1. Isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut
Kristian di negara ini seharusnya ditangani dengan bijak.
2. Perbincangan ilmiah dengan memahami maksud tersurat dan tersirat terhadap tuntutan ini harus diselami oleh semua pihak.
3. Kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri. Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar tidak tersasar dari maksud sebenar. Ia adalah kewajipan bagi umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.
2. Perbincangan ilmiah dengan memahami maksud tersurat dan tersirat terhadap tuntutan ini harus diselami oleh semua pihak.
3. Kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri. Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar tidak tersasar dari maksud sebenar. Ia adalah kewajipan bagi umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.
Pendahuluan
1. Pada 31 Disember 2007, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi
Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah
memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah
‘Allah’.
2. Bagaimanapun kerajaan menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah ‘Allah’
masih kekal.
3. Pada 3 Januari 2008, kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali
Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar
masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam
mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
4. Pada 19 Mac 2008, Gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk
melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’.
5. Pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) telah
membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan
kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam
penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
6. Oleh itu, artikel ini digarap (1) dalam rangka menyediakan hujah menolak
penggunaan kalimah ’Allah’ oleh penganut Kristian.
Alasan Gereja Katolik Menggunakan Kalimah ‘Allah’
7. Dalam akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007, terdapat laporan bertajuk
‘Church leaders explain use of ‘Allah’.
8. Terdapat lima alasan utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut mengapa Gereja
Katolik ingin meneruskan penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam akhbar terbitan
mereka.
9. Alasan yang dikemukakan ialah seperti berikut:
a) Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan
kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan
untuk istilah Lord.
b) Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah
pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan kalimah ‘Allah’ telah
digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta
juga menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga
masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
c) Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan
Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
d) Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam bahasa Malaysia diwujudkan untuk
memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia
sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut
Katolik di Malaysia.
e) Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan dalam urusan
dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan
Persekutuan.
Hujah-hujah Menolak Alasan Pihak Gereja Katolik
10. Alasan pertama: Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu
menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai
terjemahan untuk istilah Lord.
11. Hujah-hujah Menolak:
a) Kalimah ‘Allah’ adalah kata nama khas berasal daripada bahasa Arab.Kalimah
ini tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain.Menurut nahu Arab,
kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan atau diterbitkan
nama-nama lain daripadanya.
Kalimah ‘Allah’ adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala
korupsi. Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam
bahasa asalnya.
Dari segi struktur linguistik, kalimah ‘Allah’ lebih superior
daripada apa jua perkataan daripada apa jua bahasa dalam memelihara dan
mempertahankan makna ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang
layak disembah (2) .
Oleh kerana itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan ‘Allah’ kepada apa
jua bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu ‘Allah’.
b) Di peringkat antarabangsa, penggunaan kalimah ‘Allah’ dari segi istilah
adalah amat sinonim dengan agama dan umat Islam. Ia diiktiraf oleh kamus kamus
serta eksiklopedia terkemuka di dunia.
Antaranya:
i. Kamus Oxford – Allah : Name of God among Muslims(3).
ii. Eksiklopedia Britannica – Allah : “God”, the one and only God in the
religion of Islam (4).
iii. Eksiklopedia Katolik – Let it be noted that although Allah is an Arabic
term, it is used by all Moslems, whatever be their language,
as the name of God (5).
c) Dalam konteks Malaysia kalimah ‘Allah’ tidak diterjemahkan kepada bahasa
Melayu atau bahasa Malaysia malah ia dikekalkan tanpa terjemahan.
Oleh itu kalimah ‘Allah’ di Malaysia adalah merujuk terus kepada makna yang
terkandung di dalam teks al-Quran tanpa pengubahsuaian pada lafaz (terjemahan)
mahupun maksud kalimah tersebut.
Ini terbukti sebagaimana definisi ‘Allah’ yang kemukakan oleh Kamus Dewan Edisi
Empat:
Allah : Ar (Asal bahasa Arab) Tuhan (Yg Esa); ~ azzawajalla Tuhan Yg
Maha Baik dan Maha Mulia; ~ subhanahu wa taala terpujilah Tuhan yang
Maha Tinggi (6).
Kamus Pelajar pula mendefinisikan kalimah ‘Allah’ seperti berikut:
Tuhan Yang Maha Esa, Yang bersifat dengan sifat-sifat Yang Maha
Sempurna dan Yang mencipta alam ini (7).
Oleh itu kalimah ‘Allah’ tidak boleh dianggap sebagai terjemahan tuhan dalam
bahasa Melayu atau ‘god’ dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah lafaz bahasa
Arab yang dikekalkan sebagai mematuhi kitab suci umat Islam yang telah
membudaya dalam masyarakat Islam dan dimaklumi sebaiknya oleh bukan Islam di
negara ini.
d) Perbuatan pihak Gereja Katolik menterjemahkan perkataan ‘god’ kepada ‘Allah’
juga tidak menepati istilah yang digunapakai oleh masyarakat di negara ini.
Perkataan ‘god’ menurut Kamus Dewan Inggeris-Melayu ialah: n 1. male deity,
dewa, tuhan; (archaic) betara: the Greek ~s, dewadewa Yunani; 2. idol, berhala,
patung; 3. so., st. deified, tuhan: money has become his ~, wang telah menjadi
tuhan baginya; make a ~ of /so., st/, bertuhankan /sso, sst/; 4. G~, Tuhan; (in
Islam) Allah (8).
Takrifan ini dibuat oleh Kamus Dewan berdasarkan budaya yang menjadi amalan
masyarakat di negara ini. Ini bermakna ‘god’ bagi selain Islam diterjemahkan
sebagai dewa dan tuhan.
Manakala ‘God’ (huruf ‘g’ besar) ia digunakan sebagai kata ganti nama yang
merujuk kepada ‘Allah’ dan bukan terjemahan bagi kalimah ‘Allah’ dalam bahasa
Inggeris (seperti pada takrif no. 4 di atas).
Ia seperti juga umat Islam menggunakan huruf besar untuk setiap huruf pertama
bagi kata-kata ganti nama yang lain apabila merujuk kepada ‘Allah’ seperti Aku,
Kami, Dia dan Engkau.
e) Bible bahasa Melayu yang didakwa sebagai rujukan kepada penggunaan
kalimah ‘Allah’ juga tidak boleh diterima berdasarkan faktor kredibiliti
penterjemahan dan perundangan Malaysia.
Maksud kredibiliti perterjemahan iaitu sehingga kini tidak diketahui pihak
berautoriti yang terlibat dalam penterjemahan Bible ke dalam bahasa Melayu
(misalnya adakah Dewan Bahasa dan Pustaka dirujuk dalam hal ini?).
Tambahan pula, faktor perundangan menegah penggunaan kalimah-kalimah tertentu
yang menjadi hak eksklusif umat Islam untuk digunakan oleh bukan Islam.
Oleh itu alasan yang mengatakan mereka merujuk kepada Bible bahasa Melayu
adalah tertolak dengan sendirinya kerana kesahihan penterjemahan Bible tersebut
boleh dipertikai.
Alasan kedua: mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di
Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan
‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God.
Para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk
kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan
Asia Barat.
11. Hujah-hujah Menolak
a) Alasan ini adalah bertitik tolak daripada sejarah kedatangan mubaligh
Kristian ke Tanah Melayu dan Nusantara. Sejarah telah mencatatkan antara misi
utama kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara adalah untuk mengaut hasil
bumi dan menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini.
Antara usaha-usaha yang giat dilakukan oleh para mubaligh ini ialah
menterjemahkan Bible ke dalam bahasa penduduk tempatan termasuk menjalankan
upacara keagamaan dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat setempat.
Sebagai contoh, terjemahan Bible oleh Dr. Mekhior Leidekler dalam tahun 1733,
telah diterima sebagai satu hasil terjemahan yang standard dan digunakan dengan
meluas pada abad ke-18 dan ke-19 di Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia (9).
Kegiatan menterjemah Bible ini telah terus meningkat dengan munculnya penjajah
Inggeris di Tanah Melayu selepas menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Melaka
pada tahun 1795.
Stamford Raffles ialah seorang tokoh penjajah Inggeris yang terlibat secara
langsung dalam kegiatan mengembangkan agama Kristian menerusi kegiatan menyebar
terjemahan kitab Bible.
Dalam tahun 1852 versi terjemahan dalam tuliasan rumi dan jawi diterbit dan
disebarkan dengan meluas di Tanah Melayu.
Stamford Raffles juga merupakan seorang penyokong kuat usaha para mubaligh
Protestant dari Pertubuhan Mubaligh London yang berhasrat untuk mendirikan
pusat percetakan di Melaka, Pulau Pinang, Singapura dan Betawi.
Selain mencetak terjemahan Bible, kegiatan percetakan ini juga menerbitkan
majalah-majalah Melayu yang mengandungi pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang
diselitkan dengan propaganda Kristian dengan bertujuan pengembangan agama di Tanah
Melayu.
Sekitar tahun 1821 – 1905 pelbagai majalah diterbitkan seperti Buletin Arifin,
Cermin Mata, Sahabat dan Warta Melayu (10).
Kegiatan menyebarkan bahan propaganda Kristian ini kemudiannya telah disertai
oleh para paderi Protestant dari Amerika Syarikat yang mewakili Lembaga
Pesuruhjaya-pesuruhjaya Amerika di Luar Negeri (The America Board of
Commisioners of Foreign Missions) (11).
Kesemua fakta ini menunjukkan ada alasan yang nyata untuk kerajaan tidak
membenarkan pihak Kristian pada hari ini menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam
Bible bahasa Melayu.
Ini kerana terjemahan tersebut tidak melambangkan literature sebenar doktrin
agama Kristian sebaliknya bahasa hanya dieksploitasi sebagai perantara untuk
menyebarkan dakyah Kristian.
b) Percubaan untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang
menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada ‘god’ juga tertolak.
Ini kerana setiap bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di negara tertentu
mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza.
Dalam kes ini latar belakang bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk
Malaysia lahir daripada rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu – budaya Melayu
itu sendiri terhasil daripada agama Islam.
Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama
Islam. Ini sudah tentu berbeza dengan latar belakang bahasa Melayu yang
terdapat di Indonesia dan Singapura.
c) Berkenaan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian di Asia
Barat juga tidak boleh dijadikan hujah.
Bangsa Arab bukan Islam sememangnya telah lama menggunakan kalimah ‘Allah’
berdasarkan faktor teologi dan kebudayaan yang telah sedia wujud di Asia Barat.
Perkara ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran apabila al-Quran datang untuk
menjernih dan menyucikan semula penyalahgunaan maksud kalimah ‘Allah’ yang
digunapakai oleh golongan Jahiliyyah dan ahli kitab yang terdiri daripada
Yahudi dan Nasrani.
d) Dalam konteks etimologi dan semantik pula, alasan Gereja Katolik untuk
merujuk kepada masyarakat Kristian Arab adalah tersasar jauh.
Mereka tidak boleh membandingkan apa yang berlaku kepada Kristian Arab dengan
Kristian di Malaysia.
Apa yang berlaku di negara-negara Arab ialah pihak Kristian Arab menterjemahkan
Bible daripada bahasa Suryani (Syria/Syam) atau Aramik dan bahasa Ibrani
(Hebrew) kepada bahasa Arab.
Perlu diketahui bahasa Arab, Aramik dan Ibrani berada dalam rumpun bahasa yang
sama iaitu rumpun Semitik.
12. Oleh itu, Kristian Arab mempunyai hak untuk berhujah bahawa kalimah ‘Allah’
berkemungkinan berasal daripada nama asal tuhan mereka dalam bahasa Aramik atau
Ibrani.
Tetapi apa pula rasional pihak gereja Kristian untuk menterjemahkan ‘god’ dalam
Bible bahasa Inggeris kepada ‘Allah’ dalam Bible bahasa Melayu?
Bukankah kedua-duanya adalah dua rumpun bahasa yang jauh berbeza dari segi
etimologi dan semantik bahkan suasana yang membudayai penggunaan bahasa-bahasa
itu?
Alasan ketiga: Mendakwa ayat-ayat al-Qur’an sendiri telah menunjukkan bahawa
golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
13. Hujah-hujah menolak:
a) Antara ayat yang sering dirujuk oleh pihak gereja Katholik ialah surah al-
‘Ankabut ayat 61:
Maksudnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka
(yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan memperjalankan
matahari dan bulan?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka mengapa
mereka terpedaya?.
Begitu juga surah al-Ma’idah ayat 73:
Maksudnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: “Bahawasanya
Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari
apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang orang yang kafir dari antara
mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Kedua-dua ayat tadi sebenarnya tidak boleh menjadi hujah bagi golongan bukan
Islam untuk menggunakan kalimah ‘Allah’. Ia berdasarkan alasan alasan berikut:
i. Dalam surah al-‘Ankabut ayat 61, al-Qur’an hanya merakamkan sejauhmana
kefahaman masyarakat Arab Jahiliyyah menggunakan kalimah ‘Allah’. Ia bukan
untuk mengiya atau membenarkan penggunaan tersebut.
Sebaliknya ia mahu menjelaskan bagaimana kalimah ‘Allah’ sudah dikenal oleh
masyarakat Arab sebelum Islam.
Daripada informasi ayat-ayat seperti ini, al-Qur’an menjelaskan orang Arab
Jahiliyyah hanya mengenal Allah sebagai (1) pencipta langit dan bumi; (2) yang
memudahkan peredaran matahari dan bulan; (3) yang menurunkan air dari langit;
dan (4) tempat menggantungkan harapan.
Konsep ini jelas bertentangan dengan konsep ‘Allah’ yang sebenar iaitu sebagai
Zat yang wajib disembah dan tidak dipersekutukan (12).
ii. Manakala surah al-Ma’idah ayat 73 pula tidak boleh menjadi alasan kepada
pihak Kristian untuk menggunakan kalimah ‘Allah’.
Ini kerana Allah SWT sendiri menafikan golongan yang mengatakan Zat- Nya itu
satu oknum daripada tiga oknum (triniti).
Malah mereka dianggap kafir (13). Ini bermakna sebutan ‘Allah’ yang keluar dari
lidah golongan Kristian itu adalah sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah kerana
ia tidak merujuk kepada kalimah ‘Allah’ yang sebenar.
Sebagaimana maklum, kalimah ‘Allah’ merujuk kepada zat (esensi) yang dinamakan.
Sebagai perumpamaan mudah, perkataan ‘kereta’ adalah merujuk kepada kenderaan
bermotor. Oleh itu, tiada makna bagi orang yang menggunakan perkataan ‘kereta’
untuk merujuk kepada alat
menjahit pakaian.
Sekiranya ia masih menggunakan perkataan ‘kereta’ tetapi merujuk kepada alat
yang salah, ini bermakna penggunaan perkataan itu adalah sia-sia dan tidak
bermakna.
b) Menjadikan al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan
Islam menggunakan kalimah ‘Allah’, bukanlah satu alasan bagi Gereja Katolik
tetapi hujah bagi umat Islam.
Ia melambangkan kegagalan Gereja Katolik untuk berhujah berasaskan teks asal
kitab agama mereka.
Bagi umat Islam, ini menjadi bukti bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang
memiliki fakta-fakta yang utuh dan konsisten. Ia juga menjadi bukti bahawa
Gereja Katolik menggunakan al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk
mengakui ‘Allah’ sebagai nama tuhan berbanding berhujah berdasarkan perbahasan
sejarah dan ilmu bahasa.
Oleh yang demikian, fakta-fakta mengenai ‘Allah’ sepertimana yang dibentangkan
oleh al-Quran juga hendaklah diterima.
Atau adakah Gereja Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz ‘Allah’ di dalam
al-Quran itu merujuk kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka berbahasa
Ibrani? Jika kalimah ‘Allah’ dan Elohim itu merujuk kepada hakikat yang sama,
mengapa pula konsepnya berbeza.
Al-Qur’an mengatakan Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak sebaliknya
Gereja Katolik berpegang kepada konsep triniti. Ini sekaligus memberi makna
konsep ‘Allah’ di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak
perlu menterjemahkannya kepada mana-mana bahasa dunia.
Ia berbeza dengan konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki sumber
yang jelas dan konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan pinjaman
daripada bahasa lain.
Alasan keempat: Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam Bahasa Malaysia
diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di
Malaysia sebagaimana yang wujud dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
Hujah-hujah Menolak:
a) Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambang kepelbagaian
yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh
diterima.
Perlu diketahui bahawa bahasa Malaysia berasal daripada Bahasa Melayu. Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan
dan bahasa rasmi Malaysia.
Perlu diingat bahawa ketika perlembagaan digubal, istilah “Malaysia” belum
wujud.
Oleh itu, apabila kita merujuk kepada bahasa Malaysia ia sudah tentu merujuk
kepada bahasa Melayu yang sekaligus merujuk kepada masyarakat
Melayu Islam.
Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan
perlambangan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidaksekali-kali boleh
diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.
b) Memaksakan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kalangan Kristian Katolik yang
bertutur dalam bahasa Melayu di negara ini juga, secara logiknya sudah pasti
memberi kesan negatif terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian.
Telah dimaklumi bahawa kalimah ‘Allah’ itu adalah kalimah yang
didominasi oleh umat Melayu Islam secara politik dan kebudayaan yang terdiri
daripada 60% penduduk Malaysia berbanding hanya 9.1% penganut Kristian pelbagai
mazhab.
Bukankah dengan penggunaan peristilahan yang sama bakal menimbulkan kecelaruan
dalam kalangan penganut Kristian berbahasa Melayu sendiri?
Justeru, penterjemahan yang lebih tepat seperti ‘Tuhan’ sepatutnya digunakan
oleh Gereja Katolik bagi menjamin kepercayaan agama Kristian sentiasa
terpelihara selain mengelakkan kekeliruan.
Alasan kelima: Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan di
dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a)
Perlembagaan Persekutuan.
Hujah-hujah menolak:
a) Alasan ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah diberi
hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) (untuk mengawal atau
menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang
yang menganuti ugama Islam).
Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan
negeri) telah nmenggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama
agama bukan Islam terhadap umat Islam.
Sebagai contoh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam
Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut; (melarang seseorang (bukan Islam) daripada
menggunakan perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau
kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana mana agama
bukan Islam.
Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman,
Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah, Injil dan lain-lain).
Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai
terjemahan kepada perkataan ‘god’ di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang
yang sedang berkuatkuasa di negara ini.
Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.
Hujah-hujah Tambahan Sebagai tambahan kepada hujah-hujah tadi, empat persoalan
dikemukakan terhadap Gereja Katolik berhubung tuntutan mereka yang memerlukan
jawapan bagi umat Islam di Malaysia iaitu:
a) Mengapa Gereja Katolik tidak menggunakan kalimah asal bagi tuhan sebagaimana
yang terkandung dalam bahasa asal kitab mereka? Mengapa nama tuhan perlu
diterjemah sedangkan nama tuhan adalah satu kata nama khas yang sepatutnya
digunapakai tanpa mengira bahasa pertuturan si penganut agama. Bukankah kalimah
tuhan dalam Bible berbahasa Ibrani ialah Elohim, El, Eloh atau Elah?
b) Mengapa masih wujud percanggahan antara penganut Kristian tentang gelaran
kepada tuhan? Pada Ogos 2007, seorang paderi Roman Katolik di Belanda, Tiny
Muskens, telah membuat seruan supaya penganut Kristian menggunakan kalimah
‘Allah’.
Bagaimanapun seruan tersebut telah mendapat bantahan daripada penganut Kristian
sama ada dalam kalangan Protestan mahupun Katolik. Presiden Liga Katolik Bagi
Hak Agama dan Sivil telah membantah saranan tersebut dalam kenyataannya,
“Bishop Martinus Tiny Muskens can pray to “Allah” all he wants, but only
addlepated Catholics will follow his lead. It is not a good sign when members
of the Catholic hierarchy indulge in a fawning exchange with Muslims, or those
of any other religion”(14).
Manakala Pengerusi General Synod of the Dutch Protestant Church, Gerrit de
Fijter juga menolak cadangan Muskens supaya penganut Kristian menggunakan
kalimah ‘Allah’, beliau berkata, “I applaud every attempt to encourage dialogue
with Muslims, but I doubt the sense of this maneuver”(15).
Di samping itu, terdapat artikel berbahasa Arab tulisan Izzat Andrews,seorang
penganut Kristian Koptik di Mesir berjudul ‘Allah bukan tuhan agama Kristian
dan Yahudi’.
Beliau mengatakan bahawa kalimah ‘Allah’ hanya berasal daripada penggunaan
orang Jahiliyyah yang merujuk kepada tuhan bulan.
Ia tidak pernah termaktub dalam kitab-kitab Yahudi mahupun Nasrani.
Tuhan bagi agama Kristian ialah Elohim (16).
Kenyataan-kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’
bagi agama Kristian masih menjadi suatu polemik dalam kalangan agamawan
Kristian.
Oleh itu apa hujah Gereja Katolik di Malaysia untuk mempertahankan penggunaan
kalimah ‘Allah’ sedangkan ia sendiri belum dimuktamadkan oleh Kristian di
peringkat dunia?
c) Sebagaimana hujah yang telah dikemukakan sebelum ini, penjajah Kristian yang
datang ke Tanah Melayu mempunyai dua matlamat utama.
Antaranya ialah untuk menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini.
Laporan Bernama yang dipetik dari majalah The Minaret terbitan Pusat Islam
California mengatakan pendakyah Kristian menjadikan Malaysia antara negara
sasaran bagi satu gerakan Kristianisasi yang digelar “Window 10/40”.
Ini kerana Malaysia salah satu negara yang terletak di antara garis lintang 10
dan 40 di peta dunia (17).
Malah dalam satu laporan, Jabatan Agama Islam Johor bersama-sama dengan
Kementerian Dalam Negeri telah merampas 250 judul buku mengenai ajaran Kristian
dalam bahasa Melayu.
Buku-buku tersebut menggunakan judul seperti Kaabah, Wahyu Ilahi dan Mengenal
Rasul.
Sekali pandang kepada tajuk-tajuknya ia seperti taktik untuk cuba menarik minat
orang-orang Islam membaca buku-buku ini (18).
Oleh itu, apa jaminan Gereja Katolik untuk mengatakan bahawa penggunaan kalimah
‘Allah’ hanya terbatas buat penganut Kristian dan bukan terhadap umat Islam?
d) Adakah Gereja Katolik bersetuju sekiranya dikatakan bahawa fakta-fakta
tentang tuhan di dalam Bible itu tidak sejelas dan setepat al-Quran malah
bercanggah antara satu sama lain.
Sebagai contoh, terdapat ayat di dalam Bible yang merujuk kepada ke-Esaan tuhan
seperti di dalam Perjanjian Lama yang menyebut; Ingatlah wahai bangsa Israel!
Tuhan satu-satunya ialah Allah kita.(19)
Bagaimanapun di tempat yang lain banyak ayat yang menyanggah ke-Esaan tuhan
seperti di dalam Perjanjian Baru; Setelah semua orang dibaptis, Jesus juga
dibaptis.
Ketika Dia berdoa, langit terbuka, dan Roh Allah berwujud burung merpati turun
ke atas-Nya.
Lalu terdengar satu suara dari Syurga mengatakan: “Engkaulah Anak-Ku yang Aku
kasihi. Engkau menyenangkan hatiKu.”(20)
Sedangkan fakta-fakta tentang Allah di dalam al-Quran amat konsisten dan tidak
pernah berubah-ubah.
Surah al-Ikhlas menyebut dengan jelas siapakah ‘Allah’ yang sebenar. Allah SWT
berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa;
“Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “ Ia
tidak beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang
setara denganNya”.
Sehubungan itu, al-Quran mengajar umat Islam apabila berlaku pertembungan
antara Islam dengan ahli kitab (Yahudi dan Kristian),
menjadi tanggungjawab umat Islam menyeru mereka supaya menerima konsep ‘Allah’
sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran tersebut.
Allah SWT berfirman berkenaan hal ini di dalam surah Ali Imran ayat 64:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu
Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak
menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun;
dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk
dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”.
Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka
katakanlah kepada mereka:
“Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.
Persoalannya adakah Gereja Katolik bersedia untuk mempertimbangkan seruan
al-Qur’an untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dengan merujuk kepada hakikat yang
sama iaitu Tuhan Yang Maha Esa tanpa sebarang sekutu bagi-Nya?
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa
penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.
Pandangan Tokoh Ulama Luar Negara
Pandangan Wakil al-Azhar (Timbalan Syeikh al-Azhar) dan Ketua Lajnah Dialog
Antara Agama al-Azhar, Fadhilat al-Syeikh Abdul Fattah ‘Allam
Beliau berpendapat bahawa tindakan kerajaan Malaysia menegah penggunaan kalimah
Allah dalam kalangan bukan Islam adalah tepat.
Ini kerana kalimah Allah tidak boleh disamaertikan dengan kalimah Rabb yang
membawa makna Yang Mewujudkan.
Sebagaimana maklum penganut bukan Islam menamakan sebarang tuhan yang mereka
sembah seperti batu, haiwan, matahari dan lain-lain sebagai Allah.
Hal ini sudah tentu amat tidak wajar sama sekali dan menyalahi maksud kalimah
Allah itu sendiri sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Hadith
(21).
Pandangan Penasihat Undang-undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi, Syeikh
Abdul Muhsin al-‘Abikan.
Beliau berpendapat bahawa pendekatan Kerajaan Malaysia ini adalah bertujuan
untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan nama ‘Allah’ melainkan hanya kepada
Yang Maha Pencipta (tuhan yang sebenar ).
Ia kerana terdapat agama-agama lain yang juga menggunakan kalimah Allah bagi
agama mereka sedangkan mereka adalah penyembah berhala, oleh itu nama ‘Allah’
tidak sepatutnya digunakan bagi menggambarkan tuhan-tuhan yang selain-Nya (22).
Tokoh Pergerakan Perlembagaan Islam (Islamic Constitutional Movement) Kuwait,
Syeikh Abdul Hamid al-Ballali
Beliau menyokong penuh keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan
penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai panggilan bagi tuhan
mereka.
Beliau beralasan bahawa keputusan tersebut amat signifikan bagi
memelihara maksud istilah sebenar bagi kalimah Allah.
Umat yang gagal memelihara istilah-istilah agamanya adalah umat yang leka.
Sedangkan Allah SWT telah mengangkat umat ini sebagai sebaik-baik umat.
Menurutnya lagi umat Islam perlu sedar banyak istilah-istilah yang berasal daripada
Islam pada hari ini telah cuba dieksploitasi, disalahguna atau dipesongkan
maknanya oleh pihak tertentu.
Ianya seperti istilah ‘syahid’ yang juga digunapakai bagi penganut bukan Islam.
Istilah ‘riba’ yang ditukarkan kepada ‘faedah bank’. Istilah ‘khamar’ yang
ditukarkan kepada ‘minuman rohani’.
Istilah ‘liwat’ yang ditukarkan kepada istilah ‘hubungan sesama jenis’.
Persoalannya adakah umat Islam sedar tentang fenomena ini sebagaimana kesedaran
yang dipamerkan oleh Kerajaan Malaysia?(23)
Keputusan Kerajaan
Keputusan mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 juga telah memutuskan bahawa
perkataan Allah adalah termasuk antara kalimah-kalimah yang dilarang
penggunaannya oleh mereka yang bukan beragama Islam.
Malah penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun
diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta P.U (A) 15/82
dan pekeliling KKDN.S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.
Manakala Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 3 Januari 2008, memutuskan untuk
mengekalkan larangan tersebut sebagaimana yang pernah diputuskan pada 18
Oktober dan 1 November 2006.
Kesimpulan
Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, tiada sebab untuk kerajaan
membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada pihak Kristian.
Malah keputusan kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan
Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang isu yang berkaitan
dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak seharusnya menghormati
kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di negara ini.