"
(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu".
Rasulullah SAW
bersabda "Sesiapa yang taat kepada Ku, beerti ia taat kepada
Allah, sesiapa yang derhaka kepadaKu bermakna dia derhaka kepada Allah; sesiapa
yang taat kepada pemerintah bermakna ia taat kepadaKu, dan sesiapa yang derhaka
kepada pemerintah bermakna ia derhaka kepadaKu." (Riwayat
Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah).
Wajib ke atas setiap
Muslim patuh dan taat kepada pemerintah samada ia suka atau tidak, selama mana ia
tidak diperintah melakukan maksiat; sekiranya ia diperintah melakukan maksiat,
maka janganlah patuh dan taat."
Sabda Baginda Rasulullah SAW lagi "Kamu akan diperintah olek pemerintah-pemerintah
selepas aku; yang baik akan memerintah kamu dengan kebaiknannya dan yang tidak
baik akan memerintah kamu dengan keburukannya, maka hendaklah kamu dengar dan
taat kepada mereka pada setiap perintah yang sesuai dengan kebenaran; sekiranya
mereka melakukan kebaikan, maka kebaikan itu bagi kamu dan bagi mereka; tetapi
sekiranya mereka melakukan kejahatan, maka kamu akan beroleh kebaikan, tetapi
mereka akan menerima akibat kejahatan yang mereka lakukan." (Hadis ini disebut oleh AI-Mawardi dalam kitabnya
Al-Ahkam al-Sultaniah dari riwayat Abu Hurairah).
"Sesiapa yang menarik
kesetiaannya kepada pemerintah, ia menemui Allah tanpa sebarang hujah, sesiapa
yang mati tanpa kesetiaan kepada pemerintah, mati ia seperti dalam jahiliah
(maksiat)". (Riwayat Muslim)
"Taatilah kepada pemerintah kamu
bagaimanapun keadaannya sekiranya mereka memerintahkan kamu dengan perintah
yang sesuai dengan ajaranKu, maka mereka akan diberi pahala dan kamu juga akan
diberi pahala kerana mentaati mereka; sekiranya mereka memerintah kamu dengan
perintah yang tidak sesuai dengan ajaranKu, maka dosanya ditanggung oleh mereka
dan kamu terselamat dari dosa." (Riwayat
Al-Tabari)
"Sekiranya kamu
berada di bawah pemerintah-pemerintah yang menyuruhkan kamu mendirikan
sembahyang, menunaikan zakat dan berjihad, maka haramlah ke atas kamu mencaci
mereka dan halallah bagi kami mengikut mereka". (Riwayat Al-Tabrani)
Inilah nas-nas
Al-Quran dan Hadis yang mewajibkan umat yang mentaati pemerintah Islam
(Waliyullah Amri). Abu Hurairah mentafsirkan perkataan ulil amri dalam ayat 59
Surah An-Nisa' di atas sebagai 'golongan pemerintah' (Tafsir Al-Tabari).
Prinsip ketaatan kepada pemerintahan ini sangat
penting dalam Islam, kerana kehidupan umat serta peraturan-peraturan yang
dibawa oleh Islam "tidak akan dapat ditegakkan tanpa wujudnya pemerintah
yang ditaati" (Imam al-Ghazali, al-Iqtisad dan Fi al-I'tiqad). Kerana itu
mentaati ketua negara adalah "sebahagian dari asas-asas utama bagi syariat
Islam yang suci dan benar ini" (al-Absyihi al-Mustatraf).
Bertolak dari prinsip ini jugalah, maka perbuatan
mencabar pemerintah yang sah sehingga membawa kepada perpecahan masyarakat yang
boleh memecahkan perpaduan dan melemahkan umat, adalah merupakan kesalahan yang
dipandang berat oleh agama, seperti yang tersebut dalam sebuah hadis:
"Sesiapa yang datang kepada
kamu pada hal kamu semua bersatu di bawah seorang pemerintah, ia ingin
penderhakaan dan memecah perpaduan kamu, maka hendaklah ia dibunuh." (Riwayat Abu Muslim, Abu Daud, dan An-Nasa'I)
Tahniah kepada MyKmu serta Generasi Bestari, iaitu
Penganjur Program Fiqh Mentaati Pemimpin selama 3 hari di PWTC pada 15-17 June
baru-baru ini. Program tersebut mendapat
sambutan hangat serta pujian dari para peserta kerana berjaya mengupas isu-isu
taat kepada pemimpin menurut Islam yang begitu membelenggu sebahagian rakyat
Malaysia.
Ketika satu demi satu negara Islam di dunia semakin
lemah atau hancur dek kerana rakyatnya telah tersilap pertimbangan akibat
terlalu mengikut emosi sehingga termakan hasutan musuh, Malaysia masih berdiri
teguh dan bertahan dari mengikut jejak langkah mereka.
Memetik kisah yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dr.
Muhammad Uthman el-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of
Islamic Thought & Civilization (ISTAC), UIAM, pembentang kertaskerja ke 7; ketika beliau
berbual dengan seorang Ulama dari Turki, Dr. Ramadhan, kalau tak silap penulis,
telah berkata bahawa “Malaysia adalah negara yang dijadikan seperti neraka –
iaitu dengan terlalu berbilang kaum dan agama seolah-olah ditakdirkan untuk
sentiasa berada dalam kacau-bilau, tetapi pemimpin Malaysia berjaya
menjadikannya sebuah syurga,” - iaitu
makmur dan aman.
Hakikat ini, telah terlebih dahulu ditegaskan oleh
hampir semua pembentang kertaskerja sebelumnya yang mengiktiraf Malaysia
sebagai Negara Islam yang dilimpahi nikmat Allah S.W.T. Malah pembentang ke 3, iaitu Dr. Hamed
Mohamed Abdel Rahman, Mantan Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Azhar Mesir
juga menyatakan nama beberapa tokoh ilmuan Islam, antaranya, Dr. Hamza Hassan
dan beberapa nama lagi yang penulis tidak sempat catitkan, yang semuanya
mengangkat Malaysia sebagai negara yang mampu menjadi peneraju semua negara
Islam di dunia.
Keamanan dan kemakmuran adalah nikmat nyata yang
tidak harus dinafikan. Sikap umat yang
kufur nikmat mampu mengundang bala kepada negara. Tidak ada sesiapa yang lebih layak menilai
nikmat yang dikecapi oleh umat Islam di Malaysia melainkan para Ulama tersohor
dari Negara-negara Arab yang telah menyaksikan kemusnahan di negara
mereka.
Sesungguhnya, pekerjaan, makanan, kemudahan,
keselesaan, keamanan, kesejahteraan, kegembiraan yang kita lalui dalam
kehidupan adalah nikmat dan menafikan hakikat ini, adalah sifat orang-orang
yang kufur.
Tidak mungkin rakyat akan mampu merasai segala
nikmat ini sekiranya pemimpin kita bukan seorang yang layak iaitu adil, cekap,
bijak dan prihatin. Yakinlah bahawa
sekiranya pemimpin yang ada bukanlah seorang yang layak berada di tempatnya,
maka negara ini sudah pasti hancur melihat dari keadaan lanskapnya yang begitu
rapuh iaitu berbilang bangsa, agama dan budaya.
Jika kita meletakkan sesuatu di tempat yang tidak
layak untuknya, maka tunggulah saat kehancurannya.
Berdasarkan fakta ini, semua Ulama yang
membentangkan kertaskerja sepakat bahawa pemimpin yang sedemikian wajib
ditaati.
Pembentang pertama, iaitu Syeikh Mahmoud Abdel Ghany
Mahmoud Ashour, Mantan Timbalan Syeikhul Azhar, Mesir juga menyatakan bahawa
bukan hanya rakyat yang mempunyai hak, tetapi pemimpin juga mempunyai haknya. Antara hak pemimpin ialah untuk ditaati dan
dihormati. Jika tidak, negara mampu
menjadi huru-hara dan tidak akan maju ke hadapan. Lalu, rakyat juga yang akan susah dan
menderita.
Justeru, mentaati pemimpin adalah wajib menurut
Islam. Selagi pemimpin tersebut
menunaikan solat dan tidak menyuruh kepada kemungkaran.
“Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia
akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujjah (alasan)”.
(Hadis Riwayat Muslim. Kitabul Imarah, syarah Nawawi 12/240)
Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:
“Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap
Muslim, taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah.
Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada
penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi kalau taat kepada penguasa
dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberi hal yang memenuhi
kepentingannya ia taat dan sebaliknnya jika tidak diberi dia tidak akan taat,
orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala)”.
(Majmu’ al-Fatawa. 35/16-17. Ibnu Taimiyah)
Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengajar
umatnya agar sentiasa memuliakan penguasa, pemerintah atau pemimpin. Baginda
bersabda:
“Barangsiapa yang memuliakan penguasa (kerana) Allah
(di atas bumi), maka Allah akan memuliakannya pada Hari Kiamat”. (Hadis Riwayat
Ibnu Abi Asim dalam as-Sunnah. Hlm. 275).
Umat yang tidak mentaati pemimpin pastinya akan
berpecah belah. Umat yang berpecah belah
pastinya lemah di mana musuh akan mudah menghancurkan mereka. Lebih buruk lagi,
mereka juga akan menghancurkan sesama sendiri dengan kebencian yang
meluap-luap, hasad dengki, iri hati dan dendam kesumat yang tidak berasas sama
sekali. Untuk menghancurkan sesama
sendiri pula mereka akan menyebarkan fitnah, mencaci dan menipu orang ramai
bagi mencapai matlamat mereka.
Kehancuran sesebuah negara hampir semuanya berpunca
dari tindakan sebahagian rakyat yang menentang pemimpin atau keluar dari jemaah.
Dalam bahasa mudahnya, apa yang boleh disimpulkan
dari isu ‘taat kepada pemimpin’ yang dibentangkan oleh para Ulama di dalam
program tersebut ialah: Pemimpin
Malaysia hari ini adalah orang Islam, yang syahadahnya masih kukuh, solatnya
juga terjaga. Beliau juga tidak pernah
menyuruh sesiapa berbuat maksiat atau melakukan kemungkaran. Jika beliau punya kelemahan dan jika beliau
ada melakukan dosa itu adalah soal dirinya dengan Allah S.W.T. Selagi beliau mampu mentadbir negara dengan
baik sehingga penduduknya aman damai, makmur dan mampu menyediakan kemudahan
asas terutamanya pendidikan, maka menentang beliau adalah satu tindakan yang
bertentangan dengan tuntutan Islam.
Dengan berkat doa para Ulama tersohor dunia, harapan
kita agar Umat Islam di Malaysia kembali bersatu dan menolak seruan golongan
Ulama jahat akhir zaman yang ingin kita semua terus berpecah belah demi
kepentingan diri dan politik kepartian.
Sumber 2: BERUANG BIRU
MH: Penulis tertarik dengan hadis dari Sumber 1 ini "Sesiapa yang datang kepada kamu pada hal kamu semua bersatu di bawah seorang pemerintah, ia ingin penderhakaan dan memecah perpaduan kamu, maka hendaklah ia dibunuh." (Riwayat Abu Muslim, Abu Daud, dan An-Nasa'I). Sangat bertepatan dengan susana sekarang ini di Malaysia
No comments:
Post a Comment