mykmu.net

Tuesday 19 February 2013

RENCANA ILMIAH: MEKANISME PENGURUSAN DAN PENGENDALIAN KRISIS KEGANASAN DI MALAYSIA



Prosedur bertindak dalam menangani sesuatu krisis keganasan adalah melalui mekanisme seperti berikut:

1. Jawatankuasa kawalan keganasan.

a. Bagi tujuan mengurus dan mengendalikan sesuatu krisis keganasan, satu jawatankuasa Kawalan Keganasan ditubuhkan dan bertanggungjawab kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jawatankuasa ini akan digerakkan oleh Bahagian Keselamatan Negara (BKN) apabila tercetusnya sebarang kejadian keganasan yang membawa kepada krisis yang mengancam kepentingan Negara. Jawatankuasa ini bersidang di Bilik Gerakan, Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Unit Pengurusan Krisis dan Bencana, MKN bertanggungjawab menjalankan tugas urusetia kepada jawatankuasa ini.

b. Bidang tugas jawatankuasa kawalan keganasan adalah seperti menentukan strategi bagi mengatasi dan mengendalikan krisis serta tindakan yang perlu diambil akibat dari keganasan yang berlaku. Mengeluarkan arahan dan panduan bertindak kepada pasukan pengurusan krisis termasuk melulus dan mengeluarkan kenyataan media berkaitan dengan krisis.



2. Pasukan Pengurusan Krisis

a. Bagi membantu Jawatankuasa Kawalan Keganasan melaksanakan tindakan menangani keganasan, satu Pasukan Pengurusan Krisis ditubuhkan dan bertanggungjawab terus kepada jawatankuasa tersebut. Jabatan KDN/KA PDRM sebagai urusetia kepada pasukan ini, adalah bertanggungjawab untuk menggerakkan Pasukan Pengurusan Krisis apabila tercetusnya sebarang kejadian keganasan .

b. Bidang tugas Pasukan Pengurusan Krisis (PPK) adalah seperti Mengambil langkah yang perlu sebagai persediaan untuk bertindak bagi menangani krisis yang berlaku di tempat kejadian.Menilai dan menganalisis situasi krisis semasa dan menyediakan pelan tindakan yang kemas, teratur serta berkesan.

c. Seterusnya PPK mengendalikan krisis keganasan secara langsung di tempat kejadian.Membuat perakuan kepada Jawatankuasa Kawalan Keganasan bagi menentukan pemilihan pasukan penggempur sama ada dari PDRM atau ATM berdasarkan bentuk keganasan tersebut dan seterusnya membuat laporan , syor serta nasihat kepada JKK.


3. Pengendalian Krisis Keganasan Yang Melibatkan Warganegara Atau Kepentingan Malaysia Di luar Negara.

a. Bagi kejadian keganasan yang berlaku di luar negara yang melibatkan penahanan warganegara Malaysia sebagai tebusan dimana boleh mengancam nyawa atau tindakan keganasan yang menjejaskan kepentingan Malaysia di luar negara, Jawatankuasa Kawalan Keganasan hendaklah digerakkan. Sebarang bentuk tindakan yang bakal diambil bagi menangani atau menyelesaikan kejadian tersebut akan ditentukan dan diputuskan oleh jawatankuasa ini.


4. Kumpulan bantuan kepada Pasukan Pengurusan Krisis

a. Bagi membantu Pasukan Pengurusan Krisis menjalankan operasi menangani keganasan, tiga kumpulan dibentuk dan bertanggungjawab terus kepada pasukan ini. Kumpulan tersebut adalah Kumpulan perunding, Kumpulan bantuan kecemasan dan Kumpulan Penggempur.


5. Kumpulan Perunding

a. Kumpulan Perunding adalah terdiri daripada mereka yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang perundingan dan berperanan sebagai kumpulan perhubungan dengan pihak pengganas dalam menerima, mengumpul dan menyampaikan maklumat untuk memudahkan Pasukan Pengurusan Krisis membuat keputusan. Tugas utama kumpulan ini adalah untuk mengekalkan perhubungan dan mengadakan perundingan dengan pihak pengganas bagi mencari penyelesaian secara damai tanpa menggunakan keganasan.


6. Kumpulan Bantuan Kecemasan

Kumpulan Bantuan Kecemasan adalah terdiri daripada agensi- agensi yang memberi bantuan kepada Pasukan Pengurusan Krisis dalam bertindak bagi menangani krisis yang berlaku. Agensi- agensi terlibat adalah seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Bulan Sabit Merah dan Telekom Malaysia Bhd. Agensi- agensi berkenaan bertanggungjawab dalam memberikan bantuan kepada Pasukan Pengurusan Krisis.



7. Kumpulan Penggempur

a. Kumpulan Penggempur adalah terdiri daripada unit-unit pasukan keselamatan yang terlatih seperti Pasukan Gerakan Khas (PGK) PDRM, Grup Gerak Khas (GGK) TDM, Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU) TUDM bagi menggempur pengganas jika penyelesaian menerusi rundingan menemui kegagalan, atau jika keadaan di mana tindakan penganas itu akan mengancam keselamatan nyawa tebusan, premis atau harta benda. Unit Penggempur yang dipertanggungjawabkan akan ditentukan oleh Pasukan Pengurusan Krisis bergantung kepada kesesuaian serta bentuk krisis yang dihadapi.

b. Bidang tugas Kumpulan Penggempur adalah merancang pelan bertindak, menyelamatkan nyawa orang tebusan, harta benda dan Premis serta menawan atau menghapuskan pengganas-pengganas.



8. Kumpulan Eksekutif

a. Satu Kumpulan Eksekutif hendaklah dibentuk oleh BKN berdasarkan keperluan serta arahan Jawatankuasa Kawalan Keganasan. Kumpulan ini diwujudkan bagi membantu Jawatankuasa ini menangani krisis keganasan yang kompleks serta berpanjangan, sama ada berlaku di dalam mahupun di luar negara yang mengancam keselamatan nyawa dan kepentingan Malaysia, dimana beberapa pendekatan daripada pelbagai sudut strategik perlu dipertimbangkan.

b. Keanggotaan Kumpulan Eksekutif itu hendaklah terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan yang berpengalaman di dalam pengurusan dan pengendalian krisis keganasan daripada BKN serta agensi/jabatan berkenaan. Timbalan Ketua Pengarah BKN hendaklah dilantik bagi mempengerusikan Kumpulan Eksekutif ini.

c. Bidang tugas Kumpulan Eksekutif ini ialah termasuklah menganalisis isu keganasan yang berlaku, merangka senario kemungkinan penyelesian krisis dan memperakukan opsyen-opsyen pendekatan yang strategik bagi tindakan yang melibatkan dasar dalam penyelesaian krisis.

9. Pengendalian Krisis Keganasan Yang Melibatkan Campurtangan Dan Tekanan Oleh Individu/Kumpulan Luar

a. Bagi kejadian krisis keganasan yang berlaku di luar negara dan warga Malaysia sebagai tebusan, dimana terdapatnya unsur-unsur campurtangan dan tekanan oleh individu/kumpulan luar, Jawatankuasa Kawalan Keganasan hendaklah memperakukan kepada kerajaan mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi menangani krisis keganasan tersebutdengan mengambil kira pertimbangan dari aspek kepentingan negara yang melibatkan politik domestik, hubungan diplomatik serta kepentingan strategik dua hala atau serantau.

sumber: DISINI 

No comments:

Post a Comment