mykmu.net

Wednesday, 14 November 2012

A DOCTOR IN THE HOUSE: KISAH PAKAR BEDAH JANTUNG MELAYU DIPERCAYAI TUN MAHATHIR UNTUK BEDAH BELIAU







oleh: Tun Dr. Mahathir Mohamad 


Kali pertama saya berasa sakit dalam dada adalah kira-kira sebulan sebelum mengalami serangan jantung pada 1989. Bagaimanapun waktu itu, saya tidak mengendahkannya. Saya berada di Genting Highlands bagi menghadiri perjumpaan alumni Kolej Perubatan King Edward VII. Ramai rakan sekelas dan anak-anak mereka hadir serta bergembira. Saya sedang memerhatikan mereka
 apabila beberapa orang anak muda menarik saya ke lantai tarian. Sewaktu menari, saya berasa sesak nafas dan sakit dada, tetapi kesakitan itu hilang apabila saya duduk. Keesokannya, saya menunggang kuda dan sekali lagi berasa sesak nafas dan sakit dada. Saya tidak mahu menerima keadaan itu sebagai tanda-tanda serangan jantung, jadi saya tidak memberitahu sesiapa dan berharap masalah itu akan berlalu sendiri. Walaupun kita seorang doctor dan tahu tanda-tanda penyakit, kita lazimnya enggan mengaku yang kita mungkin ada masalah berkenaan.

Ketika itu, saya tidak membuat pemeriksaan kesihatan berjadual. Saya cuma ingat pernah sekali menjalani pemeriksaan rapi di London atas nasihat doktor apabila mengalami sedikit masalah tekanan darah. Ia benar-benar mengganggu sebab pemeriksaan itu mengambil masa yang lama dan saya dipaksa mengguna mesin pengukur denyutan jantung, iaitu ECG yang membonjol di pinggang saya. Lebih-lebih lagi apabila menghadiri satu majlis makan malam dengan membawa mesin itu sehingga nampak seolah-olah saya menyelitkan pistol di pinggang.

Sebulan selepas perjumpaan di Genting Highlands, saya bersama-sama Hasmah dan suami Marina makan malam di sebuah restoran Thai di The Mall bagi meraikan hari jadi Mokhzani walaupun dia sendiri tidak hadir. Kami sepatutnya berempat, tetapi Marina juga tidak dapat datang. Jadi yang ada hanya Hasmah, Didier (bekas suami Marina) dan saya. Bagaimanapun, kami sudah menempah makanan untuk empat orang dan saya akhirnya makan bahagian yang sepatutnya dimakan oleh Marina – mungkin disebabkan kesempitan hidup pada zaman perang menyebabkaan saya tidak suka membazir makanan. Apabila kami sampai di rumah, saya mula rasa sakit di dada dan kesukaran bernafas seperti sebelumnya. Kali ini, kesakitan itu tidak reda. Saya cuba baring dan duduk, tetapi masih berasa sakit. Hasmah menelefon seorang pakar di Hospital Besar Kuala Lumpur, iaitu Dr Jimmy Eapen. Beliau rakan sekelas saya di Kolej Perubatan. Hasmah memberitahunya tanda-tanda masalah yang saya hadapi dan Jimmy datang serta-merta. Beliau membuat diagnosis yang saya mengalami serangan jantung, tetapi beliau perlu pulang ke rumah untuk mengambil mesin ECG mudah alih. Apabila mesin itu mengesahkan yang ia memang serangan jantung, saya serta-merta dibawa ke hospital. Saya fikir saya boleh berjalan, tetapi mereka mendesak supaya saya menggunakan kerusi roda.

Saya sepatutnya sudah tahu yang ia adalah serangan jantung kerana tanda-tandanya memang jelas. Sakit dada dan sesak nafas yang saya alami ketika menari dan menunggang kuda sebelum itu menepati tanda-tanda serangan jantung. Serangan jantung juga boleh dicetuskan oleh kebimbangan mengenai perjalanan yang jauh atau terlalu banyak makan. Memang pada malam di restoran Thai itu saya makan berlebihan. Saya sepatutnya tidak mengabaikan kesakitan kali pertama dan segera menerima hakikat yang saya sebenarnya mengalami serangan jantung.

Saya dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada malam 17 Januari 1989. Di sana, Datuk Dr Robaayah Zambahari mengesahkan yang saya diserang sakit jantung dan memberikan satu suntikan bagi mengurangkan kesakitan. Beliau kemudian memberitahu Hasmah agar menghubungi semua anggota keluarga kami dan ini menyebabkan kami sedar betapa seriusnya keadaan waktu itu. Beliau juga menghubungi Tun Ghafar Baba yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri untuk memaklumkan apa yang sedang berlaku.

Selepas selesai pemeriksaan biasa, mereka memutuskan bahawa saya perlu menjalani ujian angiogram, iaitu pemeriksaan radiografi ke saluran jantung sejurus selepas disuntik bahan radiolegap ke saluran darah. Kebetulan, Dr Simon Stertzer, pakar jantung dari California berada di rantau ini lalu beliau diminta hadir ketika ujian angiogram dijalankan. Dr Stertzer dan Dr Robaayah merumuskan bahawa saya mengalami serangan jantung yang memerlukan pembedahan. Mereka memberi saya pilihan sama ada mahu menjalani pembedahan di Amerika Syarikat atau Kuala Lumpur. Tanpa ragu-ragu, saya memilih untuk menjalani pembedahan di dalam negara. Saya perlu yakin terhadap doktor tempatan dan saya tahu, kalau saya sendiri tidak menunjukkan contoh maka orang lain tidak akan percaya kepada perkhidmatan perubatan kita. Sebelum itu, semua orang kenamaan Malaysia berubat di luar negara, tetapi saya tahu yang Datuk Dr Rozali Wathooth telah berjaya melakukan pembedahan jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur. Beliau bagaimanapun sudah meninggalkan hospital Kerajaan dan bekerja dengan Pusat Perubatan Subang Jaya atau Subang Jaya Medical Centre (SJMC). Namun masih ada pakar jantung yang lain di Hospital Besar Kuala Lumpur, termasuk Tan Sri Dr Yahya Awang. Saya tahu Dr Yahya mempunyai banyak pengalaman dan saya memutuskan untuk menyerahkan nasib saya kepada beliau.

Sebagai seorang doktor, saya maklum risiko pembedahan tersebut. Saya sedar kemungkinan yang saya tidak akan selamat daripada pembedahan kerana waktu itu ia bukanlah prosedur biasa. Orang ramai masih takut untuk membenarkan doktor membelah dada mereka dan melakukan sesuatu ke atas jantung mereka. Saya meyakinkan diri bahawa kalau memang sudah ditakdirkan saya akan mati, apa yang boleh saya lakukan. Saya menyerahkannya kepada Allah SWT dan kemahiran pakar bedah. Bunyinya mungkin agak dramatik sekarang kerana ramai pesakit yang telah berjaya menjalani pembedahan jantung. Namun sebaik sahaja saya menerima hakikat kematian, saya berasa cukup tenang.

Saya berehat selama empat hari sebelum menjalani angiogram yang mengesahkan bahawa saya memerlukan pembedahan. Dr Stertzer sekali lagi memberi pilihan kalau saya mahu menjalani pembedahan di California, Amerika Syarikat walaupun beliau sendiri mengakui yang Dr Yahya juga sama cekap dengan mana-mana pakar bedah di Amerika. Apabila tinggal saya dan Hasmah di dalam bilik, saya meminta Hasmah memanggil Dr Yahya. Sebaik sahaja Dr Yahya masuk, tanpa banyak bicara saya terus memberitahunya yang saya mahu beliau melakukan pembedahan. Saya kenal rapat dengan ayah beliau, Dr Awang yang juga adalah seorang doktor yang baik dan menjadi Ahli Parlimen serentak dengan saya pada 1964-69. Sewaktu saya diserang sakit jantung, Dr Awang sudah pun menjadi Gabenor Pulau Pinang.

Kemasukan ke hospital menghalang saya daripada menghadiri mesyuarat mingguan kabinet setiap Rabu. Doktor juga memberi amaran yang saya tidak boleh menerima pelawat, dan Hasmah memutuskan yang beliau sendiri akan memantau arahan itu. Ramai orang datang dan mendesak agar dibenarkan menjenguk saya, tetapi Hasmah sangat tegas. Beliau hanya membenarkan beberapa orang sahaja mengintai saya dari luar bilik ketika saya terbaring kerana diberi ubat pelali. Ada satu pilihan raya kecil waktu itu dan khabar angin tersebar luas mangatakan saya sakit tenat. Malah ada yang berkata bahawa saya sudah mati. Hasmah tidak pernah meninggalkan hospital dan berada di sisi saya sepanjang masa. Dr Robaayah menawarkan untuk memberi beliau ubat tidur pada malam pertama saya dimasukkan ke hospital, tetapi beliau bertekad untuk berjaga bagi memastikan tidak ada sesiapa datang mengganggu saya.

Pada malam sebelum pembedahan, Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew membuat panggilan telefon kira-kira jam 10. Beliau amat bimbang dan bercakap dengan Hasmah kerana waktu itu saya sudah pun diberikan ubat sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan. Lee meminta Hasmah supaya memujuk saya menangguhkan pembedahan sebab beliau ada menyediakan sepasukan ahli perubatan untuk terbang ke Kuala Lumpur. Pakar bedah terkemuka, Dr Victor Chang, seorang rakyat Singapura menetap di Australia dicadangkan untuk melakukan pembedahan itu. Menurut Lee, Dr Chang mempunyai pengalaman cukup luas setelah melakukan lebih 1,000 pembedahan jantung. Lee kemudian bertanya Hasmah siapa yang akan membedah saya. Hasmah menyebut nama Dr Yahya yang Lee tidak pernah dengar, dan Hasmah memberitahunya bahawa saya sudah pun membuat keputusan dan ahli keluarga bersetuju dengan saya. Hasmah mengucapkan terima kasih kepada beliau dan berjanji akan menghubunginya apabila pembedahan selesai. Hasmah tahu bahawa sekali saya sudah membuat keputusan, saya tidak akan mengubahnya. Apa yang saya ketahui kemudian adalah Lee bukan sahaja menghubungi Hasmah, malah beliau turut meminta Tun Daim Zainuddin agar memujuk Hasmah. Walaupun kami mempunyai banyak perbezaan pendapat untuk sekian lama, saya amat menghargai sikap ambil berat beliau itu.

Tiga anak lelaki kami berada di luar Kuala Lumpur ketika itu manakala Marina pula di Singapura. Ineza, anak perempuan Marina sedang tidur di dalam buaian di bilik kami. Dalam tergesa-gesa hendak membawa saya ke hospital, Hasmah hampir meninggalkan cucu kami terkunci di dalam bilik. Nasib baik pada saat akhir Hasmah teringat lalu memindahkan buaian Ineza ke biliknya. Marina dan Mokhzani yang ketika itu berada di Miri terbang pulang keesokannya. Mukhriz pula di Boston manakala Mirzan di Philadelphia, Amerika Syarikat. Kedua-dua mereka sempat pulang sehari sebelum pembedahan. Sejurus sebelum pembedahan, pihak hospital membawa masuk Hasmah dan anak-anak kami seorang demi seorang untuk mencium saya. Itulah kali pertama saya melihat Hasmah menangis.

Masalahnya sebagai doktor, kita tahu apa yang akan dilakukan ke atas kita sewaktu pembedahan. Dalam pembedahan jantung, mereka akan menghentikan fungsi jantung dan paru-paru serta mengalirkan darah kita melalui mesin jantung dan paru-paru. Saya kurang senang dengan kaedah itu, terutama kerana prosedur tersebut masih baru dan peralatan yang digunakan tidaklah secanggih hari ini. Tun Hussein Onn menjalani pembedahan pintasan koronari di London dan beliau tidak pulih sepenuhnya selepas itu. Seorang lagi orang kenamaan yang turut menjalani pembedahan seperti itu ialah Datuk Jaafar Hassan, bekas Menteri Besar Perlis. Beliau meninggai dunia tidak lama kemudian. Saya bertanya Dr Yahya bagaimana beliau dan pasukannya akan membelah dada saya. Katanya, mereka menggunakan gergaji elektrik. "Terima kasih banyak-banyak," jawab saya, sambil menambah: "Tak perlulah saya tahu lebih lanjut lagi."

Mereka mengangkat saya ke atas troli dan menolak ke dewan bedah. Saya masih dapat melihat samar-samar siling hospital sewaktu melalui koridor dan memasuki ruang tara bersebelahan dewan bedah. Saya dapat mendengar kata-kata perangsang daripada pakar bius yang sedang membius saya. Kemudian saya diangkat ke atas meja bedah dan disuruh mengira ke belakang bermula angka 10. Apabila sedar, saya sudah berada di bilik pemulihan. Dari aspek itu, pembedahan moden adalah satu ketakjudan.

Pembedahan mengambil masa kira-kira enam jam walaupun saya berasa tidak lebih dua saat sahaja. Keluarga sayalah yang terpaksa menunggu penuh debaran. Doktor mengambil urat dari kedua-dua kaki saya untuk membuat lima saluran pintasan. Dr Yahya dan Dr Rozali serta pembantu-pembantu mereka melakukannya dengan baik sekali dan tidak berlaku sebarang kerumitan. Hari ini, pembedahan terbuka seperti itu tidak diperlukan sangat kerana teknik angioplasti, iaitu perluasan semula saluran darah yang berpenyakit atau rosak dengan menggunakan sejenis dawai, lebih mudah dan kurang berbahaya. Selain itu, kawalan pemakanan dan senaman boleh mengurangkan kemungkinan berlaku aterosklerosis di mana saluran darah ke jantung menjadi sempit dan memungkinkan serangan jantung. Ada pihak berpendapat bahawa amalan pemakanan yang sihat boleh menyembuhan aterosklerosis, dan inilah yang sedang saya cuba amalkan sekarang…

Tuesday, 13 November 2012

BELUM PUN PUAS BERJOGET MASA DEPAN ANAK SULUNG ANWAR IBRAHIM DALAM POLITIK DAH GELAP





1. Sudah lebih seminggu kontroversi kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah yang menyokong kebebasan beragama bagi orang Melayu meletus dan masih belum reda lagi.

2. Kebodohan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu cuba menunjuk pandai dalam mentafsir ayat suci Al-Qur'an akhirnya memakan dirinya sendiri.

3. Lebih buruk lagi sikap bermuka-muka anak Ketua Pembangkang itu terserlah apabila kenyataan yang menggalakkan orang Melayu murtad dibuat pada forum yang dianjur oleh pihak gereja.

4. Truth Matters Forum bertajuk “Negara Islam: Versi mana?, Tanggungjawab Siapa?” adalah anjuran Oriental Hearts and MInd Study Institute (OHMSI) dan diadakan di Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya pada 3 November lalu.

5. Apabila ditanya oleh seorang peserta forum bernama Siti Kasim yang merupakan ahli Majlis Peguam serta menganggotai jawatankuasa hak asasi manusia berhubung isu kebebasan beragama, Nurul menjawab,"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama, mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata. Melayu sepatutnya bebas beragama."

6. Perbahasan yang berlaku selepas itu sudah banyak dilaporkan di dalam semua saluran media termasuk media arus perdana, media elektronik, laman sesawang, blog, twitter, facebook dan laman media sosial yang lain.

7. Yang menjadi kemusykilan sehingga mengapa Biro Agama PKR yang dipengerusikan oleh kroni Anwar Ibrahim bernama Dr Muhammad Nor Manuty tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi mahupun komen peribadi mengenai perkara ini.

8. Sikap membisu ini membawa kesimpulan bahawa ustaz-ustaz PKR hanya terkenal dengan skandal peribadi seperti Dr Badrolamin Bahron yang ditangkap berkhalwat dengan isteri orang di dalam bilik hotel.

9. Golongan intelektual agama di dalam PKR sebenarnya tidak berani menegur apa lagi mempertahankan Islam apabila salah seorang pemimpinnya membuat kenyataan yang bercanggah dengan Islam.

10. Jika mereka berdiam, dua pengertian boleh dibuat daripada sikap itu, samada mereka bersetuju dengan kenyataan Nurul Izzah ataupun takut untuk bercanggah pendapat dengan Anwar yang agresif mempertahan anaknya itu.

11. Apapun PKR bukanlah satu parti yang boleh diharapkan oleh umat Melayu-Islam untuk membela hak mereka atau kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di dalam Perlembagaan.

12. Kuliah mingguan yang diadakan di kediaman Ketua Umum PKR tanpa putus dengan menjemput ulama luar negara dan para ustaz rupa-rupanya hanyalah satu lakonan Anwar semata-mata untuk menunjukkan dirinya Islamik.

13. Begitu juga majlis tazkirah yang diadakan di surau dan masjid oleh Anwar di setiap persinggahan dalam siri jelajahnya hanyalah sandiwara Anwar untuk menutup sikap hipokritnya.

14. Anwar bercakap mengenai isu-isu besar seperti ketelusan, keadilan sosial, memartabatkan Islam dan melawan rasuah tetapi apabila terkena batang hidung sendiri, beliau gagal melakukan muhasabah diri tetapi seperti kebiasaan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

15. Anwar anggap dirinya suci dan tergolong dalam kategori mazlum atau orang yang dizalimi tetapi hakikatnya beliau hanya menggunakan Islam untuk menegakkan idealogi politiknya songsang.

16. Kenyataan Nurul Izzah secara terang dan dibuat di khalayak ramai yang jelas bertentangan dengan pengertian sebenar ayat al-Qur'an yang dirujuk dan pendirian Islam dalam isu murtad tetap mahu dipertahankan oleh Anwar hanya kerana yang menyuarakan pendapat sedemikian adalah darah daging sendiri.

17. Jadi bagi Anwar Islam adalah kuda tunggangannya yang boleh dimanipulasi sekehendaknya dalam apa-apa keadaan sekalipun asalkan ia memberi manfaat politik kepada beliau.

18. Kelemahan yang ditunjukkan oleh biro agama PKR yang disebut sebagai Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA) dalam menangani kemelut yang dicetuskan oleh Nurul Izzah amat memalukan sekali.

19. Nama biro yang diberikan sungguh gah sekali tetapi malangnya apabila situasi timbul di mana Islam perlu dipertahankan, BiPPA hanya pandai menikus dan membenamkan kepalanya dalam pasir seperti seekor burung kasawari (ostrich).

20. Peristiwa di Gereja Full Gospel Tabernacle akan tercatat di dalam memori Nurul Izzah sebagai sejarah hitam sehingga akhirnya hayatnya.

21. Dari segi karier politik Nurul Izzah, ia sudahpun tamat sebelum pun ianya bermula, jadi eloklah beliau bersara sahaja daripada bidang yang bukan menjadi kepakarannya.

22. Pastinya orang Melayu di Lembah Pantai yang diwakilinya akan berfikir sepuluh kali sebelum memberi undi kepada Nurul Izzah pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

23. Pengundi Islam akan terfikir apakah mereka akan terus menyokong seorang yang tidak sayangkan Islam dan merelakan orang Islam murtad dengan mudah sekali ataupun mengundi pihak yang sekian lama telah membela dan menaikkan syiar Islam sejak merdeka.

Sunday, 11 November 2012

INI SEMUA SALAH ANWAR: RAJA-RAJA MELAYU DIHINA, DICERCA... MENCARI SUNGGUH !!!





1. Pendakwaan juruukur bahan, Ahmad Abd Jalil atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook bukanlah satu kejutan mahupun suatu perkara baru.

2. Gejala menghina institusi raja-raja Melayu sudah menular di kalangan penyokong-penyokong pakatan pembangkang sejak mutakhir ini.

3. Mereka giat menjalankan kegiatan anti-raja melalui ruang-ruang siber yang sediada seperti facebook, blog, twitter dan sebagainya.

4. Jika dibaca komen-komen yang menghina peribadi raja-raja dan institusi yang mereka wakili, tidak disangka kebanyakannya datang dari individu-individu Melayu yang sudah tersimpang jauh daripada nilai-nilai jati diri bangsa mereka sendiri.

5. Kalau sebelum munculnya Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008, amat jarang sekali didengari suara-suara sumbang mempertikaikan kedudukan dan kuasa raja-raja.

6. Namun penyakit ini nampaknya berleluasa dan menjadi ikutan pendokong pembangkang setelah mereka melihat gelagat beberapa tokoh pembangkang yang begitu berani menyanggah sultan secara terbuka dan terang-terangan.

7. Rakyat tidak lupa episod hitam di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 6 Februari 2009 apabila sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat menahan, menyerbu dan menyergah kereta rasmi Raja Di Hilir Perak dengan cara kasar.

8. Ini terjadi berikutan seruan sembah derhaka Nizar Jamaluddin kepada Sultan Perak ketika kerajaan negeri Pakatan Rakyat di ambang kejatuhan akibat tindakan tiga ADUN mereka melompat meninggalkan parti masing-masing.

9. Perbuatan menghina Sultan Perak diteruskan pula oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang dituduh mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan terhadap baginda di pejabat firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, pada 6 Februari 2009.

10. Karpal didakwa berkata pemecatan Nizar sebagai Menteri Besar Perak dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke jawatan itu oleh Sultan Azlan Shah boleh dipertikai di mahkamah.

11. Gejala menghina serta mempertikaikan bidang kuasa sultan juga merebak di Selangor apabila Ahli Dewan Undangan PKR kawasan Sri Muda, Shuhaimi Shafiei  didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Akta Hasutan kerana tulisan di blognya pada 30 Disember 2010 lalu yang menyentuh sultan.

12. Tidak cukup dengan itu profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Aziz Bari yang pro-pembangkang menyerang institusi raja apabila mempertikakan kuasa Sultan Selangor berkaitan urusan undang undang Islam.

13. Aziz bari menyifatkan Sultan Selangor telah memperluaskan kuasanya dalam mengawal hal ehwal Islam berhubung pemerikasaan JAIS ke atas gereja DUMC di Damansara Utama Ogos 2011.

14. Sebelum kes menghina Sultan Johor membabitkan Ahmad, pengamal paranormal, Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers juga ditahan polis untuk siasatan berhubung penyiaran artikel dalam blognya yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan baginda.

15. Melakui blognya, uncleseekers.blogspot.com, Syed Abdullah bukan sahaja mengaibkan sultan malah turut membabitkan Tunku Mahkota Johor, pemimpin dan penjawat awam kerajaan Johor.

16. Sebelum itu juga polis telah menahan pemilik akaun facebook "Sultan Yang Setan" pada 22 Disember 2010 yang diburu selama empat bulan kerana menyiarkan komen menghina institusi diraja Johor.
   
17. Menurut pihak polis akaun facebook itu diwujudkan selepas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail pada Januari 2010.

18. Penulis blog Aduka Taruna melalui blognya adukataruna.blogspot.com juga telah didakwa menghina Almarhum Sultan Iskandar Shah selepas pihak istana mengumumkan kemangkatan baginda.

19. Tidak serik dengan sembah derhakanya kepada Sultan Perak, Nizar pula celupar memberi komen dalam akaun twitternya yang mendakwa Sultan Johor melakukan pembaziran membeli sekeping plat kenderaan bernombor WWW1.

20. Kesemua kes yang disebutkan merupakan sebahagian kecil daripada banyak insiden yang tersebar luas di dalam dunia siber yang mempermain-main dan memperkecilkan institusi beraja di Malaysia.

21. Baca sahaja laman blog tukartiub kendalian sahabat baik Anwar Ibrahim yang bernama Hishammudin Rais yang penuh dengan kata-kata kesat dan menghina raja-raja Melayu.

22. Mungkin memori seorang pemuda Cina yang berasal dari Muar, Johor bernama Namawee yang menghina lagu kebangsaan Negaraku pada 2007 di youtube masih segar di minda rakyat.

23. Empat tahun kemudian? Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang pelajarnya mengubah lirik lagu Negaraku, menghina Raja dan juga Perdana Menteri di dalam laman sosial Facebooknya.

24. Pelajar yang mengguna nama Mohd Farizal dalam statusnya, didakwa mengubah lirik lagu kebangsaan dengan mencerca, mempersendakan lagu negara, Raja Melayu dan juga Perdana Menteri.

25. Jika perbuatan ini tidak dibendung segera, dikhuatiri orang bukan Melayu akan juga terangsang untuk turut serta bersama-sama penyokong-penyokong pembangkang memperlekehkan institusi raja yang sudah sebati dengan sejarah panjang dunia Melayu dan banyak berjasa dalam perkembangan Islam di rantau ini.

26. Di manakah letaknya nilai jati diri seorang yang bernama Melayu jika tidak mendokong dan mempertahankan institusi yang memberi pengertian sebenar dalam hidupnya?

27. Hanya penyokong pembangkang yang hilang pedoman dan mempunyai jiwa yang rosak sahaja yang sanggup meletakkan emosi mereka dikawal nafsu untuk melakukan penghinaan terhadap raja-raja Melayu.

ends

ANAK PAPA OHH ANAK PAPA!!! MENDEWAKAN AGENDA IFC SEBENARNYA DIA NIIII.....





1. Sama ada secara sedar atau sebaliknya, Naib Presiden PKR Nurul Izzah sebenarnya telah menjadi penyambung lidah kepada agenda Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang sebelum ini telah berjaya digagalkan hasil dari kesedaran dan kebangkitan umat Islam membantahnya.

2. IFC adalah lanjutan daripada IRC, matlamat dan tujuan penubuhannya adalah sebagai badan berkanun yang berkuasa penuh untuk mengubah ajaran sesuatu agama khususnya Islam dengan menerima desakan atau tuntutan agama lain.

3. Dengan kata mudah sekiranya IFC dibenarkan bebas bergerak, maka peranannya akan setara dengan SUHAKAM. Bezanya, IFC akan mencampuri urusan agama khasnya Islam, manakala SUHAKAM memantau aduan berkaitan hak kemanusiaan.

4. Apabila anak perempuan kepada Ketua Umum PKR itu menyatakan persetujuan bahawa hak kebebasan agama sepatutnya tidak terhadap kepada orang bukan Melayu sahaja sebaliknya perlu juga meliputi orang Melayu, jelas sejelasnya ada persamaan dengan perjuangan IFC.

5. Nurul Izzah selaku Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai mungkin sahaja tidak kisah pandangannya begitu berbahaya kepada akidah umat Islam sementelah lagi diakuinya sendiri yang beliau sudah terbiasa belajar di Sekolah Kristian Assunta di Petaling Jaya.

6. Namun, bagi orang Melayu yang agamanya wajib berakidahkan Islam sebagaimana disebut oleh Perlembagaan Negara dalam Artikel 160 (2), tetap sama sekali tidak dapat menerima pandangan serba liberal yang kini sedang meracuni fikiran anak perempuan Anwar Ibrahim itu.

7. Wan Azizah sebagai ibunya mungkin boleh terus bermain dengan sentimen air mata biawak sekalipun, hakikatnya ia tidak dapat menyembunyikan bahawa kenyataan Nurul Izzah itu sudah seumpama cubaan menyemarakkan kembali agenda IFC.

8. Antara 14 tuntutan-tuntutan IFC termasuklah;-

a. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
      
b. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali ke agama asal mereka(murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
      
c. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.
      
d. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam
      
e. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam(murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang.
      
f. Seseorang atau pasangan suami-isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak penjagaan anak.
      
g. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya..
      
h. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.
      
i. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
      
j. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
      
k. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
       
l. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
      
m. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
      
n. Sepatutnya islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

9. Kesemua tuntutan IFC di atas itu senada dengan dakyah Yahudi Nasrani dalam usaha mereka untuk menghancurkan akidah umat Islam melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan mengisytiharkan Deklarasi Hak Manusia Sejagat.

10. Dalam Artikel 18, Deklarasi Hak Manusia Sejagat itu, antaranya menuntut  supaya hak individu untuk bebas menukar agama dan kepercayaan serta kebebasan berfikir perlu dihormati tanpa sebarang halangan.

"Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance" (Article 18, Universal Declaration Of Human Rights, United Nations).

11. Bagaimanapun pengisytiharan PBB di atas jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang secara rasmi memutuskan orang melayu wajib beragama Islam, di masa yang sama melindungi setiap orang Islam dari dakyah agama lain.

12. Akan tetapi, melihat pada sikap liberal anak beranak keluarga puaka yang menguasai PKR itu, tidak mustahil seandainya negara ini berjaya dikuasa oleh PR, ada kemungkinan semua peruntukkan dalam perlembagaan yang melindungi agama Islam dan penganutnya akan tergugat.

13. Melihat kepada kemungkinan ini serta betapa bersungguhnya gerombolan puak liberalisme dan pluralisme yang semakin berjaya menguasai halatuju parti-parti politik dalam PR, amatlah wajar umat Islam segera bangkit dari lena untuk menepis ancaman yang sedang bergentayangan di tanahair kita ini.

Thursday, 8 November 2012

BILA ANWAR IBRAHIM DAN ANAK SULUNGNYA LEBIH SESAT DARI BLACK METAL





1. Apabila fahaman liberalnya terdedah, Nurul Izzah pantas menuding jari kepada akhbar berbahasa Melayu pro-kerajaan sebagai memutar-belit kenyataannya berkenaan hak menukar agama bagi umat Islam.   Hairan sekali kerana, kenyataan yang sama juga telah dipetik oleh Malaysiakini tetapi Nurul Izzah langsung tidak menyalahkan Malaysiakini. 

2. Hari ini, Malaysiakini mengambil inisiatif memaparkan transkrip penuh soalan dan jawapan Nurul Izzah dalam forum tersebut dan ternyata tiada apa yang disalahlapor atau diputarbelit oleh mana-mana pihak seperti yang didakwanya. 

3. Kemudian, muncul pula seorang peguam meluahkan rasa kecewa terhadap Nurul Izzah kerana membuat pusingan 180 darjah di akhbar sedangkan beliau yang menjadi peserta forum adalah antara yang mengemukakan soalan kepada Nurul Izzah berkenaan isu tersebut.  Dan menurutnya, Nurul Izzah telah memberi jawapan yang jelas bahawa hak menukar agama adalah juga tertakluk juga ke atas umat Islam.  

4. Untuk berlaku adil kepada Nurul Izzah, beliau juga ada menambah bahawa semuanya terpulang kepada kualiti seorang Muslim untuk tidak mudah terpengaruh dengan ajaran agama lain.  

5. Namun, untuk berlaku adil juga kepada media yang dituduh memutarbelit kenyataannya, Nurul Izzah tidak pernah menambah kenyataan berikut ketika di dalam forum itu, iaitu,“Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan,” sepertimana yang dinyatakannya di media. 

6. Justeru, siapa sebenarnya yang membelit siapa?

7. Jelas, Nurul Izzah, semakin menyerupai bapanya Anwar Ibrahim yang terkenal sebagai talam berpuluh-puluh muka.  Memandangkan forum diadakan di gereja, maka Nurul Izzah merasakan ‘selamat’ dan sesuai untuk menunjuk keterbukaan dan menyerlahkan fahaman liberalnya.   Tujuannya pastilah untuk meraih sokongan penganut Kristian dan juga golongan liberal. 

8. Tetapi, Nurul Izzah telah gagal melihat beberapa langkah ke depan untuk mencongak kesannya terhadap masyarakat dan umat Islam apabila kenyataannya disebarkan oleh media.   Nampaknya, dalam keghairahan untuk meraih sokongan satu golongan, Nurul Izzah telah terlupa bahawa di zaman IT ini, apa saja yang dikatanya, tidak akan habis di situ sahaja, tetapi akan tersebar dengan pantas dan luas. 

9. Maka, Nurul Izzah terpaksa membuat U-turn bila berhadapan dengan masyarakat yang majoritinya umat Islam.   Namun, terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap buruk padahnya.   Sebagai seorang ahli politik, Nurul Izzah patut cukup arif akan peribahasa ini. 

10. Kini, yang dipersoalkan bukan lagi sama ada Nurul Izzah seorang liberal yang mempunyai pendirian ‘longgar’ terhadap murtad atau sama ada beliau seorang Muslimah sejati yang berpegang kuat kepada syariat dan tidak akan berkompromi dalam soal akidah umat Islam. 

11. Tetapi, apa yang terserlah kini ialah sikap Nurul Izzah yang suka membelit kenyataan sendiri, sama seperti bapanya.   Seperti yang kita tahu, sikap suka membelit dan berbohong selalunya datang dalam satu pakej.   Dalam kes ini, kita tidak tahu yang manakah atau siapakah dan apakah pendirian Nurul Izzah sebenarnya.  Atau, yang mana satu pendiriannya yang sebenar dan yang mana satu hanya lakonan atau pembohongan. 

12. Pihak Kristian atau pihak liberal tidak boleh mempercayai keterbukaannya kerana kenyataannya boleh berubah sebaik saja beliau melangkah keluar dari pentas ceramahnya. 

13. Umat Islam juga tidak boleh mempercayainya kerana beliau boleh berkata apa saja untuk menjaga dan menarik hati kita. 

14. Nurul Izzah perlu memilih satu watak sahaja jika ingin berjaya sebagai seorang ahli politik.  

15. Seharusnya beliau mempelajari semua ini dari kesilapan bapanya iaitu seseorang ahli politik tidak boleh memilih untuk melakonkan semua watak kerana lambat laun, beliau pasti akan membelit diri sendiri.   Akibatnya, beberapa pihak di barat telah pun menarik diri dari Anwar dan mendedahkan betapa Anwar seorang penipu.  Malah, gelaran talam dua muka dan sesumpah juga adalah diberi oleh penulis-penulis di barat. 

16. Sementara teman-teman ABIM juga mula menjauhkan diri, dan seorang demi seorang dari ‘inner-circlenya’ keluar parti. 

17. Justeru, Nurul Izzah perlu membuat keputusan apakah pendiriannya atau sekurang-kurangnya watak apakah yang ingin dimainkannya untuk hari ini dan selama-lamanya.  Apakah beliau benar-benar percaya kepada pluralisme agama, dan rela membuka ruang murtad dengan membenarkan semua agama berdakwah secara terbuka, atas alasan ayat AlQuran yang menegaskan tiada paksaan dalam beragama?

18. Apa jua, Nurul Izzah perlu tahu bahawa isu di sini bukanlah tentang iman dan akidahnya kerana itu adalah antara beliau dengan Allah SWT.,  tetapi isu ini adalah berkenaan pendiriannya atau siapa dirinya.  Rakyat dari semua golongan perlu tahu siapa yang menjadi pemimpin mereka agar tidak tersalah memilih si ular sawa

Tuesday, 6 November 2012

MENJAWAP KENYATAAN ANAK SULUNG ANWAR IBRAHIM YANG KERAP KALI BERJOGET



Joget jangan tak joget... ah ah ah... kenyataan Nurul Izzah pun selalu berjoget jugak macam "daddy hebat" jugak


1. "Tiada paksaan dalam Islam" bermaksud agama Islam tidak membenarkan orang-orang Islam memaksa mana-mana orang yang bukan Islam untuk memeluk Islam.....sebab itu lah pada masa dulu walaupun Islam berkembang ke sebahagian besar dunia, rakyat di negara yang ditakluki oleh orang Islam tidak pernah dipaksa untuk memeluk agama Islam sebaliknya mereka memeluk agama Islam secara sukarela setelah melihat kebaikan dan keagungan Islam itu sendiri. 


2. Bagaimanapun apabila seseorang telah memeluk agama Islam, maka mereka hendaklah mematuhi semua peraturan dan hukum-hakam agama Islam seperti wajib solat lima waktu sehari, tidak boleh berjudi, tidak boleh minum arak, tidak boleh berzina dan sebagainya. Jika mereka tidak solat dan dihukum, mereka tidak boleh berkata mereka tidak bersalah kerana "tiada paksaan dalam Islam".


3. Pernyataan bengap yang dibuat oleh Nurul ini merupakan pernyataan bodoh sombong pernah dibuat oleh seorang Islam di Malaysia. Pernyataan beliau telah dipuji dan diberi liputan meluas oleh Malaysia kini. Malaysia kini telah meminta orang melayu berfikir seperti Nurul dan jangan berfikiran tertutup. Jika orang melayu tidak bersifat terbuka jangan harap mereka boleh berada di Negara ini.


4. Malaysia kini sendiri tidak terbuka kepada semua pembaca untuk memberi pendapat atau komen. Hanya yang melanggan sahaja boleh membuat komen. Lihatlah bagaimana mereka melayan kita tetapi orang-orang melayu terutama penyokong PR tidak sedar kerana mereka ini telah dikuasai oleh emosi kebencian yang tinggi daripada mengunakan minda, akal dan fikiran yang sihat.

5. Malaysia kini menyokong pernyataan bodoh Nurul kerana selama ini mereka tidak berani mengeluarkan pernyataan sedemikian secara terbuka tetapi si bodoh ini tiba-tiba muncul mengeluarkan pernyataan ini. Maka bersoraklah mereka . Mereka ini tidak pernah akan menyokong sesuatu kecuali perkara itu memberi keuntungan kepada mereka. 


6. Kenapa tiada komen daripada ulama PR terutama daripada PAS seperti Hadi Awang, Nik Aziz dan lain-lain. Jika pernyataan seperti ini dibuat oleh pihak BN sudah tentu orang yang berkata demikian telah dituduh murtad oleh ulama2 PAS. Sebaliknya jika pernyataan sebegini dibuat oleh pihak mereka maka mereka akan diam membisu.


7. Ingatlah semua perbuatan kita akan dihitung dan dipersoal di akhirat nanti. Kepada ulama PAS yang diam membisu berhubung perkara ini sila fikir adakah kepentingan politik dan peribadi itu lebih penting daripada berkata yang benar...
.

8. Kesilapan Anwar membawa masuk isteri dan anaknya ke arena politik. Bukan sahaja menunjukkan ‘kronisme’ dalam PR tetapi juga menunjukkan perumpamaan melayu “bapa borek anak rintik” bukanlah rekaan semata-mata….. 
Wallahualam, smile & salam…

Kredit: FB Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad

Monday, 5 November 2012

ANWAR IBRAHIM & DONG ZHONG DAH PAKAT-PAKAT NAK HAPUSKAN AGENDA PENDIDIKAN MELAYU





1. Antara yang bakal menjadi mangsa sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa di Putrajaya ialah bidang pendidikan khususnya bagi anak-anak Melayu.

2. Secara ringkas kewujudan  Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah hasil sumbangan besar melalui Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960 yang menyusuli Penyata Razak sebelum merdeka pada 1956.

3. Penyata Razak kemudiannya telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang antara lain menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sekaligus berperanan sebagai bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.

4. Ia juga bertujuan mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu di samping mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.

5. Semua ini adalah dengan objektif untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, bertoleransi, terlatih, liberal dan progresif.

6. Kemudian bidang pendidikan melalui satu lagi fasa baru apabila Laporan Jemaah Menteri 1979 dibentangkan dengan tujuan utama untuk mengkaji semula matlama-matlamat dan keberkesanan sistem pendidikan yang diamalkan bagi memastikan keperluan tenaga manusia negara dipenuhi dalam jangka pendek dan jangka panjang di samping untuk memastikan sistem pendidikan memenuhi matlamat negara untuk melahirkan masyrakat yang bersatu berdisiplin dan terlatih.

7. Pada tahun 1996 Akta Pendidikan digubal yang merupakan lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran 1961 serta berpaksi kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi asas dasar pendidikan kebangsaan.

8. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dilancarkan pada 1983 menjadi mencetus kepada penggubalan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dan terakhir Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September 2012.

9. Ia menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara berdasarkan keberhasilan pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

10. Dalam semua dasar, program serta perancangan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh 55 tahun sejak merdeka, matlamat memperkasakan pendidikan anak-anak Melayu sentiasa menjadi asas yang kukuh di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Atas dasar pendidikan pro-Melayu inilah berpuluh ribu anak-anak Melayu mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di luas negara di atas biasiswa kerajaa.

Ini tidak termasuk ratusan ribu lagi graduan Melayu yang berjaya dihasilkan melalui institusi-institusi awam tempatan.

11. Institut Teknolgi MARA telah dinaiktaraf kepada universiti dan kampusnya dibina di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang telah membantu puluhan ribu anak-anak Melayu dari kampung, desa dan luar bandar.

12. Diperingkat sekolah menengah kerajaan telah membina beratus-ratus sekolah sains dan Maktab Rendah Sains MARA berasrama penuh yang juga menyediakan pendidikan  kepada jumlah anak-anak Melayu yang mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang.

13. Dasar pendidikan pro-Melayu ini bakal terancam dan terhakis angkara seorang yang bernama Anwar Ibrahim yang cita-cita hidupnya hanya untuk menjadi Perdana Menteri.

14. Perbuatan beliau menyambut dengan penuh kemesraan kira-kira 500 ahli pertubuhan pendidikan Cina yang ekstrim yang bernama Dong Zhong di Parlimen pada 28 September lalu dianggap satu pengkhianatan amat besar kepada umat Islam.

15. Apatah lagi tindakan itu seakan dirancang kira-kira dua minggu setelah pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2035).

16. Mengapa Anwar sanggup berpeluk dengan pemimpin Dong Zhong yang bersikap ekstrimis dan hanya mementingkan agenda pendidikan Cina tidak susuh untuk dianalisa.

17. Anwar perlukan sokongan DAP untuk merealisasikan impiannya menjadi Perdana Menteri sementara Dong Zhong adalah dahan daripada pokok parti rasis Cina itu.

18. Ketua Pembangkang itu rela Dong Zhong mempertikaikan Akta Pendidikan 1996 yang mana Anwar ketika menjadi Menteri Pendidikan pernah mempertahankan bermati-matian.

19. Kini Anwar sudah bertukar angin kerana sanggup melayan tuntutan-tuntutan Dong Zhong yang melampaui batas.

20. Bukankah keterlaluan namanya itu jika Dong Zhong mendesak kerajaan supaya membenarkan mata pelajaran Sejarah berasaskan sejarah China diajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)?

21. Di manakah Anwar meletakkan akal dan otaknya ketika Dong Zhong mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara?

22. Apakah Anwar kini sanggup anak bangsanya merempat di tanah air sendiri jika Dong Zhong satu hari nanti mampu mencapai hasrat dan cita-citanya yang diperjuangkan sejak puluhan tahun lalu.

23. Adalah ini satu sifat seorang pemimpin yang bangga digelar Islamik dan kononnya pejuang bangsa?

24. Dakapan mesra Anwar hanya indikasi kepada satu titik permulaan yang bakal meranapkan agenda pendidikan Melayu ayng dilakukan oleh seorang yang menggelar dirinya reformis dan pejuang rakyat.