1. Adakah jemaah Kabinet terbubar secara automatik dengar
terbubarnya Parlimen? Persoalan sama, adakah barisan EXCO di negeri-negeri juga
terbubar dengan terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN). Persoalan ini menjadi
penting dalam perkembangan semasa tanah air.
2. Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri
tidak mempunyai peruntukan khusus berkaitan pembubaran barisan jemaah Kabinet
dengan terbubarnya Dewan Rakyat. Dengan kata lain, Perlembagaan tidak
menyatakannya dengan terperinci.
3. Selepas diteliti perbincangan ketika penggubalan
Perlembagaan, penulis dapati jemaah menteri juga terbubar dengan sendirinya
selepas berlakunya pembubaran Parlimen – sama ada pembubaran secara automatik
selepas tamat tempoh hayat Parlimen atau Parlimen dibubarkan atas permintaan
Perdana Menteri dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong. (Hanya Dewan Rakyat
yang terbubar, Dewan Negara tidak terbubar).
4. Hujah di sini ialah asas lantikan anggota jemaah menteri
ialah kedudukannya dalam Majlis Parlimen – sama ada Dewan Rakyat atau Dewan
Negara. Apabila Parlimen terbubar, maka asas lantikan itu tiada lagi.
5. Atas dasar kehilangan asas keahlian itu, anggota jemaah
menteri hendaklah melepaskan jawatannya. Dengan itu, boleh difahami bahawa
jemaah menteri adalah juga terbubar dengan terbubarnya Dewan Rakyat.
Terus jadi amalan
6. Justeru, dengan terbubarnya jemaah menteri, timbullah
persoalan sama ada perlu atau tidak dibuat pelantikan khusus sebuah kerajaan
sementara bagi menggantikan jemaah menteri yang terbubar itu.
7. Jemaah menteri yang melaksanakan pentadbiran ketika
Parlimen terbubar inilah yang sering disebut sebagai kerajaan sementara atau
‘caretaker government’. Ia merujuk kepada kerajaan yang mentadbir negara dalam
keadaan ketiadaan Parlimen untuk satu masa tertentu sehinggalah kerajaan baru
dibentuk.
8. Dalam negara yang matang mengamalkan demokrasi
berparlimen adalah menjadi amalan bagi kerajaan yang memerintah sebelum itu
untuk terus menjadi kerajaan sementara. Bagi negara kita, inilah amalan
dilakukan selama ini selepas 12 pilihan raya umum (PRU) berlangsung selepas
merdeka. Perlu disebut bahawa Perlembagaan kita tidak menggunakan istilah
kerajaan sementara.
9. Amalan itu bukanlah sesuatu yang ‘haram’ atau
bertentangan dengan Perlembagaan. Perlembagaan tidak mewajibkan atau tidak
meletakkan syarat secara tersurat mengkehendaki penubuhan kerajaan sementara.
Amalan ini sudah menjadi fahaman atau ideologi dalam konvensyen demokrasi kita.
Bahagian akhir Perkara 43
10. Walau apapun, dalam perbicaraan ketika penggubalan
Perlembagaan juga, bahagian akhir Perkara 43 menyatakan bahawa selepas Parlimen
terbubar Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik jemaah menteri seperti
disebut dalam Perkara 43. Maka, kita dapati Perkara 43(2) membuat peruntukan
yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat lantikan jemaah
menteri ketika Parlimen terbubar.
11. Perkara sama menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh
melantik anggota jemaah menteri terdahulu, tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak
terikat dengan kriteria itu. Dengan kata lain, Yang di-Pertuan Agong mempunyai
kuasa budi bicara dalam menentukan keanggotaan jemaah menteri yang dibuat
ketika Parlimen terbubar.
12. Sementara itu, semua negeri mempunyai peruntukan sama
dengan memberi kuasa kepada Raja-Raja atau Sultan masing-masing. Oleh itu,
dalam amalan sistem demokrasi berparlimen, ia sudah menjadi amalan untuk jemaah
menteri daripada mandat Parlimen yang terbubar itu meneruskan tugas sebagai
menteri tanpa lantikan khusus.
Tanggungjawab kerajaan sementara
13. Walau apapun, kita harus menitikberatkan dua perkara
dalam membincangkan hal tugas dan kuasa kerajaan sementara. Dua bidang tugas
utama kerajaan sementara ialah melaksanakan pentadbiran harian dan memastikan
pilihan raya umum berjalan secara adil dan lancar. Kerajaan sementara hendaklah
bersifat seimbang atau neutral dan juga tidak mempengaruhi penjawat awam dalam
hal berkaitan pilihan raya. Kerajaan sementara juga tidak boleh mempengaruhi
tindakan atau keputusan badan yang mengendalikan pilihan raya seperti
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negara kita.
14. Bagi mencapai tahap matang demokrasi, kerajaan sementara
hendaklah mempunyai sifat saksama yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana
pihak – sama ada dalam melaksana pentadbiran harian atau juga pilihan raya
umum.
15. Dalam keadaan seperti ini, kita tidak perlu memberikan
penekanan yang tidak perlu kepada lantikan khusus kerajaan sementara. Tetapi,
dua perkara berkaitan tanggungjawab kerajaan sementara itu yang perlu diambil
perhatian. Sekiranya ada persoalan kredibiliti, barulah diperlukan sebuah
kerajaan sementara yang dilantik khusus oleh Yang di-Pertuan Agong dengan
menggunakan kuasa budi bicara baginda.
Terima kasih..... Blog tuan telah pun di pautkan dgn blog hamba
ReplyDelete