mykmu.net

Tuesday, 27 November 2012

KARPAL ADALAH PENGERUSI MAJLIS FATWA PAKATAN RAKYAT







1. Krisis dalaman di dalam PAS, DAP dan PKR kini dilihat semakin memuncak apabila isu yang dipertelagahkan saling bertindihan dalam pakatan dan secara berasingan dalam setiap parti sekutu. 

2. Yang menariknya ialah ‘kemunculan’ Karpal Singh sebagai watak utama dalam setiap isu yang berbangkit.  Karpal merupakan ‘bintang’ dalam pertelagahan dengan Nasharudin Mat Isa mengenai hudud.  Beliau begitu garang mengarahkan PAS kembali kepada perjanjian asal iaitu untuk menghentikan terus cakap-cakap mahupun niat untuk melaksanakan hudud dan negara Islam. 

3. Walaupun kenyataan Karpal adalah mewakili pendirian DAP tetapi nampaknya hanya Karpal yang ditonjolkan sebagai menuntut PAS meletakkan satu pendirian yang jelas dalam isu ini.   Kit Siang, Guan Eng dan lain-lain pemimipin DAP hanya menjadi pelakon tambahan. 

4. PAS juga hanya dilihat hanya menumpukan tembakan terhadap Karpal seorang.  Malah, PAS juga yang mengeluarkan kenyataan membela DAP untuk ‘menenangkan’ ahli-ahli PAS, dengan menggambarkan kononnya, kenyataan Karpal adalah kenyataan peribadi dan DAP secara dasarnya tidak ada masalah ‘memahami’ hudud PAS. 

5. Dari situ, Karpal terus menjadi bintang utama DAP menghiasi akhbar dengan kenyataan-kenyataan lantang yang mendedahkan konflik partinya dengan PAS.  Semalam, Karpal menempelak kerajaan PAS Kedah kerana memperdagangkan sumber anugerah Tuhan, iaitu air.   Karpal tidak puas hati apabila PAS Kedah memutuskan agar Pulau Pinang perlu membayar bekalan air mentah yang disalurkan oleh Kedah ke negeri itu. 

6. Alasan kerajaan Kedah ialah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang juga memperniagakan air tersebut.  Lagipun, penjagaan sumber alam itu, termasuk mengekalkan kawasan tadahan juga melibatkan perbelanjaan, dan kos itu perlu turut dikenakan kepada Pulau Pinang yang turut menikmatinya. 

7. Kesungguhan Karpal menjaga kepentingan Pulau Pinang dilihat mengatasi Ketua Menteri negeri itu, Lim Guan Eng, yang kurang menonjol akhir-akhir ini.  Pendek kata, Karpal adalah satu-satunya pemimpin PR yang cukup pantas dan lantang dalam menangani sebarang masalah yang melibatkan perpaduan dalam kerjasama PR. 

8. Bagaikan pengerusi Majlis Fatwa bagi PR, Karpal sedaya upaya memastikan kerjasama dalam pakatan rakyat terus berkiblatkan semangat menghormati DAP. 

9. Malah, di dalam DAP juga, Karpal membawa sikap yang sama iaitu sebagai ‘penegak hukum’. 

10. Karpal menjadi ‘juara’ memperjuangkan ‘satu calon, satu kerusi’ bagi PRU kali ini atas alasan memastikan wakil rakyat dapat menumpukan sepenuhnya kepada kawasan masing-masing. 

11. Walaubagaimanapun, cadangan Karpal diragui oleh berbagai pihak dalam DAP sendiri dan ditempelak Teresa Kok dengan penghinaan bahawa Karpal adalah ‘old story’ atau cerita lama.  

12. Tindakan Teresa Kok menimbulkan kemarahan beberapa pihak  kerana dilihat tidak menghormati orang tua dan juga Pengerusi parti yang telah lama berjuang dan banyak pengalaman.  Akibatnya, Ahli Parlimen, Kota Alam Shah M. Manoharan telah membangkitkan kegagalan Teresa untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat dengan baik kerana memegang begitu banyak ‘kerusi’ atau jawatan dalam parti dan juga kerajaan negeri. 

13. Namun, akhir-akhir ini, nampaknya semakin ramai di dalam DAP menyuarakan sokongan terhadap idea Karpal ini, sekali gus, ‘menggilapkan’ lagi namanya. 

14. Strategi menonjolkan Karpal seorang serta mensenyapkan pemimpin-pemimpin DAP yang lain secara sengaja atau tidak sengaja dilihat tepat bagi meminimakan kerosakan yang berlaku akibat krisis yang melanda Pakatan Rakyat.   Namun, bagi pihak Karpal, beliau mungkin perlu lebih berhati-hati dalam mengatur langkah seterusnya kerana tindakan ini dilihat mampu meletakkan beliau dalam dua keadaan iaitu jika bukan sebagai ‘bintang’, maka mungkin juga sebagai ‘kambing hitam’.

15. Senarionya, jika PR menang dalam PRU ke-13 ini, maka isu penentangan DAP terhadap hudud perlu diselesaikan bagi mengelak akar umbi PAS ‘mengamuk’.  

16. Sedang pemimpin PAS boleh terus berdolak dalih dengan menggunakan alasan kekurangan majoriti di parlimen dan hakikat masyarakat majmuk, PAS tetap perlu membuktikan yang mereka benar-benar serius dalam menentang sesiapa sahaja yang menentang hudud. 

17. Oleh itu, Karpal mungkin perlu dikorbankan sebagai satu-satunya pemimpin DAP yang menentang hudud.  Dengan itu, walaupun hudud tetap tidak dilaksanakan, akar umbi PAS akan kembali tenang dan DAP akan kekal selamat.  

18. Karpal sebagai ‘cerita lama’ boleh dibersarakan saja.  Malang bagi Karpal jika ini berlaku kerana tidak dapat memakai gelaran Tun Karpal selepas bersara seperti yang dibayangkan oleh Tun Mahathir, kerana Karpal tidak bersara sebagai Perdana Menteri tetapi hanya bersara sebagai si-kambing hitam, Pengerusi parti.


No comments:

Post a Comment