1. Kita sedia maklum bahawa
Laporan Audit 2011 Negeri Kedah memaparkan penemuan yang amat mengejutkan.
2. Antara penemuan paling
‘hebat’ ialah bagaimana 5 kontraktor perumahan yang tidak berdaftar dan
dimiliki oleh individu yang mempunyai talian kekeluargaan boleh dilantik, yang
mana rekod kewangan bagi kerja-kerja yang dilakukan mereka pula adalah tidak
lengkap, meragukan serta tidak tepat, di mana dikhuatiri terdapat penyelewengan
apabila menunjukkan tuntutan berulang manakala sebahagian daripada tuntutan
tersebut pula menunjukkan kerja bagi rumah-rumah yang tidak wujud.
3. Kerajaan negeri juga
ternyata hilang kawalan apabila beberapa projek yang berisiko tinggi seperti
Projek 99 East di Langkawi yang kerugian kerana cuai akibat melanggar
perjanjian serta Projek Pembalakan Dan Perladangan Di Papua New Guinea yang
telah diteruskan tanpa pemantauan sehingga membolehkan seorang Pengarah Urusan
membuat pinjaman puluhan juta USD dari syarikat luar negara tanpa perjanjian
pinjaman yang lengkap serta tanpa kelulusan Lembaga Pengarah.
4. Malah, kerajaan negeri juga
telah mengabaikan tanggungjawab sebagai kerajaan Islam sehinggakan Jawatankuasa
Pemberian Sijil Halal telah tidak bermesyuarat langsung dalam tahun 2011 dan
semua sijil halal yang dikeluarkan telah diluluskan oleh Yang DiPertua tanpa
dibentangkan kepada Jawatankuasa sepertimana prosedur yang ditetapkan.
5. Walaubagaimanapun, penemuan
audit ini adalah tidak sepatutnya mengejutkan jika kita mengambil kira
pentadbiran Kedah yang dilanda ribut sepanjang masa dengan percakaran sesama
sendiri, dan antara satu pihak dengan yang lain di kalangan pemimpin parti dan juga
pegawai kerajaan negeri.
6. Umum sedia maklum bagaimana
pentadbiran PAS Kedah tidak pernah aman dengan perbalahan terbuka
pemimpin-pemimpinnya akibat tamak dan gila kuasa. Apatah lagi dengan PRU yang semakin hampir
menyebabkan ramai di antara mereka menjadi tidak keruan kerana ingin memastikan
kepentingan masing-masing terjaga.
7. Utusan Malaysia baru-baru
ini pula mendedahkan bagaimana PAS menekan Setiausaha Kerajaan, Datuk Rasli Bin
Basir yang dituduh sebagai cenderung kepada UMNO. Semuanya bermula dari keputusan beliau untuk
menukar Ahmad Fisol Md Nor, Pegawai Daerah Kubang Pasu ke Kuala Muda. Ahmad Fisol pula, terkenal dengan
kecenderungannya terhadap parti PAS sejak zaman pemerintahan BN lagi. Keterujaan beliau apabila PAS berjaya
merampas Kedah bukanlah rahsia, malah beliau juga sering mengadakan berbagai
majlis atau program bersama PAS.
8. Ahmad Fisol merasakan yang
jawatan SUK adalah lebih sesuai bagi dirinya memandangkan ‘kesetiaannya’ kepada
PAS. Justeru, pengaruh beliau di dalam
PAS digunakan sepenuhnya untuk menekan Datuk Rasli.
9. Datuk Rasli telah berkhidmat
dengan kerajaan negeri Kedah sejak tahun 1976 sebagai Penolong Pemungut Hasil
Tanah di Pejabat Tanah Daerah Kota Setar.
Dengan latarbelakang pendidikan dari Universiti Malaya dan juga Ohio
University, Athens Amerika Syarikat, beliau mendaki tangga kerjaya sehingga ke
puncak dengan meraih pengalaman dalam perkhidmatan kerajaan dalam berbagai
bidang. Beliau pernah menjadi Pegawai
Daerah, Pegawai Projek, Pengarah Projek, Pentadbir Tanah, Pegawai Kewangan
sehinggalah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri
Kedah pada 2006 dan seterusnya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
10. Oleh itu, kecekapan dan
kesetiaan beliau terhadap negeri Kedah tidak wajar dipertikaikan lagi. Beliau adalah seorang pegawai yang
bertanggungjawab dan professional serta cukup arif untuk tidak
mencampur-adukkan politik dengan pentadbiran.
11. Dan mungkin inilah punca
utama masalah PAS dengan beliau iaitu tidak mengambil-kira kepentingan mana-mana
parti politik, termasuk PAS dalam membuat keputusan.
12. Dengan begitu banyak masalah
dan kelemahan PAS Kedah yang terdedah melalui Laporan Audit, perkara terakhir
yang diperlukan oleh negeri itu ialah percakaran antara pentadbir dan pemimpin
politik. Namun, nampaknya masalah
percakaran ini mengambil tempat yang jauh lebih penting dari penemuan audit,
seperti projek-projek terbengkalai dan perbelanjaan tidak masuk akal yang jelas
berpunca dari pengurusan jabatan-jabatan yang lemah, korup, serta mengamalkan
kronisme yang ketara.
13. Menteri Besar Kedah, Dato’
Seri Azizan Razak juga nampaknya tidak berminat memberi sebarang reaksi
mengenai Laporan Audit Kedah yang mengejutkan itu. Sebaliknya, dikhabarkan turut memberi
sokongan kepada Ahmad Fisol untuk terus menekan Datuk Rasli.
14. Jelas bahawa PAS lebih
mementingkan politik dari rakyat iaitu lebih berminat dengan ‘siapa’ yang
memegang jawatan apa daripada ‘apa yang berlaku’. Walaupun terbukti kelemahan yang ketara
dalam pengurusan kewangan negeri, masih tiada kenyataan tegas dari kepimpinan
tertinggi negeri untuk menanganinya.
15. Perlu diingatkan bahawa
penemuan audit merekodkan lebihan kewangan 2011 berjumlah hanya RM2 juta lebih
iaitu pengurangan lebih RM20 juta dalam masa satu tahun sahaja dengan
projek-projek ‘hebat’ tetapi mencatatkan kerugian-kerugian yang tidak masuk
akal dari segi alasan dan juga jumlahnya.
16. Justeru, jika sikap seperti
ini diteruskan, bayangkan apakah yang akan terjadi kepada negeri ini jika
dipegang oleh PAS selama sepenggal lagi, atau setahun sahaja lagi?
No comments:
Post a Comment