1. Ketua Penerangan PAS, Tuan
Ibrahim Tuan Man nampaknya seperti belum mengambil iktibar dari kesilapan lama
dan keterlanjurannya mengarahkan ahli PAS menangguhkan ibadah haji ke Mekah
semata-mata untuk menghadapi PRU 13 yang diramal olehnya akan berlangsung semasa
musim haji 1433.
2. Arahan itu jelas kelihatan
seperti PAS cuba memperbodohkan pemikiran pengikutnya supaya mendahulukan
kepentingan parti berbanding keutamaan menunaikan Rukun Islam ke-5 dan di masa
yang sama cuba memainkan sentimen umat Islam, namun akibatnya ia mengundang
amarah khalayak umum pula.
3. Itulah hakikat sebenar watak
dan pembawaan pemimpin PAS, cukup gah membicarakan soal hukum hakam agama tapi
realitinya kepentingan politik kepartian juga yang didahulukan.
4. Tidak serik dengan isu
tersebut, kali ini pemimpin PAS yang mempunyai pertalian keluarga dengan
Mursyidul Am PAS itu sekali lagi cuba memperbodohkan khalayak dengan kenyataan
yang memperlekehkan maruah penerima imbuhan BR1M dan lain-lain.
5. Dalam satu kenyataannya
kepada media, Tuan Ibrahim mengibaratkan semua bantuan one off dalam bajet 2013
yang meliputi BR1M, BB1M, Bantuan Persekolahan dan pelbagai imbuhan lain untuk
rakyat adalah candu beracun yang memberi kegembiraan sementara sahaja.
6. "Ini umpama candu yang
melalikan dan melalaikan buat sementara waktu tapi perit kesakitannya pasti
mengunjung tiba, bahkan barah itu bakal ditanggung generasi akan datang,"
demikian katanya.
7. Menurutnya lagi, "asas
kepada pembinaan ekonomi negara bukan hanya dilihat kepada apa yang dicurah,
tetapi juga sejauh mana asas kawalan perbelanjaan negara diurus.
8. Dengan kedudukan ekonomi
dunia yang tidak menentu, tindakan PM dilihat hanyalah untuk menghabiskan dana
negara dalam bentuk pemberian One-Off bagi menarik golongan sasar di kalangan
pengundi baru untuk membeli jaminan kerajaan korup ini terus berkuasa."
9. Membaca kenyataan Tuan
Ibrahim itu jelas memperlihatkan kedangkalan caranya berfikir. Seolah-olah pada
pandangan pemimpin PAS itu, orang yang menerima BR1M dan lain imbuhan termasuk
bantuan persekolahan anak-anak adalah orang yang bodoh kerana membiarkan candu
dan racun menguasai diri.
10. Hakikatnya tidak sedemikian.
Walau wang yang diterima nilainya tidak seberapa, besar manfaatnya untuk
perbelanjaan keluarga yang berpendapatan rendah. Di masa yang sama wang BR1M
yang dibelanjakan itu pula mengalir ke pelbagai sektor sekaligus menyemarakkan
aktiviti ekonomi setempat.
11. Usahlah PAS bermain dengan
api cuba menganggap rakyat negara ini bodoh konon bagaikan penagih candu atau
sebagainya. Jangan dihina rakyat yang berpendapatan rendah kerana kelak bila
tiba musim pilihanraya khalayak ini jugalah nanti yang akan PAS cuba hampiri
untuk meraih undi.
12. Percayalah, selagi wujud
ramai pemimpin bermulut celupar dalam PAS dan lain-lain parti pembangkang yang
gemar merendah-rendahkan maruah dan daya fikir rakyat marhaen seperti mana
tutur kata Tuan Ibrahim, nescaya sampai kiamat pun PAS dan PR tidak akan
berpeluang untuk menguasai tampuk pemerintahan negara ini.
No comments:
Post a Comment