1. Sejak PAS ditubuhkan 61
tahun lalu, dasar dan polisi perjuangannya sudah acapkali berubah-ubah
menggambarkan betapa longgarnya asas perjuangan dan halatuju PAS dalam arena
politik negara.
2. Perubahan ketara yang paling
dirasai ialah bilamana PAS mula menyerap semangat revolusi Islam Iran pada awal
1980-an dan serentak dengan itu, apa saja perjuangan atas nama bangsa Melayu
ditolak ke tepi.
3. Serentak itu, dalam kamus
perjuangan PAS tiada lagi keperluan mengangkat unsur-unsur politik untuk
kepentingan kaum bangsa apatah lagi mahu mendaulatkan dan memperkasakan kuasa
politik Melayu Islam.
4. Satu ketika, PAS melalui
bekas Presidennya Allahyarham Fadhil Noor pernah menganggap Melayu itu tidak
penting dan bangsa Melayu itu tidak diperlukan kerana bagi PAS, polisi dan
dasarnya hanyalah Islam.
5. Namun PAS tidak dapat
menafikan realiti sejarah telah merekodkan kewujudan PAS tiga dekad sebelumnya
adalah berasaskan semangat kebangsaan Melayu Islam, sama seperti UMNO malah
asal usul kelahirannya juga datang dari 'perut' UMNO.
6. Malah negeri Kelantan yang
waktu pertama kalinya dikuasai oleh PAS pada 1959 juga berlaku tatkala PAS
diketuai oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi yang sekian lama diketahui mendukung kuat
semangat nasionalisme Melayu Islam.
7. Dr Burhanuddin yang
menyertai PAS pada tahun 1956 adalah pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM) yang di awal penubuhannya condong kepada idea mewujudkan Melayu Raya,
satu gagasan kemerdekaan yang mahu menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia.
8. Seterusnya fakta sejarah
juga menunjukkan selepas kematian Dr Burhanuddin, PAS diambil alih oleh Datuk
Asri Muda yang juga adalah seorang tokoh nasionalis Melayu Islam.
10. Bagaimanapun selepas PAS
dirasuk oleh semangat revolusi Iran, akhirnya beliau didesak meletakkan jawatan
sebagai Yang Dipertua PAS Pusat semata-mata untuk menguburkan imej dan semangat
kebangsaan Melayu Islam yang pernah mengalir dalam darah perjuangan PAS.
11. Selepas itu gara-gara
rasukan semangat revolusi Iran begitu mengasak pola pemikiran pemimpinnya telah
membawa kepada kepercayaan bahawa perlunya untuk PAS kelihatan berbeza dari
UMNO jika mahu mengatasi komponen utama BN itu.
12. Lantaran itu pemimpin PAS
bekerja keras mendoktrinkan pemikiran pengikutnya bahawa perjuangan berasaskan
semangat kebangsaan Melayu Islam yang sekian lama menjadi tunjang kekuatan UMNO
adalah salah dan bertentangan dengan Islam.
13. Apa sahaja yang bernama
Melayu dan ada unsur Melayu, PAS akan segera membangkangnya serta tidak
teragak-agak untuk memfatwakan sebagai sekular, perkauman sempit dan haram.
14. Namun seperti mana sejarah
tiga dekad (1951 - 1981) sebelum revolusi Iran, telah memaksa PAS berubah arah
semata-mata demi kepentingan politik duniawi, kini selepas tiga dekad revolusi
Iran (1981 - 2012) sekali lagi PAS berpusing arah dan cuba kembali menonjolkan
keMelayuannya.
15. Dalam edisi terbaru akhbar
suara rasmi PAS, Harakah misalnya dengan tajuk besar "Melayu Wajib Sokong
PAS", Presiden PAS sekarang Abdul Hadi Awang menyatakan adalah wajib untuk
orang Melayu menyokong PAS dan menolak UMNO demi menguatkan kedudukan PAS dalam
pakatan pembangkang.
16. Menurutnya lagi bukan sahaja
UMNO tidak berjaya menguatkan kedudukan dan persaingan kaum Melayu serta
Bumiputera dalam bidang ekonomi malah Hadi berpendapat UMNO telah gagal
memperkasakan kuasa politik Melayu Islam.
17. PAS dan Presidennya
kelihatan semacam baru tersedar dari mimpi panjang berkaitan revolusi Iran yang
selama ini dipuja puji oleh PAS sehinggakan sanggup memperlekehkan peri penting
perjuangan berunsurkan Melayu Islam.
18. Perubahan drastik polisi dan
dasar PAS ini berkait rapat dengan gelombang kesedaran ramai pengundi Melayu
Islam yang semakin kuat menolak kehadiran PAS yang kini langsung tidak membawa
manfaat kepada orang Melayu Islam.
19. Wujudnya PAS dalam PR bukan
sahaja gagal memartabatkan kuasa politik Melayu Islam malah lagi menjahanamkan
maruah serta kesucian agama Islam itu sendiri.
20. Oleh itu, amatlah wajar
untuk masyarakat Melayu Islam semakin menjauhkan diri dari PAS dalam PRU 13
kelak malah seluruh orang Islam dari pelbagai kaum bangsa wajib untuk menolak
kewujudan PAS disebabkan ketidaktentuan polisi parti tersebut yang celaru dan
berubah-ubah.
No comments:
Post a Comment