WARTAWAN Belgium, Michel
Collon, menggunakan bukunya, ‘Israel, let’s talk about it’ (Israel, mari kita
berbicara mengenainya) untuk mendedahkan bagaimana laporan media Eropah
melakukan penipuan berdekad-dekad dalam usaha mereka menyokong kewujudan negara
haram Israel.
Dalam buku itu, Collon menyenaraikan 10 penipuan besar disebarkan media Barat
bagi menjustifikasi penubuhan negara Israel serta menghalalkan tindakan negara
Zionis itu.
Penipuan itu adalah:
1. Penubuhan Israel adalah sebagai reaksi terhadap pembunuhan
beramai-ramai bangsa Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.
Hakikatnya, kata Collon, projek mewujudkan Israel itu diluluskan Kongres Zionis
Pertama di Basel, Switzerland, pada 1897.
Dalam persidangan itu, pemimpin Zionis memutuskan untuk menakluk Palestin bagi
menyediakan ruang untuk mereka membangunkan Israel.
Untuk makluman, Perang Dunia Kedua berlaku di antara 1939 hingga 1945.
2. Untuk menghalalkan
penghijrahan besar-besaran ke Palestin, Yahudi mendakwa wilayah itu adalah
warisan mereka selepas diusir pada tahun 70 Masihi.
Kata Collon, data itu hanyalah rekaan semata-mata.
“Saya bercakap dengan beberapa sejarawan terkenal Israel, termasuk Shlomo Sand,
yang percaya peristiwa penghijrahan beberapa abad silam tidak pernah berlaku.
“Penduduk Palestin tidak pernah meninggalkan kawasan mereka pada zaman purba.
“Justeru, kedatangan mereka ke Palestin kononnya untuk menduduki tanah warisan
tidak berasas sama sekali,” katanya.
Menurut Collon, Yahudi yang mendesak mahu pulang ke ‘tanah asal’ mereka di
Palestin sebenarnya berasal dari Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.
Memetik pendapat Sand, Collon berkata, sebenarnya isu negara Yahudi tidak wujud
sama sekali kerana bangsa itu yang berada di pelbagai negara tidak memiliki
persamaan sejarah, bahasa atau budaya.
“Satu-satunya persamaan mereka adalah agama, tetapi agama bukan asas membina
negara,” katanya.
3. Penipuan ketiga ialah
dakwaan kononnya Palestin tidak didiami sesiapa ketika Yahudi mula-mula
mendudukinya.
Kata Collon, ada beberapa dokumen dan bukti menunjukkan produk pertanian
Palestin dieksport ke luar negara pada abad ke-19.
Katanya, Perancis adalah antara negara yang mendapat manfaat daripada produk
pertanian Palestin pada abad itu.
4. Ada pihak mendakwa
warga Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela.
“Ini satu lagi penipuan,” kata Collon.
Menurut wartawan itu, memang ramai pihak percaya kepada dakwaan palsu
berkenaan.
Malah, katanya, pada peringkat awal dia sendiri yakin terhadap tuduhan itu,
sehinggalah dia bertemu sejarawan Israel, seperti Benny Morris dan Ilan Pappe.
“Kata Morris dan Pappe, warga Palestin dihalau dan dilarang kembali melalui
kekerasan dan keganasan,” katanya.
5.
Israel didakwa satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah dan wajib
dipertahankan.
Kata Collon, Israel sebenarnya bukan saja negara melanggar undang-undang, malah
satu-satunya negara yang tidak dibatasi mana-mana peraturan bagi menjelaskan
sempadannya.
“Semua negara di dunia ini memiliki perlembagaan yang menyatakan had batasan
masing-masing tetapi tidak bagi Israel.
“Negara itu wujud hasil projek perluasan wilayah yang tidak mengenal batasan
dan undang-undangnya amat rasis,” katanya.
Melalui peraturan diguna pakai Israel, kata Collon, negara itu khusus untuk
Yahudi dan individu bukan daripada bangsa itu dilihat sebagai ‘bukan manusia’.
“Ia amat bercanggah daripada demokrasi,” katanya.
6. AS didakwa cuba
melindungi demokrasi di Timur Tengah melalui Israel.
Pada masa sama, kata Collon, semua pihak tahu AS menyalurkan dana ke Israel
sehingga RM9.7 bilion setahun.
“Wang itu digunakan untuk menyerang negara jiran Israel,” katanya.
AS, kata Collon, sebenarnya hanya berminat memastikan aliran petroleum di
rantau itu tidak terganggu.
7. AS kononnya berusaha
mencapai persetujuan di antara Israel dan Palestin.
“Ia bohong sama sekali,” kata Collon.
Bekas Ketua Dasar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana, pernah memberitahu
Israel bahawa negara itu adalah anggota ke-21 EU.
Industri senjata Eropah juga bekerjasama dengan Israel dan menyokong mereka
secara kewangan.
Bagaimanapun, kata Collon, apabila warga Palestin memilih kerajaan mereka
secara demokratik, Eropah enggan mengiktirafnya, malah memberi lampu hijau
kepada Israel menyerang Gaza.
8. Menganggap mana-mana
pihak yang mempertikaikan sejarah Israel sebagai anti-Semit.
Sebenarnya, kata Collon, hujah itu digunakan bagi menutup mulut pihak yang cuba
mendedahkan tembelang Israel.
“Apabila kita mengkritik Israel, ia bukan semangat anti-Semit, tetapi mengecam
dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan hak dan taraf di antara Yahudi,
Kristian dan Islam.
“Ia juga memusnahkan keamanan di antara pengikut pelbagai agama,” katanya.
9. Media massa mendakwa
Palestin punca keganasan.
Sebaliknya, kata Collon, penjajahan Israel itulah keganasan sebenar kerana
mereka merampas tanah dan kediaman penduduk yang berhak.
10. Isu sering
dibangkitkan kononnya tiada jalan penyelesaian di antara Israel dan Palestin.
Hakikatnya, kata Collon, penyelesaian boleh dicapai.
“Kita cuma perlu memberi tekanan ke atas sekutu Israel di AS dan Eropah serta
rantau lain di seluruh dunia,” katanya.
Bagi Collon, tekanan umum terhadap media massa yang enggan melaporkan kebenaran
juga boleh menyumbang kepada penyelesaian sebenar di Timur Tengah.
“Menggunakan Internet atau media lain, marilah kita sama-sama melaporkan berita
sebenar mengenai Palestin,” katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment