1. Seorang Ulama seharusnya
bersikap tawaduk dan rendah diri tetapi berani mempertahankan perkara yang
benar dan hak. Apabila dikritik atau
dipersoal tindakannya, seorang Ulama tidak akan melatah atau marah, sebaliknya
akan memperjelaskan keadaan sebenar dengan tenang dan yakin atas kebenaran yang
diperkatakannya.
2. Namun, sifat-sifat wajib
seorang Ulama ini tidak terdapat dalam diri ulama-ulama PAS. Mursyidul Am PAS sendiri, iaitu yang
dianggap penyokongnya sebagai ulama tahap tertinggi di dalam parti itu, dan di
dalam negara atau mungkin juga dunia, cukup terkenal dengan sifat yang
bertentangan dari sifat-sifat di
atas. Nik Aziz amat terkenal dengan
takbur, riak dan sering marah siap dengan memaki hamun dan mencerca sesiapa
yang mengkritik atau mempersoalkan tindakannya.
3. Begitu juga dengan Presiden
PAS, iaitu Dato’ Seri Hadi Awang yang juga berkongsi sifat yang sama. Lebih buruk lagi, Hadi Awang juga nampaknya
seorang yang pengecut apabila tidak berani tampil memberi respon terhadap isu
Amanat Kafir yang difatwakannya sendiri hampir 3 dekad lalu. Walaupun sudah berhari-hari isu ini
‘dipanaskan’ semula oleh media-media perdana, tetapi Hadi Awang masih membisu
hatta langsung hilang dari ‘radar’.
4. Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah pun membuat teguran rasmi melalui surat
terhadap Hadi Awang. Surat tersebut
dikeluarkan setelah bermesyuarat bersama beberapa tok guru pondok serta Mufti
dan Timbalan Mufti Kelantan. Mesyuarat
tersebut menggariskan 8 perkara yang membuktikan bahawa fatwa Hadi Awang itu
telah membawa kepada kepercayaan sesat di kalangan masyarakat, antaranya:
a. percaya bahawa tidak sah solat yang
diimamkan orang UMNO,
b. percaya bahawa haram makan sembelihan
orang UMNO,
c. percaya bahawa tidak sah pernikahan yang
dijalankan oleh kadhi atau imam yang dilantik UMNO dan pasangan yang terlibat
perlu dinikahkan kembali dengan segera
d. percaya bahawa terfasakh pernikahan
dengan pasangan yang menyokong UMNO
e. percaya bahawa jenazah orang UMNO tidak
perlu disembahyangkan sepertimana orang kafir atau murtad
f. percaya bahawa tidak boleh membenarkan
orang UMNO melakukan sembahyang jenazah ke atas orang PAS/Islam.
g. percaya bahawa tidak boleh mengebumikan
orang UMNO di tanah perkuburan Islam
h. percaya bahawa ibadah orang UMNO tidak
diterima Allah SWT.
5. Pihak PAS berusaha menolak
dan menutup isu ini dengan alasan ia telah basi, namun soal syahadah dan
akidah, soal hubungan suci suami isteri, hubungan darah daging, soal
kesinambungan hidup serta kehilangan nyawa, serta soal murni perpaduan ummah
dan masyarakat setempat, tidak mungkin basi kerana ia bukan sahaja membabitkan
dunia, tetapi merupakan soal rohaniah yang bakal dibangkitkan di akhirat kelak.
6. Jika Hadi Awang ingin terus
berdegil menafikan yang Amanat beliaulah yang menjadi punca segala kesesatan
tersebut, maka beliau wajar tampil menjelaskan siapakah yang sebenarnya yang
perlu dipersalahkan dalam perpisahan pasangan suami isteri akibat percaya yang
pasangannya kafir? Siapa yang perlu
dipersalahkan apabila hati ibu atau bapa hancur, dan akhirnya meninggal dunia
dalam keadaan anak-anak sendiri menuduh mereka kafir?
7. Dan siapa yang perlu
dipersalahkan apabila anak-anak yatim Memali kehilangan bapa kerana bapa mereka
percaya yang mereka berjihad menentang orang-orang kafir?!
8. Apakah Hadi Awang ingin
berkata bahawa penyokong-penyokong PAS sendiri yang bersalah kerana terlalu
bodoh sehingga ‘tersalah tafsir’ amanatnya?
Jika ya, beliau tetap bertanggungjawab untuk tampil menjelaskan apakah
tafsiran yang sebenarnya.
9. Justeru, penyokong-penyokong
PAS wajib menyeru Hadi Awang agar keluar dari persembunyian dan berhadapan
dengan amanatnya sendiri sebagai anak jantan kalaupun tidak sebagai seorang
ulama.
10. Penyokong-penyokong PAS
perlukan satu kepastian sama ada untuk terus berpegang kepada amanat tersebut
dan bahawa 8 perkara di atas adalah wajar, tepat dan benar - ataupun
tidak.
11. Adalah tidak wajar bagi Hadi
Awang untuk terus membisu membiarkan penyokong-penyokong tegarnya yang
terlibat, termangu-mangu bertanya kafir atau tidaknya ibu mereka yang telah
meninggal dunia atau isteri mereka yang telah diceraikan sebegitu lama?
12. Atau apakah tuduhan kafir
itu telah berbalik kepada diri mereka sendiri, sepertimana pesan Rasulullah
SAW: “Barang siapa berkata kepada
saudaranya, Hai kafir! maka kalimat itu pulang kepada salah seorang dari keduanya,jika
kekafiran itu benar ada,jika tidak,maka kekafiran itu berbalik kepada diri yg
mengucapkannya.”
No comments:
Post a Comment