1. Rata-rata kedengaran rakyat mengucapkan syukur atas
pembentangan Bajet oleh Dato’ Seri Najib yang menyeluruh, padat dan tepat. Nampaknya, tiada yang terpinggir dari mendapat
perhatian kerajaan iaitu dari golongan miskin dan sederhana serta merangkumi
semua golongan seperti pelajar, pekerja, petani sehinggalah OKU, menunjukkan
yang ianya dirancang dengan penuh prihatin lagi terperinci.
2. Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat luar bandar dan golongan
miskin bandar adalah golongan yang paling ‘tercabar’ untuk bersaing dalam
pembangunan yang begitu yang pesat dan ekonomi yang tidak menentu. Dengan itu,
seperti kelaziman, kerajaan tidak pernah melupakan golongan ini dalam
pembentangan Bajet tahunan. Rumah-rumah kos rendah dan berbagai program bantuan
dan peningkatan pendapatan telah disusun khas untuk golongan ini bagi
memastikan kesejahteraan mereka dalam jangka masa panjang.
3. Namun, hakikat hari ini ialah golongan berpendapatan sederhana iaitu
dalam lingkungan RM3,000 – RM5,000 di bandar juga tidak terkecuali dari tekanan
hebat peningkatan kos sara hidup. Golongan ini diwakili oleh mereka-mereka yang
telah berkeluarga di mana pemilikan hartanah dan pendidikan anak-anak merupakan
keutamaan.
4. Secara dasarnya, sebuah keluarga di bandar memerlukan sekurang-kurangnya
dua buah kenderaan untuk memastikan segala-galanya ‘berfungsi’ dengan baik.
Maka, kos bagi dua buah kenderaan dan sebuah rumah selalunya sudah menjangkau
separuh dari pendapatan bulanan mereka. Itu belum lagi dikira kos pembantu
rumah atau pengasuh, tadika, bas sekolah, kelas agama, tuisyen, keperluan
harian serta kecemasan. Selain itu, kos sampingan yang perlu ditanggung mereka
secara harian semata-mata untuk bekerja, seperti minyak, tol serta parkir yang
tinggi di bandaraya Kuala Lumpur amatlah membebankan.
5. Dengan pendapatan sebegini, adalah sukar bagi sesebuah keluarga
berpendapatan sederhana untuk membuat simpanan atau pelaburan untuk masa depan.
Oleh itu, ramai yang memilih untuk berniaga sambilan bagi memastikan ekonomi
rumahtangga mereka lebih ‘selesa’.
6. Akibatnya, masa berkualiti keluarga ini amat terhad, di mana masa ibu
bapa banyak dihabiskan dalam kesesakan lalu-lintas, bekerja sambilan atau
keletihan lalu menyebabkan anak-anak terabai sehingga menyumbang kepada masalah
yang lain pula di dalam masyarakat, seterusnya, negara.
7. Alhamdulillah, nampaknya kerajaan cukup maklum dan sedar akan masalah
yang membelenggu golongan ini sebagaimana terbukti dalam Bajet yang
dibentangkan semalam. Antaranya, pengumuman mengenai rumah mampu milik sebanyak
123,000 unit di kawasan Sungai Buloh dan Seremban, iaitu kawasan di mana
golongan ini tertumpu bagi mengelak kos sara hidup yang tinggi di bandar.
8. Selain itu, Skim Rumah Pertama yang sebelum ini dibuka kepada mereka
yang berpendapatan bawah RM3,000 kini ditingkatkan kepada RM5,000 dengan
gabungan pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 bagi rumah di bawah harga
RM400,000 juga pastinya mensasarkan kepada golongan ini.
9. Tidak cukup dengan itu, pengurangan cukai pendapatan sebanyak 1% bagi
pendapatan RM2,500 – RM50,000 juga dilihat mampu mengurangkan beban golongan
berpendapatan sederhana ini.
10. Perlu diingatkan bahawa golongan berpendapatan sederhana bukan sahaja
melibatkan pekerja kerajaan atau kakitangan awam, tetapi juga pekerja-pekerja
swasta. Seperti yang kita maklum, pekerja swasta tentunya tidak berpeluang
menikmati kemudahan pinjaman perumahan sepertimana kakitangan kerajaan.
11. Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun Bajet yang dibentangkan kerajaan
adalah menyeluruh iaitu melibatkan golongan petani, pelajar, kakitangan
kerajaan, polis, perubatan, tentera sehinggalah kepada peniaga dan korporat,
tetapi ramai yang terlepas pandang akan golongan pekerja swasta. Oleh itu,
pekerja swasta telah biasa merasa terpinggir dalam pengumuman Bajet oleh
kerajaan.
12. Namun, dengan skim atau program perumahan yang dibentangkan dalam Bajet
semalam, pekerja swasta kini boleh sama-sama tersenyum dan berterima kasih
kepada kerajaan kerana turut berpeluang menikmatinya.
13. Justeru, tidak salah jika dikatakan bahawa Bajet 2013 yang dibentangkan
oleh Perdana Menteri adalah bajet yang terbaik, tepat dan lengkap. Pembangkang
boleh menuduhnya sebagai Bajet Pilihanraya atau apa saja, tetapi apakah
salahnya Bajet Pilihanraya sekiranya ia berasaskan kemampuan sebenar setelah
diambilkira maklumat kewangan yang tepat?
14. Bukannya seperti Bajet Alternatif yang disediakan dengan menggunakan
imaginasi semata-mata di mana hasilnya ialah bajet khayalan yang tidak masuk
akal dan mampu mengbankrapkan negara.
15. Jadi, bukankah seratus kali lebih baik bagi rakyat untuk memilih
kerajaan yang membentangkan Bajet Pilihanraya daripada memilih pembangkang yang
berkhayal sambil mencanangkan Bajet Imaginasi?
No comments:
Post a Comment